Imbuhan dan kekeliruan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Imbuhan dan kekeliruan

AWAS, merbahaya! Sudah tentu pembaca pernah melihat papan tanda yang tertera teks tersebut. Apakah yang bahaya dengan kenyataan itu? Bunyinya macam biasa sahaja. Tidak ada yang pelik. Individu yang cakna bahasa, sudah tentu maklum tentang kenyataan itu. Perkataan “berbahaya” itu sebenarnya yang bahaya. Mengikut rumus bahasa Melayu, tidak wujud imbuhan mer. Yang ada ialah imbuhan ber atau mem ... kan untuk kata dasar “bahaya”. Oleh itu, seharusnya perkataan “merbahaya” itu diubah kepada “berbahaya”. Diharapkan selepas ini perkataan “merbahaya” tidak akan kelihatan lagi terpampang di mana-mana.

Begitu juga dengan perkataan “pengkebumian”. Manakah yang betul, “pengkebumian” atau “pengebumian”? Untuk menentukan perkataan yang betul penggunaan imbuhannya, maka mari kita lihat contoh perkataan lain yang bermula dengan huruf “k”. Sebagai contoh, perkataan “kecuali”. Apabila diimbuhkan dengan imbuhan meN-... kan, maka perkataan “k” itu akan gugur, maka jadilah perkataan mengecualikan. Begitu juga jika perkataan tersebut diimbuhkan dengan imbuhan peN-... an, maka jadilah pengecualian. Begitu juga dengan perkataan “kira”. Jika diimbuhkan, maka jadilah mengira atau pengiraan. Jelaslah bahawa setiap perkataan yang bermula dengan huruf “k”, maka “k” itu akan gugur setelah diimbuhkan. Oleh itu, amat jelas bahawa perkataan yang betul ialah pengebumian, dan bukannya pengkebumian.

Dalam pada itu, pengguna juga perlu sedar bahawa jika kata dasar yang bermula dengan huruf “k” itu daripada kata pinjaman, maka huruf “k” itu dikekalkan walaupun diimbuhkan. Sebagai contoh, perkataan “kategori” dan “katalog” yang merupakan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Perkataan-perkataan ini akan menjadi “mengkategorikan” dan “mengkatalog”, bukannya “mengategorikan” atau “mengatalog”.

Terdapat juga pengguna bahasa yang cenderung menggunakan perkataan “berserta” sebagai “beserta”. Hal ini demikian kerana mereka berpendapat bahawa ejaan bagi perkataan “bekerja” hanya menggunakan imbuhan be, bukannya ber. Andaian ini dibuat berdasarkan hujah mereka bahawa telah ada er dalam ejaan “bekerja”, maka digugurkan huruf “r” yang terdahulu. Oleh hal yang demikian, terdapat segelintir pengguna bahasa yang berpendapat bahawa seharusnya “r” dalam berserta juga harus digugurkan seperti “r” dalam bekerja. Untuk pengetahuan pembaca, ejaan “bekerja” itu dianggap “kekecualian” dalam bahasa. Oleh itu, ejaan “berserta” tetap kekal dan jangan sesekali menulisnya sebagai “beserta”.

Satu lagi kekeliruan yang timbul ialah perkataan “memastikan” atau “mempastikan”. Perkataan itu wujud daripada kata dasar “pasti”. Semua perkataan yang bermula dengan huruf “p” digugurkan huruf “p” apabila diimbuhkan kecuali bagi kata pinjaman. Jika kita melihat perkataan lain yang bermula dengan huruf “p” yang digugurkan, maka kita akan lebih faham. Sebagai contoh, perkataan “paksa” setelah diimbuhkan akan menjadi “memaksa”, bukannya “mempaksa”. Begitu juga dengan perkataan “pukul” yang bertukar menjadi “memukul”, bukannya “mempukul”. Perkataan “pilih” bertukar menjadi memilih apabila diimbuhkan. Amat jelas bahawa semua perkataan itu digugurkan huruf “p” apabila diimbuhkan.

Namun begitu, seperti yang telah dinyatakan pada awal tadi bahawa jika perkataan itu daripada kata pinjaman, maka huruf “p” itu dikekalkan. Sebagai contoh, perkataan “pamer” apabila diimbuhkan akan bertukar menjadi “mempamer”, bukannya “memamer”. Hal ini demikian kerana perkataan “pamer” itu sebenarnya dipinjam daripada bahasa Jawa. Begitu juga dengan perkataan “mempromosi” dan “mempraktikkan” yang mengekalkan huruf “p” kerana kedua-dua perkataan tersebut adalah daripada bahasa Inggeris.

Masih keliru? Fahamilah sedikit demi sedikit, insya-ALLAH sampai masa, pengetahuan kita akan lebih mantap. Yang lebih penting, kita berusaha untuk membetulkan kesilapan terdahulu. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!

0 Komentar untuk " Imbuhan dan kekeliruan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ