Menanggapi gagasan Saifuddin - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menanggapi gagasan Saifuddin

TULISAN Datuk Saifuddin Abdullah dalam Sinar Harian, 12 Oktober 2015, amat wajar diperhatikan. Dalam memberikan perhatian, kita boleh menyokongnya, dan boleh juga berdiri selaku pembangkangnya.  Saifuddin telah terbiasa dengan kedua-dua keadaan itu.

Ketika beliau dalam kerajaan, berjawatan timbalan menteri, Saifuddin pernah memberikan pandangan yang berbeza daripada anggota-anggota Kabinet yang lain. Beliau berdiri selaku tokoh politik baharu, yang membezakan dirinya daripada anggota kerajaan lain. Akibat daripada pemilihan jalan demikian, beliau kemudiannya kalah dalam pilihan raya. Pengundi mungkin berfikir, jika hendak berada di sebelah kerajaan, bersikap kerajaan, jika mahu membangkang, betul-betul jadi pembangkang, jangan separuh kerajaan separuh pembangkang.

Saifuddin tahu semua itu, namun dia bertindak selaku pemikir. Baginya, seperti yang dimadahkan oleh Walter Lippman, “When all think alike, no one thinks very much.” Ertinya, (dalam konteks Umno), jika  semua orang Umno berfikiran sama, maka tiada orang Umno yang berfikir bersungguh-sungguh. Jadi, Saifuddin memikirkan arah baharu. Arah baharu yang dipeloporinya menemukan jalan sukar, kerana dalam sesetengah hal, beliau melupakan hakikat politik Malaysia.

Politik Malaysia ialah yang dibina oleh orang terdahulu untuk berada pada tahap kini. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa. Jika kita mempunyai pandangan yang berlainan, seperti disebutkan oleh Saifuddin, nyatakan pandangan itu. Saya sendiri, pada dekad 1970an, berfikiran seperti Saifuddin. Seorang tokoh politik di tempat saya, Haji Shapie Derani, ketika itu mengatakan jalan politik gaya baharu  akan dicapai dalam dekad 1990an. Haji Shapie masih aktif kini, selaku Timbalan Pengerusi Tetap Bahagian Padang Besar. Beliau tentu mengakui, bahawa perubahan drastik tidak berlaku pada dekad 1990an.

Sebelum tiba dekad 1990an, iaitu dalam dekad 1980an, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Umno. Itu bererti Anwar merestui cara Umno, biarpun beliau dikenali sebagai tokoh yang progresif. Beliau tidak pernah keluar dari Umno, hinggalah beliau dipecat dalam tragekomedi (tragedi + komedi) politik yang amat dramatik itu.

Isu Saifuddin ialah gagasan mempertahankan maruah Melayu. Beliau tidak bersetuju, kerana menurut beliau adalah jauh lebih baik jika yang dipertahankan ialah maruah semua rakyat Malaysia. Saifuddin bimbang, jika hal Melayu ditekankan, kita akan masuk ke daerah asabiyyah. Sebenarnya ini ialah idea yang muncul dalam dekad 1980an, dibawa oleh beberapa tokoh Pas.

Dalam memikirkan pemerintah dan rakyat, elok kita ambil pandangan tokoh terdahulu. Tokoh falsafah Barat, Friedrich Wilham Nietzsche menyebutkan bahawa golongan yang dominan dalam masyarakat hendaklah diberi kuasa. Pemimpin baik ialah yang berkeupayaan superhuman. Ini tentulah berlainan daripada suara demokrasi yang dilaung-laungkan kini. Dalam demokrasi, semua orang disarankan mendapat peluang yang sama. Hakikat politik bukan demikian. Jika dalam perniagaan pemodal yang sedia kukuh akan menguasai pasaran, dalam bidang politik tokoh yang bertapak, terutama yang sedang memerintah sentiasa memiliki keistimewaan.

Nietzsche tidak memberikan faedah kepada kita dalam hal gagasan agama, tetapi dalam menyatakan kuasa kaum yang dominan dan pemimpin superhuman, dia benar.

Menurut Saifuddin, politik consociationalism, tidak begitu baik.  Beliau mencadangkan amalan centripetalism. Bagi saya consociationalism lebih baik daripada centripetalism. Konsep centripetalism sesuai jika kita berbalik ke zaman kerajaan Kesultanan Melaka. Pada masa itu, kita tidak berada dalam suasana berbagai etnik, berbagai bahasa, dan berbagai agama.

Sekarang, consociationalism masih terbaik. Saifuddin tidak menyenanginya kerana didapatinya consociationalism bergerak ke arah   dominasi Bumiputera. Memang ada anak Melayu yang mencemuh sistem yang menaikkan dirinya, dan memilih centripetalism yang berkemungkinan  membawa anak cucunya ke belukar kemunduran.

Saya sebutkan di atas, bahawa itu ialah kemungkinan. Pemikiran politik tidak akan menuju kepada ketepatan. Politik ialah seni kemungkinan. Sejauh yang kita lihat, fahaman sosialisme tidak naik, walaupun puluhan tahun dibawa dengan gigih oleh sejumlah cerdik pandai Melayu. Mengapa? Jawapannya antara lain sosialisme sejalan dengan centripetalism. Centripetalism tidak sesuai dengan orang Melayu yang mengharapkan perlindungan. Masyarakat bukan Melayu pula melihat bahawa politik bertolak ansur adalah terbaik.


* Datuk Rahman Shaari pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

0 Komentar untuk " Menanggapi gagasan Saifuddin "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ