Guris, gores, biadap dan biadab - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Guris, gores, biadap dan biadab

KITA sering keliru dengan penggunaan kata biadap atau biadab, guris atau gores. Kebiasaan yang sering kita guna kadang-kadang menyimpang terus daripada maksud asal. “Hatiku kau guris luka”, “Peraduan gores dan menang”, “Cerminnya terguris”,

“Biadap sungguh” dan banyak lagi contoh penggunaan guris, gores, biadap dan biadab. Adakah betul penggunaan perkataan-perkataan tersebut?

“Jangan biadap”, “Biadap sungguh”, “Kelakuan biadap remaja kini menjadi-jadi” sering kali menujah cuping telinga kita. Pengguna bahasa mungkin keliru dengan bunyi akhir sama ada dengan bunyi konsonan ‘p’ atau dengan konsonan ‘b’.  Mungkin terdapat juga pengguna bahasa yang tidak pernah terfikir dengan bunyi akhir perkataan ini sama ada biadap atau biadab. Marilah sama-sama kita mengkaji asal kedua-dua perkataan ini.

Jika kita teliti kedua-dua perkataan ini mengalami proses pengimbuhan kepada kata dasarnya adap dan adab. Kedua-dua kata ini menerima imbuhan awalan daripada bahasa Parsi ‘bi’ yang bermaksud tiada. Awalan ‘bi’  bererti tiada dan digunakan untuk menerbitkan kata adjektif, tetapi penggunaannya terbatas.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan adap; adap-adapan dan adab membawa maksud yang berbeza. Adap; adap-adapan bermaksud pulut kuning yang dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Jika diletakkan awalan ‘bi’ pada perkataan adap akan membawa maksud tiada pulut kuning dihidangkan dalam upacara perkahwinan. Jika tidak menjadi kesalahan dari segi fungsi awalan ‘bi’ sekalipun, penggunaannya tetap tidak tepat.

Contoh ayat yang biasa kita dengar seperti “Jangan biadap” akan membawa maksud “Jangan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan” mungkin boleh diterima, tetapi jika ayat “Kelakuan biadap remaja kini menjadi-jadi” akan membawa maksud “Kelakuan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan remaja kini menjadi-jadi” sangat pelik bunyinya.

Penggunaan yang tepat ialah biadab. Imbuhan awalan ‘bi’ bergabung dengan kata dasar adab (bi + adab = biadab). Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Biadab merupakan kata adjektif yang berlawanan dengan kata beradab. Perkataan beradap selalu kita guna untuk makan beradap dalam majlis perkahwinan sahaja. Dalam bahasa Melayu tidak ada perkataan biadap.

Banyak pengguna bahasa Melayu yang menggunakan perkataan guris, terguris, atau mengguris. Sebagai contoh “hatiku terguris dengan kata-katamu”, “Besi yang tajam itu telah mengguris cermin keretanya”.

Sebenarnya, perkataan tersebut tidak tepat. Kamus Dewan Edisi Keempat tidak menyenaraikan perkataan guris sebagai entri. Dakwaan bahawa perkataan guris untuk hati dan cermin tidak dapat dibuktikan ketepatannya.

Perkataan yang tepat ialah gores. Entri Kamus Dewan Edisi Keempat menyenaraikan perkataan:
a.  gores -  garis, calar, coret
b.  bergores, bergores-gores -  bergaris, berparut
c.  menggores -  menggaris, mencalar, menggarit
d. menggoreskan -  menggariskan, menggaritkan
e. tergores -  tergaris, tercorek
f.  goresan -  yang sudah digores, tanda atau bekas digores
g. penggoresan -  perihal mengores
h. penggores -  alat untuk menggores

Berdasarkan entri ini, ayat “Hatiku terguris dengan kata-katamu” sepatutnya ditulis “Hatiku tergores dengan kata-katamu”. “Besi yang tajam itu telah mengguris cermin keretanya” sepatutnya ditulis “Besi yang tajam itu telah menggores cermin keretanya”.

Istilah “Peraduan Gores dan Menang” menunjukkan penggunaan perkataan gores yang betul dari segi ketepatan maksudnya.

Kesimpulannya, selama ini tanpa kita sedar kita telah menggunakan “Jangan tiada pulut kuning dalam upacara perkahwinan” untuk maksud  tidak berbudi bahasa. Guris atau gores juga menimbulkan kekeliruan walaupun tiada entri perkataan guris dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sikap cakna kita sebagai pengguna bahasa untuk menggunakan bahasa yang betul akan memelihara keindahan bahasa itu. Marilah kita sama-sama menggunakan bahasa yang betul dan tepat agar bahasa Melayu terus berkembang. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.

0 Komentar untuk " Guris, gores, biadap dan biadab "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ