Siapa tak nak jadi jutawan? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa tak nak jadi jutawan?

SEJAK menolak tawaran Mariam melalui e-mel supaya saya warisi wangnya berjumlah lebih RM1 juta tahun lalu, saya tidak terima lagi rayuan mendayu-dayu daripada ‘wanita’ itu.

Saya tolak bukan kerana saya malaikat yang sah tidak perlu wang dan harta atau kerana saya sudah kaya-raya.

Saya berbuat demikian kerana tidak ada jawapan mengapa dalam berjuta-juta ‘kumbang’ yang ada, Mariam pilih saya untuk serahkan wangnya.

Mariam mendakwa dia menghidap penyakit yang membawa maut dan perlu pindahkan semua wangnya ke akaun saya kerana dia tiada sesiapa untuk dia percayai.

Pening. Ada perempuan yang tidak pasal-pasal percaya pada saya dan sanggup serahkan RM1 juta kepada saya, sedangkan kami tidak pernah bertentang mata.

Saya cuba sangka baik, tetapi hati kecil saya masih syak ini bukan Mariam, dan saya bukanlah lelaki tunggal yang jadi sasarannya.

Selepas Mariam, saya terima pula e-mel yang sama nada daripada dua tiga ‘perempuan muda’. Dipendekkan cerita, saya buat keputusan tidak layan seorang pun,

Baru-baru ini, seorang sahabat lama pula ajak saya sertai perniagaan berkaitan pertukaran wang asing yang menjanjikan pulangan yang sangat memberangsangkan.

“Hang labur RM24,000 bulan ni, hang terima RM2,500 setiap bulan mulai bulan depan,” kata sahabat saya, orang utara.

Saya tidak ragu-ragu dengan ceritanya, apa lagi setelah dia tunjuk rekod pulangan bulanan yang dia sendiri terima sejak dia melabur lebih setahun lalu.

Katanya, saya perlu bayar, bukan kepadanya, tetapi ke akaun syarikat beribu pejabat di Eropah.

Dia hanya akan dapat 4 peratus daripada jumlah yang saya laburkan.

“Kalau hang tak labur pun, aku dapat juga tiap-tiap bulan daripada jumlah pelaburan aku sendiri,” katanya.

Saya beritahu, saya ada komitmen lain. Sebenarnya, saya sudah banyak dengar tentang isu pelaburan, bahkan pernah terlibat.

Tidak lama dahulu, seorang rakan saya hilang hampir setengah juta ringgit yang dilaburkan.

Dia pinjam daripada isteri dan anaknya untuk cukupkan kira-kira RM460,000 untuk melabur dalam syarikat tukaran wang asing.

“Dalam dua minggu, semua duit aku habis. Yang tinggal RM1,000 sahaja,” katanya.

Sekiranya tidak kuat iman, katanya dalam nada terketar-ketar, “mungkin aku panjat pokok (kerana jadi gila)”. Saya hanya mampu berkongsi kesedihannya.

Yang mengalami nasib seperti kawan saya itu bukan sedikit. Beberapa rakan saya juga pernah melabur dalam syarikat piramid.

Mereka perlu labur RM6,000 untuk jadi pengedar utama dan mendapat barang yang sama nilai dengannya.

Setiap kali ada pengedar yang mereka rekrut bayar RM6,000 untuk jadi pengedar utama, mereka akan dapat RM6,000 itu.

Maknanya, jika 10 orang mereka rekrut bayar RM6,000 mereka dapat RM60,000.

Malangnya, indah khabar dari rupa. Ramai yang tidak sempat mendapat semula pelaburan mereka sendiri kerana pengedar yang mereka rekrut tidak mampu bayar RM6,000 untuk jadi pengedar utama.

Hampir selang sehari kita dengar atau baca kes-kes orang rugi ribu-ribu ringgit, setengah akibat pelaburan, setengah akibat kena tipu.

Seorang wanita baru-baru ini memasukkan lebih RM1 juta secara beransur-ansur ke dalam akaun pemuda yang diharapkan dapat memberi keuntungan setelah mengahwini anaknya.

Belum apa-apa, dia hilang duit dan bakal menantu menghilangkan diri.

Baru-baru ini, seorang warga emas menyerahkan RM10,000 yang dikeluarkan dari akaun Tabung Haji kepada seorang perempuan yang minta dia jadi penjamin untuk menuntut hadiah bernilai RM200,000 yang dimenangi melalui nombor ekor.

Tiga hari sebelum itu, tiga orang menyerahkan antara RM150 dan RM200 kepada perempuan yang bertanyakan arah dan kemudian minta ditunjukkan RM.

Dalam kedua-dua kes di atas, mereka yang menjadi mangsa mendakwa terasa seperti dipukau.

Dalam banyak kes kita selalu dengar cerita mangsa sama ada disamun atau kena pukau.

Dari penelitian saya, saya syak ramai daripada kita tertipu bukan kerana dipukau, tetapi kerana membiarkan diri kita jadi ‘gullible’ (mudah diperdaya).

Siapa tidak mahu jadi jutawan! Tetapi kita perlu sentiasa berwaspada.

Jangan main serah tanpa periksa.

Kita susah payah cari duit, akhirnya serah pada orang dengan mudah. Wallahualam!

0 Komentar untuk " Siapa tak nak jadi jutawan? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ