Kehidupan itu suatu taklif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kehidupan itu suatu taklif

MANUSIA dikurniakan akal untuk berfikir, hati untuk memiliki rasa dan nilai serta daya sebagai sumber amal. Manusia Islam memiliki landasan taabudi menghubungkan diri dengan ALLAH dalam konteks hablumminallah dan wahablum minannas.

ALLAH SWT menanzilkan al-Quran sebagai mukjizat penting memberi petunjuk dan pedoman untuk keyakinan dan kehidupan manusia supaya manusia berada di landasan yang fitrah. Landasan yang fitrah ini amat utama dibangunkan supaya manusia berada di tempat yang benar dari sudut aqidah, ibadah, syariah dan akhlak.

ALLAH pilih para Rasul untuk membawa khabar gembira dan peringatan (wabasyira wanazira) mengenai risalah tauhid. ALLAH pilih Nabi Muhammad SAW sebagai khatamul anbia atau Nabi terakhir untuk membawa risalah Qurani dalam kehidupan manusia.

Al-Quran dan risalah Qurani dibangunkan dalam diri Nabi sehingga Sunnahnya menjadi sumber ikutan kepada umat Islam.

Sifat Islam sebagai pendukung rahmah alamiah tidak terbatas untuk orang-orang Arab tetapi juga untuk seluruh umat manusia (rahmatan lil ‘alamin). Rahmah alamiah ini menuntut berlakunya dakwah dan tarbiah, jihad dan keutamaan ilmu yang benar dan bermanfaat disampaikan kepada umat manusia.

Tanpa ilmu yang benar dan bermanfaat yang datangnya daripada ALLAH manusia bakal kehilangan suluh untuk membebaskan diri mereka dari kejahilan. Kehidupan manusia bukan sekadar terhubung dengan hal-hal yang tampak dan nyata tetapi terhubung juga dengan hal-hal yang ghaib.

Sumber naqliah (al-Quran) dan akliah (pemikiran) adalah penting untuk membina tasawur yang betul dan prasyarat menjadi ululalbab (manusia yang mengetahui).

Membentuk watak ululalbab berasaskan sumber al-Quran tidak saja membentuk watak alimin (orang yang berilmu) tetapi juga membangun watak amilin (terlihat pada amal). Indahnya Islam tidak sekadar cakap dan syarah tetapi terbina dengan watak mithali yang menjadi contoh ikutan dan teladan.

Lalu kehidupan sebagai seorang Islam adalah suatu taqlif atau amanah. Amanah kita dengan ALLAH tidak saja dalam batas kehambaan tetapi juga berkembang dalam batas kekhalifahan.

Kehambaan menuntut asas taat, patuh, akur dan tunduk kepada pedoman dan larangan ALLAH dan ia diterjemahkan dalam upaya kekhalifahan yang mendukung sifat benar, telus dan tulus, ikhlas, adil dan bijaksana supaya bukti Islam (selamat-sejahtera-damai) memberi manfaat kepada umat manusia.

Taklif atau amanah manusia kepada ALLAH membawa watak ihsan dalam kehidupan. Ihsan seperti yang dirujuk dalam hadis Rasulullah SAW, “Melakukan yang terbaik kerana ALLAH, meski tidak melihat ALLAH, wujud keyakinan diri bahawa ALLAH melihat kita”. Asas ubudiyyah ini memberi landasan bahawa apa saja yang terbetik di hati, diperkata dan diamalkan sentiasa dalam pemerhatian dan pengetahuan ALLAH.

Keihsanan (God-Conciousness) memberikan pedoman yang sifatnya batini dan memberi pengarahan yang sifatnya amali hingga terbina amal soleh (illallazi na’amnanu waamilus saalihat – orang-orang beriman terlihat pada amal solehnya).

Amal soleh ini adalah natijah akhir manifestasi diri manusia terhadap amanah dan tanggungjawab. Inilah kewibawaan (integriti) diri insan terhadap ALLAH dan hikmahnya terhubung kepada diri manusia dan sistem.

Secara fardhi (diri) amanah diri yang paling utama ialah menyempurnakan tanggungjawab kita kepada ALLAH. Apabila ALLAH SWT memerintahkan manusia Islam melakukan solat ia terkandung maksud rukuk dan sujud membentuk watak ibadulullah dan ibadur rahman.

Secara jamai’ (jamaah) ia mencetuskan rasa muafakat yang tinggi dalam memikir, merancang dan melaksanakan sesuatu untuk kebaikan bersama. Ikhlas kerana ALLAH umpamanya membawa sifat jujur, amanah dan adil kerana pertimbangan dalam amal dan perbuatan sentiasa mengambil pertimbangan ALLAH yang mempedoman sifat-sifat tersebut supaya ia terlaksana dalam kehidupan.

Islam tidak sekadar suatu sistem kepercayaan yang terkandung prinsip dan pedoman untuk dimanfaatkan oleh manusia dalam melakukan apa saja dalam hidup ini. Islam juga adalah cara hidup. Cara hidup yang dipedoman oleh al-Quran dan as Sunnah bakal menjadi kita umat terbaik.

Al-Quran dalam Surah al Imran ayat 110 menyatakan dengan jelas tiga prinsip untuk menjadikan umat terbaik (khayra ummah) iaitu menyuburkan kemakrufan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada ALLAH.

Tiga prinsip ini amat penting berlaku supaya taklif manusia dengan ALLAH berlaku dan amanah manusia sesama manusia terjadi.

* Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Kehidupan itu suatu taklif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ