Hos TV jangan asyik syok sendiri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hos TV jangan asyik syok sendiri



MEMANG, siapa sahaja boleh memohon maaf atas apa juga keterlanjuran. Tetapi, hati yang tergores tidak mudah dipulihkan dengan sebaris ayat. Hatta, sejuta perkataan pun belum tentu dapat meredakan perasaan.

Setakat rencana ini ditulis – semalam – Watson Nyambek belum bersedia untuk menerima permohonan maaf daripada pihak yang tergamak mempersenda dan menghina ayahnya.

Bekas pelari pecut negara dari Bumi Kenyalang itu telah membuat laporan polis, dan meminta siasatan dibuat ke atas seorang pengacara sebuah program TV yang menyebut nama ayah atlet itu seperti bunyi haiwan.

“Saya betul-betul marah dan kecewa, saya tak boleh terima ia dilakukan oleh hos rancangan berkenaan. Saya harap kejadian begini tak berlaku lagi pada masa depan supaya kita boleh hidup dengan aman di negara ini,” katanya.

Seperti yang dilaporkan media, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, polis akan menyoal siasat pengacara itu tidak lama lagi, mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan sengaja menyebabkan aib dengan niat mengganggu keamanan. Terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata...

Sebenarnya, kalaulah ada sedikit keprihatinan, tentulah perkara yang mengaibkan ini dapat dielakkan. Dalam kes ini, hos telah terlepas cakap, penerbit pula tidak peduli, dan stesen penyiar pun buat tidak tahu.

Di mana rasa hormat kita pada orang lain? Kenapa terlalu memandang rendah kepada seseorang? Kenapa perlu melawakkan peribadi orang lain? Pada hal budak darjah satu pun tahu apa yang disiarkan itu memang menghina.

Apa kata sekiranya ada orang lain secara terbuka dan suka-suka menghina ayah hos, ayah penerbit dan ayah pemilik stesen berkenaan? Tidak kira kedudukan dan pangkat, manusia yang waras tidak rela ayah atau mana-mana ahli keluarga dipersenda, apa lagi dalam program TV yang disaksikan berjuta penonton.

Kita marah-marah dan beremosi tinggi apabila baru-baru ini seorang hos sebuah program hiburan TV Singapura menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tetapi hos tempatan pun tidak kurang mempersenda orang kita.

Watson bukan Perdana Menteri, tidak juga orang kanan politik. Tetapi sebagai atlet, sekurang-kurangnya ada juga sumbangan beliau terhadap negara tercinta. Kalau tidak mengenang jasa beliau pun, janganlah dilawak-lawakkan ayahnya yang telah lama meninggal dunia.

Hatta, sekiranya seorang itu langsung tidak ada sebarang jasa, waima peminta sedekah, apa hak pengacara atau mana-mana stesen TV untuk memperlekeh dan mempersenda peribadi seseorang?

Tetapi, maaf cakap, sesetengah pengacara @ personaliti TV – tidak kira dari stesen mana – suka sangat memperlekeh dan mempersenda orang lain. Mentang-mentang berada dan bergaya di depan kamera mereka ingat boleh cakap apa sahaja, macam orang lain tidak ada harga diri.

Macam sudah menjadi trend hos atau pengacara TV untuk sengaja melawak-lawakkan individu tertentu. Kejelikan dan kelemahan seseorang dijadikan gurauan untuk konon menghiburkan audiens.

Perhatikan program-program hiburan realiti TV kita, pengacara sering terlepas cakap. Bukan terlepas, tetapi sengaja. Tidakkah mereka sedar apa yang disendakan itu boleh menyinggung perasaan dan peribadi orang lain?

Cuba lihat gelagat sesetengah apa yang dipanggil ‘juri’ dalam program realiti TV kita. Mereka angkuh, macamlah pakar sangat dalam bidang yang dibicarakan. Gaya mereka mengalahkan hakim besar dalam perbicaraan mahkamah.

Peserta yang baru membuat persembahan akan dihentam semahu-mahunya oleh juri. Ditengking, diperlekeh, langsung tidak dihiraukan dia sebagai insan. Sesetengah kata-kata juri memang kasar, biadab, tidak sesuai untuk siaran yang ditonton umum.

Alasan mereka: hendak mendidik memang kena kasar begitu. Konon, sekiranya ditegur secara diplomasi, tidak akan memberi kesan pada peserta. Boleh berkasar sekiranya mengajar seorang dengan seorang atau dalam kelompok yang kecil, bukan pada acara pentas yang disaksikan secara langsung oleh berjuta orang.

Lagi alasan mereka: para juri program realiti TV luar negara @ barat lebih teruk. Kenapa perlu ikut cara kasar dan celupar orang putih? Apakah program kita akan menjadi hebat hanya dengan memasukkan unsur-unsur negatif barat?

Jangan terikut-ikut ego mat salih. Cara dan budaya kita sepatutnya lebih sopan dan berhemah. Orang putih makan daging, keju dan mentega. Kita makan ikan pekasam dan belacan. Kekalkan kebelacanan kita!

Sekiranya menonton pelbagai program lawak di TV, lagi banyak kata-kata dan gaya tidak sopan. Sesetengah peserta mengejek, mengutuk dan mencaci tanpa batas. Mereka tidak sedar sedang berkomunikasi dengan massa, bukan bercakap dengan pasangan di katil.

Agaknya pemilik stesen TV, penerbit dan tenaga ‘kreatif’ di belakang program-program seperti itu tidak sedar apa yang dipersembahkan boleh memberi kesan kepada umum. Sedih, pelaku-pelaku yang kasar, tidak sopan dan biadab itu menjadi idola, lalu membentuk minda dan peribadi remaja.

Lebih menyedihkan lagi sesetengah penerbit dan stesen TV beranggapan bahawa hos yang ‘bermulut longkang’ – maaf cakap, ini istilah dia orang sendiri! – diyakini berupaya meningkatkan rating program tersebut. Maka hos dan pengacara yang ingin popular sengaja lepas cakap, hatta mencarut.

0 Komentar untuk " Hos TV jangan asyik syok sendiri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ