Husam Musa: 'Saya rela hilang segalanya' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Husam Musa: 'Saya rela hilang segalanya'

DATUK Husam Musa, nama yang tidak asing dalam dunia politik. Beberapa kali pernah diangkat sebagai pimpinan tertinggi Pas. Pada pemilihan Muktamar Pas baru baru ini, beliau dicalonkan jawatan presiden, namun membuat keputusan mempertahankan jawatan naib presiden.

Bagaimanapun selepas tewas pada pemilihan itu, beliau dikatakan banyak berdiam diri, ditambah dengan kesihatan tidak mengizinkan, bekas anak didik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini dikatakan mengasingkan diri daripada dunia politik seketika. Namun, selepas beberapa bulan, beliau muncul membuat teguran terbuka khususnya terhadap pentadbiran kerajaan Kelantan.

Sikap beliau yang dikatakan positif terhadap penubuhan parti Amanah menyebabkan ahli mula sangsi dengan pendiriannya termasuk ada mendakwa beliau berkomplot mahu menjatuhkan kerajaan negeri. Melalui temu bual oleh wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan Rosmiza Kasim, Husam menjelaskan pendiriannya terhadap isu dibangkitkan, selain mengakhiri spekulasi berhubung statusnya dalam Pas.


Datuk banyak membuat kritikan dan serangan kepada kerajaan negeri. Tindakan itu menyebabkan ada beranggapan Datuk mempunyai agenda menjatuhkan kerajaan Kelantan.

Apa yang saya buat bukan serangan, isu yang saya sudah dan akan saya bangkitkan adalah satu teguran dan kapasiti saya sebagai Adun dan ahli Pas. Jika diperhatikan, apa yang saya lakukan adalah membangkitkan isu polisi kerajaan yang ada kepentingan umum dan beri kesan kepada orang ramai. Saya tidak melakukan serangan peribadi. Mungkin saya ada dokumen lebih terperinci dan bersifat peribadi tetapi bukan tujuan saya menjatuhkan mana-mana pihak atau mengaibkan mereka. Tujuan saya ialah perkara ini dibetulkan, diberhentikan, lebih-lebih lagi apabila saya lihat sejak dua tahun kebelakangan ini. Anda boleh lihat, sejak dua tahun kebelakangan ini saya tidak bersuara. Saya izinkan dan biarkan kerajaan negeri memimpin dengan kepimpinan baharu. Walaupun banyak perkara disalahkan kepada saya dan seakan-akan saya tidak ada sedikitkan nilai kebaikan tetapi saya berdiam diri dua tahun setengah sejak 2014, tetapi bila saya lihat dalam tempoh tersebut berlaku secara bermaharajalela, bukan satu tetapi berulang-ulang dan hampir setiap agensi dan tempat, kecil dan besar. Berulang-ulang tindakan yang merugikan  rakyat Kelantan. Jadi, saya mengambil sikap yang diajar kepada saya dahulu, oleh Pas sendiri, sesuatu tidak betul bersifat  kepentingan umum, ia boleh dan patut  ditegur. Tujuan saya menegur supaya perkara ini dihentikan. Ada yang kata, saya ada agenda menjatuhkan kerajaan Kelantan. Pilihan raya seterusnya ada dalam tempoh dua tahun lagi, kerajaan Kelantan boleh betulkan balik apa-apa kekurangan pada teguran itu untuk menjadi kuat di mata orang ramai. Jika tidak ada orang tegur, perkara ini berlaku berleluasa dari masa ke masa, bertambah luas, menjelang pilihan raya perkara ini didedahkan oleh musuh, pada masa itu Pas tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

Menang kalah pilihan raya, perkara pertama adalah pengundi. Pengundi puas hati parti itu akan menang, kalau pengundi marah parti akan kalah. Tindakan yang dibuat kerajaan Kelantan pada pendapat saya  jika didedahkan menjelang pilihan raya,  pengundi akan marah dan Pas tidak boleh buat apa-apa ketika itu. Inilah perkara boleh mengalahkan Pas, bukan teguran saya. Saya sengaja menegur sekarang di tengah penggal supaya kepimpinan yang ada ini boleh membuat pembetulan. Selain tugas saya sebagai Adun, sebagai orang yang selama ini berjuang bersama Islam, membetulkan penyelewengan walaupun dilakukan sesiapa sahaja. Kalau ada orang kata saya tidak boleh menegur, adakah bermakna Islam mengizinkan penyelewengan disembunyikan kerana ia dilakukan geng kita, oleh parti kita, oleh orang kita. Dia (kerajaan)  tidak boleh kata dia tidak tahu kerana tugas yang diperoleh daripada rakyat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Kebetulan saya dapat maklumat dari masa ke masa, Wallahuaklam, orang ramai suka menyalurkan maklumat kepada saya, saya tidak tahu. Mungkin mereka anggap saya ada sedikit keberanian dan kebolehan menegur ‘without fear dan fever’. Semasa menjadi ahli parlimen, saya menegur kerajaan BN dalam parlimen dalam isu-isu berkerajaan, termasuk yang saya tegur pada masa itu adalah penebangan hutan di seluruh negara . Masa itu saya bawa data peningkatan suhu mengikut negeri mengikut kadar balak atau hutan simpan yang mereka ada, yang mana pada umumnya negeri, kawasan yang ditebang hutan tidak ada lagi hutan simpan ditukar kepada bandar, suhunya meningkat berbanding 40 tahun dulu. Bila perkara ini berlaku di Kelantan sendiri, di bawah 'hidung' saya, adakah saudara  fikir saya boleh duduk diam, ini perjuangan saya. Ini cita-cita saya mahu melihat negeri ditadbir mengikut Islam iaitu khazanahnya dijaga dengan amanah. Kalau diagihkan ia mesti secara saksama, tujuannya mengoptimumkan pengedaran dan pengagihan kepada rakyat, terutama orang miskin, orang yang susah, menderita. Ini Islam. Ini yang diajar oleh Rasullullah. Oleh Abu Bakar Al-Siddiq, Abu Bakar Al-Aziz, oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalau berlaku sebaliknya saya tidak rela, tinggal lagi ada yang tanya kenapa dilakukan secara terbuka. Banyak jawapan kepada soalan ini. Satu ialah perkara yang dilakukan berleluasa, kalau satu saya diam. Macam isu KPK, 20 ribu ekar yang dikhaskan untuk dana rumah rakyat Kelantan berlaku sekitar 2012 atau 2013 kelulusannya. Pengurusannya 2013/2014. Saudara lihat adakah saya membuat teguran secara terbuka? Tidak ada tetapi bila KPK hendak 'ditutup'  operasinya telah dibekukan. Beri kawasan kepada satu syarikat secara jangka panjang, kemudian kuasa seluruh konsesi tadi diberi kepada hanya tiga orang. Jadi seramai-ramai ahli lembaga KPK,  menurunkan kuasa kepada tiga orang inilah yang akan ada kuasa walaupun tidak dispesifikkan apakah bidang kuasa. Jadi saya mula bersuara. Kemudian timbul isu memberikan kawasan ladang kepada sebuah syarikat . Saya tulis surat kepada Menteri Besar ketika itu. Kalau tengok balik dalam ucapan dewan MB bagi keyakinan perkara ini tidak akan berlaku. Masa gulung belanjawan pada  2013. Jadi masa saya tulis surat tertutup itu, adakah saya maklum kepada Sinar Harian, kepada media sosial. Tidak ada. Masa itu saya dengan Datuk Ahmad Yakob sahaja. Timbalan pun tidak tahu, isteri saya tidak tahu, Adun lain pun tidak tahu. Kemudian berlalu begitu.

April lalu keluar surat kelulusan baharu pada syarikat yang sama ambil keputusan tahun 2013.  Kononnya keputusan itu tidak dibatalkan hanya dibekukan. Apa sikap saya kalau saudara adalah saya? Saudara berjuang kerana mahu melihat rakyat mendapat yang terbaik di bawah nama Islam. Saya masih Adun daripada 32 Adun Pas, kalau saya duduk kampung tidak ada masalah.

Kerajaan terbentuk dengan 11 Exco, dengan tunggaknya saya salah seorang. Saya masih ada kewajipan dari segi agama, dari segi rakyat. Bila berlaku lagi tahun 2015, saya terpaksa buat teguran, masih lagi secara tertutup. Surat saya sebelum Hari Raya Aidiladha (21 September 2015). Apa jawapan? Ada telefon, SMS, keputusan itu dibatalkan, orang datang jumpa saya. Mungkin saya ini terlalu kerdil, tidak ada apa-apa kehormatan, tulis surat pun orang tidak layan. Tulis surat pun orang tidak balas.

Bila syarikat ini mendapat kelulusan dia akan jual kayu balak. Akan tebang semua kecil dan besar. Lori keluar siang malam bawa keluar balak. Ikut maklumat terkini hampir 500 ribu ekar kawasan hutan simpan kekal Kelantan yang sudah dijadikan ladang. Mana dia gajah, harimau, seladang, rusa, bunga-bunga hutan, pokok gaharu asli semula jadi, sungai, flora dan fauna. Semuanya dimusnahkan. Pada hal kita kata, kita khalifah di muka bumi.

Kenapa semasa Datuk berada dalam kerajaan, teguran demikian tidak dilakukan?

Anda boleh tanya bekas pegawai kerajaan yang jujur dan amanah. Bagaimana saya berhujah dalam Jawatankuasa Perhutanan Negeri. Bagaimana saya bawa dalam mesyuarat dalaman Adun dan Exco pada 2012. Bagaimana saya telah maklumkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebanyak tiga kali, khusus mengenai isu tebang habis untuk menjadikan ladang.

Saya tidak dapat apa-apa kesan positif. Jadi, saya tulis surat kepada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mewakili kerajaan negeri hari ini tetapi saya simpan lagi. Saya ingin bagi tahu semua, inilah isu yang saya paling tidak boleh terima dan semua kelulusan ini diberikan menerusi keputusan mesyuarat sahaja dan yang terbaru diberikan kepada sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan pada 2014. Kalau kerajaan negeri mahu berlaku jujur, buat carian di Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian berapa kali syarikat itu mendapat kelulusan seperti itu. Kita baca dalam al-Quran yang membawa maksud, “Janganlah kekayaan itu, diagihkan kepada orang yang sudah kaya dalam kalangan kamu.” Ini dasar Islam. Itulah sebabnya saya telah bangkitkan isu ini.

Ada yang mengatakan Datuk ada sedikit masalah dengan beberapa pimpinan kerajaan negeri dari dulu sehingga sekarang. Apa penjelasan mengenai perkara ini?

Saya tidak ada masalah dengan sesiapa, saya tidak ada apa-apa perkara yang bertembung. Cuma selepas saya digugurkan, orang ramai menganggap Exco itu buat kenyataan yang sedikit angkuh dalam isu yang berlaku, jadi orang ramai, bukan saya melihat kenyataan bersifat bombastik dan simplistik.

Jadi orang ramai melihat begitu, saya tidak pernah bertembung, kecuali satu isu kawasan pembalakan dalam hutan simpan, itu sahaja. Lain tidak pernah, kami bertembung.

Jadi itu adalah andaian sahajalah Datuk terhadap hubungan Datuk dengan Exco terbabit?

Tindakan individu tertentu untuk menunjukkan bahawa, yang pertama saya menyerang kerana saya tidak puas hati. Kedua, saya menyerang kerana saya mahu jatuhkan kerajaan negeri. Ini semua hendak menghalang saya daripada berdiri membetulkan keadaan. Ini juga nak memberitahu orang ramai saya ada niat tidak baik. Insya-ALLAH saya tidak terganggu.

Boleh lihat mereka menyerang saya tanpa fakta. Saya tetap akan fokus kepada isu berkerajaan. Isu peribadi walaupun saya ada maklumat dan dokumen saya simpan. Saya tidak dedahkan.

Datuk dikatakan Exco yang rapat dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dikatakan beberapa isu tidak dibawa kepada Exco tetapi terus kepada Tok Guru dan mendapat kelulusannya.

Saya dengan Tok Guru amat mesra dan rapat tetapi saya tidak pernah gunakan kedudukan rapat saya itu dengan Tok Guru untuk tujuan peribadi dan kerajaan.

Alhamdulillah. Contohnya lebuh raya, untuk rekod saya mencabar siapa yang kata saya dengan Tok Guru sahaja. Buka balik rekod bermula Julai 2011, kertas Exco yang pertama iaitu apabila RMK-10 dibentangkan, senarai peruntukan untuk Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai telah dibuka. Masa itu, ia diputuskan oleh Exco, bukan diputuskan oleh Tok Guru. Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Mohd Amar ada di situ, untuk berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, saya pergi merayu untuk peruntukan itu dihidupkan balik. Bila balik, kami sediakan laporan kepada Exco dan ada kertas laporan. Bukan makluman lisan. Yang mana, Exco telah memutuskan untuk membuat kajian, membina sendiri lebuhraya. Sejak itu, dalam Dewan Harian Negeri bincang, lajnah politik, Pas Kelantan, dalam Sidang Dewan pun bincang, dalam Exco berpuluh-puluh kali, sehinggalah satu jawatankuasa khas ditubuhkan dan saya dilantik menjadi pengerusi.

Saya mahu tanya, siapa yang lantik jadi pengerusi jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini dibentuk oleh Exco atau Tok Guru. Dalam itu wakil Exco lain (Takiyuddin), selain JKR, konsultan dan lain-lain. Kenapa masa itu tidak timbul, sampai mesyuarat Exco terakhir sebelum PRU. Mesyuarat Exco terakhir saya masih ingat lagi, saya membentangkan kertas kerja iaitu yang pertama, Exco menerima maklum pelantikan sebuah syarikat sebagai kontraktor utama pada April 2013. Saya simpan semua rekod mesyuarat Exco tersebut, jadi 2011 hingga 2013. Mereka tahu proses ini, bukan berlaku sekelip mata.

Tarikh pelancaran batu asas pun diputuskan oleh mesyuarat Exco. Tetapi bila hendak gugurkan saya sebagai Pengerusi Baldah Toiyibbah( syarikat mengurus lebuh raya), tiada orang maklumkan kepada saya. Ada datang bincang dan tanya saya? Bila dia nak singkirkan syarikat yang dilantik, ada tanya saya? Tiada surat (gugur dan pelantikan semula ) sampai sekarang. Tiada orang hubungi saya, tiada orang SMS saya sampai hari ini. Pengguguran saya hanya menerusi kenyataan akhbar. Jadi, kalau nak kata saya menggunakan nama Tok Guru, ini adalah fitnah paling besar. Semasa pelancaran batu asas, kenapa ada pemimpin besar dalam kepimpinan negeri yang tidak hadir. Kenapa dia tidak hadir, hari ini baru saya sebut perkara ini. Sedangkan itu perkara penting yang diputuskan Perhubungan Negeri Kelantan. Ada yang menyatakan kerajaan negeri sebenarnya tidak serius membina lebuh raya ini, sebaliknya cadangan ini bersifat ugutan kepada kerajaan pusat.

Tidak, ini saya buat sepenuh hati. Mula-mula saya dilantik Tok Guru, saya beritahu itu di luar kemampuan saya. Saya tidak pernah terlibat dengan pembinaan lebuhraya tetapi Tok Guru tekan suruh buat kerana baginya, kerana wajib bagi kita membuktikan Islam ada kemampuan, kemampuan memecahkan kepompong orang lain kepada kita. Kedua, bila kita pegang kerajaan Islam ada kemampuan bertanding sama dengan orang lain. Sebab itu, masa majlis perasmian, doa Tok Guru Nik Aziz, “Daripada keyakinan (bulat keyakinan Tok Guru), bukan main-main”.

Kami bukan buat kerana politik. Kami buat memang kerana mahu menyiapkan dan melaksanakan. Boleh fikir syarikat dari Korea datang, bukan main-main dia nak tandatangan RM2 bilion. Memang kita serius, tengok siapa yang anggotai jawatankuasa, yang terlibat dalam membina (lebuhraya) utara Selatan, bukan orang biasa, jadi segala-galanya telah diatur, cuma ada sedikit halangan iaitu mengenai kelulusan perlombongan. Tapi kami tidak pernah main-main dan kami menjangkakan ia dapat disiapkan, dan selepas PRU, saya masih lagi membuat kenyataan sebanyak dua kali. Saya sanggup untuk dilantik dan meneruskan tugas saya menyiapkan lebuh raya. Dan ucapan saya itu di hadapan (Exco) Datuk Hanifa di Pasir Mas, saya bagi tahu dalam ceramah dan dikeluarkan oleh pihak media. Saya yakin lebuh raya itu dapat disiapkan, sampai ke hari ini saya yakin. Bahkan jika diberi peluang kepada saya, saya boleh menerima. Insya-ALLAH, saya akan siapkan lebuhraya itu, walaupun lombong itu telah diberikan kepada pihak lain. Saya yakin ada peluang dan jalan untuk siapkan lebuh raya ini.

Jadi, sesetengah yang curiga terhadap Datuk, ada bersikap sinis dan negatif terhadap Datuk. Apakah punca yang menyebabkan ia berlaku?

Itu kena tanya orang itulah kerana sepanjang saya berada dalam Exco, secara dalamnya tidak ada bertentangan, belakang mungkin. Satu yang saya konsisten ialah sejak dalam Exco, saya tidak boleh bertoleransi dengan perkara yang saya anggap tidak baik untuk rakyat, dan apa yang saya kongsi dengan Tok Guru ialah kena buat sesuatu yang cemerlang, tidak boleh memerintah ala kadar dan tidak boleh memerintah kerana hendak sedap sendiri.

0 Komentar untuk " Husam Musa: 'Saya rela hilang segalanya' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ