Malaysia manfaat peluang terajui industri kenderaan elektrik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia manfaat peluang terajui industri kenderaan elektrik

Tidak mencemar udara dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api. Dua faktor yang menyaksikan peningkatan dalam penggunaan kenderaan elektrik (EV) di seluruh dunia. Maka tidak hairan apabila kenderaan ini mencatat peningkatan sebanyak 1,000 peratus setahun iaitu daripada 10,000 unit setahun pada tahun 2010 kepada 300,000 unit pada tahun 2014 di seluruh dunia. Pada masa sama, menyedari bahawa kedua-dua faktor berkenaan sangat penting untuk masa hadapan, industri ini turut menyaksikan perbelanjaan pelaburan sebanyak RM57.8 bilion di seluruh dunia dalam bentuk infrastruktur, insentif fiskal, penyelidikan dan pembangunan serta pengujian. Senario sama turut disaksikan di negara ini apabila pengeluar EV utama di China dikatakan sedang mengkaji kemungkinan membina kilang di Kedah yang akan dijadikan platform bagi pasaran ASEAN selain program perkongsian EV yang semakin mendapat sambutan di Kuala Lumpur. Program bas elektrik, prototaip EV Dalam merancakkan lagi industri ini pada peringkat tempatan, program bas elektrik pertama negara juga dilancarkan,  manakala sebuah syarikat automotif tempatan kini berusaha keras mengeluarkan prototaip EV mereka.  Jelas di sini, EV bukan saja menyumbang dari aspek alam sekitar, kewujudan pasaran EV juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.  Dengan menjadikan Malaysia sebuah pasaran EV, peluang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung tempatan (DDI) baru akan bertambah dan ini bakal memacu pertumbuhan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi di dalam sektor EV dan teknologi hijau serta yang berkaitan. Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) turut menganggarkan bahawa industri EV dapat menarik sejumlah RM328 juta FDI dan DDI selain menyumbangkan lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan hijau pada tahun 2020. Manfaat pertumbuhan EV Selain faedah sosioekonomi, Malaysia mempunyai peluang keemasan memanfaatkan pertumbuhan EV bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor baharu ini.  China, Jepun dan Korea Selatan sudah mendahului pertumbuhan EV di Asia manakala negara jiran, Thailand pula sudah membangunkan hab pembuatan automotif yang kukuh serta rancak mengembangkan portfolio EV mereka.  Dengan polisi kukuh dan tindakan pantas, Malaysia berpeluang cerah memimpin revolusi EV di ASEAN dengan menarik syarikat asing di seluruh rantai nilai EV untuk bertapak di sini. Dengan harga minyak mentah turun naik, Malaysia turut menyarankan pengurangan kebergantungan kepada bahan api secara beransur-ansur.  Jika dilihat daripada keseluruhan rantaian nilai pun, EV menawarkan kelebihan yang tinggi dari segi kecekapan dan dengan itu membantu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api untuk jangka masa panjang. Secara spesifik, EV berupaya menggunakan 40 peratus daripada keseluruhan kandungan tenaga bagi satu tong minyak mentah berbanding 15 peratus bagi kenderaan bermotor biasa, satu jumlah yang sangat ketara dari aspek penjimatan minyak mahupun penggunaan tenaga yang cekap. 665,000 unit EV diguna serata dunia Melihat kepada laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), ada lebih 665,000 unit EV digunakan di serata dunia pada masa ini. Ia adalah peningkatan sangat ketara daripada hanya 180,000 unit pada tahun 2012. Norway mendahului agihan pasaran dengan sebanyak 13 peratus daripada jumlah kenderaan persendirian di negara berkenaan adalah EV. Ini diikuti Belanda (empat peratus) manakala Amerika Syarikat dan Sweden masing-masing dua peratus.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/65336
0 Komentar untuk " Malaysia manfaat peluang terajui industri kenderaan elektrik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ