Dunia hari ini semakin menuju penghujungnya. Pelbagai peristiwa dan fenomena alam yang berlaku di muka bumi ini menunjukkan betapa tuanya usia bumi Allah SWT. Jangkaan manusia mengenai perubahan iklim dan cuaca sering kali tersasar disebabkan ketidakstabilan alam. Ini sememangnya tidak dapat dinafikan semua pihak. Justeru, adakah kita masih mahu bertangguh untuk bertaubat kepada Allah SWT atas setiap dosa dan kemungkaran yang telah kita lakukan? Amat malang bagi kita jika setiap bencana yang berlaku seperti gempa bumi di Nepal baru-baru ini, langsung tidak membawa kesedaran dalam hati. Bukankah ini juga antara peringatan daripada Allah SWT? Renungkan peringatan Nabi SAW dalam sabda Baginda: "Tidak akan terjadi kiamat sehingga banyak terjadinya 'Al-Haraj'. Sahabat bertanya: Apakah itu 'Al-Haraj' wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan demi pembunuhan." (Riwayat Imam Muslim) Isu jihad oleh militan Negara Islam (IS) di Malaysia seolah-olah belum menemui titik penghujungnya. Semakin hari semakin banyak berita yang dipaparkan media massa mengenai pembabitan rakyat Malaysia yang berjihad bersama mereka. Perjuangan militan IS menyalahi jihad sebenar Bukan sahaja orang dewasa, malah remaja juga ada yang terbabit dalam kumpulan ini. Militan IS bukan sahaja sanggup memerangi orang yang tidak bersetuju berbai'ah dengan mereka, bahkan tanpa belas kasihan sanggup membunuh. Inikah jihad yang sebenar? Sebenarnya perbuatan mereka ini adalah satu kebatilan dan kemungkaran yang amat jelas. Justeru, jelaslah perjuangan mereka sememangnya menyanggahi jihad sebenar. Sedangkan jihad itu bersih daripada kebatilan dan kemungkaran. Berjihad memerangi kebatilan dengan cara lebih berhikmah tanpa mengangkat senjata atau peperangan seperti militan IS adalah lebih utama untuk dilaksanakan khususnya di Malaysia. Sememangnya sudah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam untuk memerangi kebatilan di samping memartabatkan kebenaran. Sedarlah, kita adalah satu umat yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti difirmankan Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104) Pelbagai bentuk kebatilan berlaku dalam masyarakat terutama umat Islam di negara ini. Jika tidak dibendung dan diatasi segera, dibimbangi suatu masa nanti ia dilihat baik pada pandangan mata masyarakat. Sedarlah bahawa barah kebatilan ini mesti dicegah bersungguh-sungguh. Martabatkan Islam Marilah kita berjihad memerangi bentuk kebatilan seperti fitnah di media sosial, gejala negatif dalam media, ajaran dan pemikiran sesat, khurafat dan bidaah. Yakinlah setiap usaha yang kita lakukan untuk memerangi kebatilan adalah jihad semata-mata memastikan Islam dimartabatkan, syariat diperteguhkan dan akidah dipertahankan. Sesungguhnya kebatilan disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang mengingkari perintah Allah SWT dan Rasul. Jihad memerangi kebatilan wajib kepada setiap umat Islam dengan cara berhikmah tanpa perlu mengangkat senjata. Berusahalah untuk menjadi penegak kebenaran dan penentang kebatilan walaupun dengan usaha yang kecil atau sedikit. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap." (Surah al-Isra', ayat 81)
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/58071
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/58071
0 Komentar untuk " Khutbah Jumaat: Jihad perangi kebatilan tanpa senjata "