Kes masuk angin keluar asap - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kes masuk angin keluar asap

MAAF cakap dulu, kini dan selamanya, saya tidak pernah tertarik untuk menghisap rokok. Ada banyak lagi benda yang lebih sedap dihisap – aiskrim, gula-gula, dan sebagainya – jadi tidak sedikit pun saya terpengaruh dengan pujukan teman-teman mengenai produk tembakau.

Tidak juga saya tertarik terhadap vape, trend baharu berasap-asap yang sehari dua ini menjadi isu paling hangat di tempat kita. Hingga kini saya belum dapat diyakinkan bahawa e-rokok itu boleh menimbulkan kepuasan. Ada sekian banyak benda dan aktiviti untuk kita berpuas-puas, kenapa vape?

Tetapi saya bersimpati dengan mereka yang terlibat dengan vape, baik pengedar, penjual, lebih-lebih lagi pengguna. Semua sekarang dalam keadaan tidak menentu. Malah, ada yang mendakwa kerugian beratus ribu RM.

Nampak sangat kerajaan tidak tegas, merapu dan meraba-raba dalam hal vape. Antara sesama agensi dan jabatan pun tidak sekata. Tiada penyelarasan, sehingga kelihatan kita buat kerja hentam-kromo, cincai-bocai.

Mula-mula tanpa sebarang amaran awal Kementerian Kesihatan menyerbu lebih 300 kedai vape di seluruh negara, terutama di Selangor, konon untuk mencegah penggunaannya di kalangan rakyat Malaysia.

Barang-barang dan bahan cecair vape dirampas, menyebabkan pekedai – kebanyakannya peniaga kecil Melayu – kerugian berpuluh ribu RM. Ada yang mendakwa telah melabur lebih RM200,000. Pelaburan itu ghaib begitu sahaja.

Sementara Kementerian Kesihatan berkobar-kobar menyerbu, ada pula menteri tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu pendekatan konsisten diambil kerajaan. Katanya: “Jika vape diharamkan, rokok juga perlu diharamkan.”

Kemudian Kementerian Kesihatan memutuskan vape tidak boleh dijual sesuka hati, dan hanya membenarkan benda itu dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Tetapi itu pun disanggah oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata keputusan itu akan merugikan ekonomi peniagaan vape.

“Tindakan ini tentu sahaja akan membunuh perniagaan vape yang kebanyakan dimiliki oleh anak-anak muda Melayu,” kata beliau seperti yang disiarkan media. Beliau mahu melihat produk tersebut dikenali di seluruh negara.

Pelik dan mengelirukan! Di satu pihak ada kementerian yang bersungguh-sungguh mahu mengharamkan vape, tetapi di pihak lain ada pula kementerian yang mahu vape dikenali di seluruh negara.

Rasional di sebalik pengharaman e-rokok itu ialah kebimbangan bahawa cecair yang digunakan mengandungi kadar nikotin berlebihan, dan mengancam nyawa pengguna.

Tetapi, Naib Presiden Persatuan E-Vaporizer dan Alternatif Tembakau Malaysia (Mevta) Rizani Zakaria, menegaskan cecair vape diperbuat daripada bahan yang biasa digunakan dalam produk makanan.

Beliau memperincikan gliserin sayur (VG) daripada minyak sayuran dan minyak kelapa sawit yang digunakan dalam vape membentuk 80 peratus hingga 90 peratus kandungan produk. Satu lagi bahan ialah propylene glycol (PG), yang biasa digunakan untuk membuat sos dan kicap, serta produk makanan lain.

Baki 10 peratus hingga 20 peratus daripada perasa itu merupakan bahan asas perisa dan pemanis. Memang ia turut mengandungi nikotin, tetapi ia tidak lebih daripada 2.4 peratus pada setiap botol. Daripada segi beratnya, kandungan nikotin dalam vape antara 6mg dan 12mg berbanding 13mg dan 16mg dalam sebatang rokok.

Kementerian Kesihatan meletakkan cecair vape di bawah Akta Racun 1952, tetapi nikotin dalam rokok dibenarkan di bawah Akta Makanan. Ini pun ada percanggahan, seolah-olah rokok OK, vape KO.

Tidaklah saya menyebelahi penghisap vape, sebab rokok biasa atau e-rokok sama mengeluarkan asap yang mencemarkan udara. Tetapi, sekiranya kerajaan tegas, sepatutnya sejak awal lagi vape diharamkan.

Seperti yang diketahui rokok elektronik itu sudah berada di negara kita sejak tujuh tahun lalu, dan setakat ini bilangan penggunanya mencecah dua juta orang. Kenapa baru sekarang hendak diharamkan?

Kalau nikotin yang dibimbangkan, kerajaan sepatutnya mengharamkan rokok sebab terbukti kandungan bahan tersebut dalam rokok lebih tinggi. Kilang-kilang rokok patut menghentikan operasi.

Walaupun baru-baru ini kerajaan meningkatkan cukai eksais ke atas produk tembakau lebih 40 peratus – menjadikan harga rokok RM17 sekotak – itu tidak akan menghentikan tabiat merokok dalam kalangan berjuta-juta perokok tegar.

Boleh haramkan vape, tetapi haramkan juga rokok. Dan ini tidak boleh dilakukan terburu-buru, perlu kajian terperinci, supaya antara jabatan dan kementerian tidak bercanggah, sehingga menjadi bahan lawak seperti sekarang!

0 Komentar untuk " Kes masuk angin keluar asap "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ