“Boh” ada di mana-mana - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

“Boh” ada di mana-mana

TIDAK dinafikan bahawa kewujudan perkataan baharu dapat menambahkan bilangan kosa kata sesuatu bahasa. Antara perkataan sedemikian yang agak meluas penggunaannya ialah “bos”. Dalam dialek Terengganu, perkataan itu disebut [bOh]; selepas ini akan ditulis “boh”.

Berdasarkan Kamus Dewan, bos ialah bahasa percakapan yang merujuk kepada orang yang berkuasa, mengawal, mengarahkan atau memberikan perintah kepada orang bawahan. Dengan perkataan lain, bos ialah ketua bagi sesuatu organisasi atau institusi, antaranya termasuklah ketua pengarah, pengarah, pengetua, pengerusi dan lain-lain.

Walaupun asalnya, bos merujuk kepada individu seperti di atas, kini penggunaannya telah diperluas. Sila teliti penggunaan boh dalam ayat yang berikut.

(i) “Bila kereta siap nanti, saya telefon boh,”  kata seorang kakitangan bengkel kepada pelanggan.

(ii) “Pitih dua ringgit boh, nak beli air,” rayu pemuda kurang upaya kepada penulis.

(iii) “Setuju atau tidak kalau tarikh program itu kita awalkan sedikit,” tanya Pengarah Jabatan X. “Bereh boh. Atas boh belaka,” balas seorang ahli mesyuarat.

(iv) “Kalau kita baik dengan orang, orang akan baik dengan kita boh,” kata seorang penceramah kepada pendengar.

Dalam ayat (i), boh merujuk kepada pemilik kereta atau pelanggan. Kakitangan bengkel berkenaan mengangkat status pelanggannya sebagai boh. Mungkinkah panggilan tersebut merupakan cara untuk memujuk pelanggan berkenaan agar terus berurusan dengannya jika kenderaannya mengalami kerosakan? Sepatutnya, pihak yang sesuai dipanggil boh oleh kakitangan bengkel itu ialah majikannya, bukan pelanggannya.

Boh dalam ayat (ii), merupakan kata ganti nama diri penulis yang diucapkan oleh seorang pemuda untuk memohon wang bagi membeli minuman. Barangkali pemuda itu cuba “mengangkat” penulis agar lebih cepat memberikan wang kepadanya.

Dalam ayat (iii) pula, boh merujuk kepada Pengarah Jabatan X. Penggunaan boh dalam ayat ini didapati lebih menepati maksudnya, seperti yang tercatat dalam kamus.

Panggilan boh dalam ketiga-tiga ayat di atas merujuk kepada individu. Berlainan pula halnya dengan ayat (iv), apabila boh yang digunakan oleh penceramah, merujuk kepada khalayak, iaitu pendengar.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelaslah bahawa boh bukan sahaja merujuk kepada individu tertentu tetapi juga merujuk kepada khalayak. Daripada empat ayat di atas, hanya ayat (iii) menggunakan panggilan boh yang merujuk kepada orang yang berkuasa, mengawal, mengarahkan atau memberikan perintah kepada orang bawahan. Jika demikian, penggunaan boh seperti dalam ayat (i), (ii), dan (iv) agak menyimpang daripada maksud asalnya.

Keempat-empat ayat di atas, jika ditulis dalam bahasa Melayu standard adalah seperti yang berikut.

(i) “Apabila kereta siap, saya akan telefon encik.”

(ii) “Encik/Pakcik, minta dua ringgit; nak beli air.”

(iii) “Saya bersetuju dengan cadangan tuan.”

(iv) “Kalau kita baik dengan orang, orang akan baik juga dengan kita, tuan-tuan dan puan-puan.”

Kata ganti nama diri encik, saudara, saudari, tuan, puan, dan lain-lain yang sudah sekian lama digunakan, secara tidak langsung memperlihatkan kewujudan perasaan saling menghormati antara dua pihak yang berkomunikasi.

Penggunaan boh bagi menggantikan kata ganti nama diri di atas merupakan fenomena baharu yang kebanyakannya kurang menepati konteksnya.

Barangkali, kata tersebut digunakan untuk memperlihatkan hubungan erat antara dua pihak dalam situasi yang tidak formal. Jika demikian halnya, kini, boh ada di mana-mana.

Dalam satu wacana kebahasaan, beberapa orang pegawai kanan kerajaan menyuarakan perasaan kurang senang mereka tentang panggilan boh oleh kakitangan bawahan kepada mereka. Bagi penulis, suara hati pegawai tersebut ada asasnya.

Rasionalnya ialah dalam etika perkhidmatan, sudah tersurat panggilan hormat tertentu kepada pegawai kanan. Panggilan boh kepada pengarah atau kepada pegawai kanan dalam majlis sedemikian akan dipandang negatif oleh pihak yang memahami adab ini.

Dalam konteks tidak formal, apa-apa panggilan ataupun gelaran yang tidak keterlaluan tidak boleh dinafikan. Namun begitu, kelonggaran tersebut tidak wajar diamalkan dalam situasi rasmi. Tegasnya, penggunaan boh dalam mesyuarat, ketika menyampaikan ucapan, ataupun semasa mengendalikan pengajaran dan pembelajaran tidak wajar diamalkan.

0 Komentar untuk " “Boh” ada di mana-mana "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ