Bahasa anugerah bangsa dan etnik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bahasa anugerah bangsa dan etnik


KALAU kita berada di negara-negara Arab, yang kedengaran ialah pertuturan dalam bahasa Arab. Di alam Eropah, bahasa Eropah berkumandang pada setiap masa, malahan pengguna bahasa lain juga terpaksa berbahasa Eropah, kerana penduduknya tidak akan bertutur dalam bahasa yang bukan bahasa Eropah. Di Thailand, khususnya di bahagian tengah dan di utara, bahasa Thai yang digunakan. Dalam rumpun Melayu sendiri pun, umpamanya di Filipina dan di Indonesia, bahasa yang dituturkan ialah bahasa Tagalog dan bahasa Indonesia.

Keadaan sedemikian wujud oleh sebab wadah asal sesuatu bahasa adalah untuk kegunaan bagi bangsa yang berkenaan. Dengan perkataan mudah, bahasa dikurniakan khusus untuk sesuatu bangsa dan etnik. Oleh itu, dua bahasa yang berpengaruh tidak terdapat pada tempat atau kawasan sama. Penduduk di sesuatu kawasan akan berurusan sesama mereka dengan menggunakan bahasa yang sedia ada. Hampir setiap bangsa dan etnik di dunia ini mempunyai bahasa masing-masing, meskipun dalam aspek tertentu ada persamaan yang kecil dengan sesuatu bahasa lain. Bahasa yang khas untuk bangsa itu dikenali sebagai bahasa ibunda.

Sekiranya ada bahasa lain kelihatan menyerlah di kawasan yang unggul dengan bahasa tertentu, bahasa lain itu sebenarnya bukan bahasa asal di kawasan tersebut. Bahasa itu mungkin wujud hasil daripada sebab atau sejarah tertentu, antaranya ialah penghijrahan, penempatan semula, atau pendudukan secara beramai-ramai sesuatu kaum di situ. Oleh sebab mereka berkumpulan, maka mereka dapat mengekalkan bahasa sendiri dalam urusan mereka. Lama-kelamaan mereka mungkin mampu berhubung dengan bahasa penduduk asal, tetapi dalam perhubungan sesama sendiri mereka mempertahankan bahasa mereka.

Bahasa tidak sama dengan adat dan tradisi. Adat dan tradisi dicipta oleh sesuatu kaum untuk memenuhi sesuatu keperluan sosial kaum itu. Sebaliknya, bahasa merupakan unsur budaya yang semula jadi bagi kaum berkenaan. Namun begitu, bahasa boleh berubah mengikut keperluan dan peredaran masa. Kesannya, bahasa boleh tenggelam atau mati seperti juga adat dan tradisi sekiranya tidak diamalkan secara berterusan.

Demikian juga halnya dengan bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda bagi orang Melayu. Oleh sebab itulah bahasa Melayu tidak dituturi oleh orang Jerman, Rusia, Amerika, dan sebagainya. Sebagai bahasa ibunda bagi orang Melayu, menjadi tanggungjawab orang Melayu untuk menggunakan bahasa Melayu pada setiap masa. Anehnya, semakin waktu berlalu, didapati ramai orang Melayu seakan-akan tidak mahu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan mereka sesama bangsa. Golongan ini seolah-olah janggal berbahasa ibunda, lalu kelihatan lebih selesa berbahasa orang lain. Bahasa bercampur digunakan sewenang-wenangnya semasa perbualan harian, temu ramah dalam siaran elektronik, malahan dalam penulisan melalui media sosial.

Kepentingan menjaga bahasa sendiri tidak menyekat usaha untuk menguasai bahasa lain. Sesiapa yang dapat berbahasa selain bahasa ibunda sendiri, merupakan warganegara yang hebat. Penguasaan pelbagai bahasa dapat memajukan kerjaya diri sendiri, dan seterusnya membantu kemajuan negara juga. Namun begitu, penggunaannya haruslah berlandaskan keperluan dan ruang, seperti yang dimaksudkan oleh peribahasa, 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'. Jika keadaan tidak memerlukan penggunaan bahasa asing, sewajarnya bahasa sendiri diutamakan. Hal inilah yang menjadi amalan dalam kalangan rakyat negara Jepun, Perancis, Korea, dan sebagainya semenjak sekian lama.

Negara-negara tersebut terus maju dan berjaya walaupun menggunakan bahasa sendiri.

Yang nyata, apabila ke negara asing, kita terpaksa menggunakan bahasa asing. Namun, apabila masyarakat asing datang ke Malaysia, kita melayan mereka dengan menggunakan bahasa mereka juga. Percakapan, papan tanda, risalah, atur cara, dan sebagainya, kebanyakannya menggunakan bahasa asing. Ini kesilapan dan kelemahan kita. Kita mengizinkan bahasa milik sendiri terketepi. Hal ini tidak sepatutnya berterusan demi memartabatkan bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan kita. Kita perlu memastikan bahawa anugerah kepada bangsa kita ini terus-terusan menjadi anugerah yang berwibawa dan bermakna kerana bahasa dapat menentukan kedudukan bangsa.

0 Komentar untuk " Bahasa anugerah bangsa dan etnik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ