Dia tidak diberi cukup makanan, hanya keropok ikan dan air sejuk. Lebih malang lagi didera setiap hari sehingga patah 13 tulang merangkumi tulang rusuk, pinggul, lengan.
Menurut doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II, (HRPZ II) Kota Bharu,
Kelantan, mangsa turut menghadapi radang paru-paru dan sukar bernafas kesan daripada kecederaan yang dialami.
Ayah kandung dan ibu tiri mangsa kini ditahan polis untuk siasatan kerana disyaki mendera anak tersebut. Sampainya hati sehingga sanggup mendera kanak-kanak seteruk itu.
Segarang-garang harimau tetap sayangkan anak. Di mana nilai kemanusiaan kita?
Marilah sama-sama di bulan Al-Mubarak yang penuh barakah ini kita mendoakan Nur Zuliana cepat sembuh. Berilah peluang untuk dia hidup seperti kanak-kanak lain!
SYABAS kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang Khamis lalu berjaya menahan 19 tauke ladang di Cameron Highlands kerana disyaki memberikan rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa.
Seperti yang dilaporkan media sogokan berjumlah RM163,577 itu bertujuan mengelakkan jabatan dan agensi mengenakan tindakan ke atas tauke dan pengusaha yang melanggar peraturan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah penerokaan tanah haram, melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (LPS), melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) dan menyimpan racun tidak berjadual.
Beribu hektar tanah di kawasan berkenaan telah ditarah dan dibotakkan secara haram. Beribu-ribu warga asing tanpa izin dilambakkan di situ hingga menimbulkan masalah ekologi, termasuk banjir kilat yang mengorbankan nyawa.
Ternyata kini rasuah dalam kalangan pegawai agensi penguat kuasa memang berlaku. 19 tauke terbabit tentu dapat memberitahu pegawai-pegawai kaki busuk yang telah ditumbuk rusuk itu.
Maka harapan umum sekarang – kalau boleh dalam waktu terdekat – ialah si kaki busuk dan pengkhianat itu mestilah juga dikenakan tindakan. Pemberi dan penerima rasuah, tidak kira siapa, mesti dihukum.
SELAIN kisah jari hancur akibat bermain mercun buatan sendiri, ada satu lagi berita yang selalu kita baca setiap kali bulan puasa, iaitu kenaikan harga ayam. Sana-sini pengguna mengeluh ayam naik harga.
Seperti yang dilaporkan Bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memulakan siasatan berhubung isu kenaikan harga ayam di pasaran.
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, siasatan dijalankan melibatkan pelbagai pihak seperti penternak, pemborong serta peruncit dan hasil siasatan mendapati bekalan ternakan itu adalah mencukupi bagi menghadapi Aidilfitri.
Menurut beliau pada masa ini, harga ayam di ladang adalah sekitar RM4.70 sehingga RM4.90 sekilogram, berdasarkan harga berkenaan harga ayam standard di pasaran sepatutnya dijual sekitar RM7.60 sekilogram.
Beliau menegaskan, peniaga tidak ada alasan munasabah untuk menaikkan harga ayam di pasaran lebih daripada yang telah ditetapkan. Siapa pun yang menjadi ‘menteri ayam’ inilah kenyataan dan jaminan yang diberikan setiap Hari Raya Puasa. Rakyat sudah jemu mendengar klise ini!
MASUK minggu ketiga Ramadan, banyak masjid dan surau mula berkurangan jemaah untuk solat sunat tarawih. Walaupun ada moreh yang lazat, orang tidak berminat lagi hendak mengimarahkan bulan al-Mubarak di masjid dan surau.
Dalam pada itu nampaknya kita akan meneruskan puasa – dan beraya – dalam keadaan panas yang luar biasa. Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangka kita akan menghadapi cuaca lebih panas berikutan monsun barat daya yang sedang melanda negara.
Sudahlah panas, air pula kering kontang. Beberapa kawasan di Selangor sudah tidak berair. Ada yang mengadu: Kepala ada, batang pun ada, tetapi paip tidak berair, hanya mengeluarkan angin. Betapa menderitanya penduduk di kawasan terlibat.
Di Johor pun beberapa empangan mula menunjukkan penurunan takungan air secara mendadak dan kritikal. Sekiranya hujan tidak turun, ada kemungkinan orang Johor pun puasa dan raya dalam kekeringan.
AKHIR kalam, sudahlah cuaca panas luar biasa, hendak menyejukkan badan pun susah sebab paip tidak berair, tiba-tiba Abang RON pula tak fasal-fasal naik. RON95 naik sekupang, RON97 naik dua kupang. Maka semakin panaslah suasana puasa dan raya!
TOK PERAK
0 Komentar untuk " Abang Ron hangatkan suasana raya "