Halal pendapatan berkat kehidupan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Halal pendapatan berkat kehidupan



MUTAKHIR ini kita bersyukur melihat kepekaan umat Islam dalam memastikan makanan yang dimakan setiap hari halal, bersih dan suci. Umat Islam juga semakin sensitif dalam memilih gerai dan restoran yang mempunyai persijilan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

Tidak dinafikan bahawa perkembangan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan Malaysia sebagai hab halal utama di dunia.

Namun, penulis juga melahirkan rasa kebimbangan kerana wujud segelintir umat Islam umpama tidak ada nilai sensitiviti untuk memastikan agar makanan yang dimakan itu bukan hanya halal, bersih dan suci dari sudut bahan-bahannya, bahkan dibayar dan diperoleh menggunakan sumber pendapatan yang sah dan halal.

Isu ini menjadi suatu hambatan kepada cara hidup umat Islam kini kerana memperoleh pendapatan dari sumber yang halal juga sangat dituntut dalam Islam.

Tiada gunanya jika kita hanya mementingkan makanan yang diambil itu halal dan baik untuk dimakan. Namun, dari aspek yang lain kita mengabaikan sumber pendapatan yang kita peroleh.

Kita perlu sentiasa bertanya kepada diri kita, adakah wang hasil pendapatan yang diperoleh ini benar-benar halal? Ini kerana wang hasil pendapatan itulah yang kita gunakan untuk membiayai perbelanjaan keperluan hidup kita seharian, membayar ansuran bulanan kenderaan, ansuran rumah, perbelanjaan persekolahan anak-anak, barangan keperluan rumah, membayar nafkah zahir kepada isteri dan menghadiahkan kepada kedua ibu bapa kita sebagai tanda penghargaan atas jasa-jasa mereka membesarkan kita.

Alangkah malangnya nasib isteri, anak-anak dan ibu bapa kita sekiranya wang yang kita berikan kepada mereka setiap bulan datangnya dari hasil yang tidak halal seperti penipuan, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Sebagaimana peringatan Ra-sulullah  dalam  sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani: “Tidak akan sesekali berganjak kedua-dua kaki seseorang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan empat perkara; berkenaan masa mudanya, pada perkara apakah dia telah habiskan? Berkenaan umurnya, pada perkara apakah dia telah gunakannya? Dan berkenaan hartanya, dari mana dia dapatkannya dan ke manakah dia belanjakannya?”

Sesungguhnya Islam tidak menyekat atau melarang kita mengumpul kekayaan. Namun kekayaan yang dikumpulkan itu perlu datang dari sumber yang halal dan hendaklah dalam lingkungan mencari keredaan ALLAH.

Halal bukan hanya bermaksud bersih dan suci dalam konteks penyediaan makanan sahaja tetapi halal bermaksud sah dan tidak ada syubhah padanya. Lawan bagi halal adalah haram iaitu perkara yang dilarang dan ditegah sama sekali.

Hakikatnya, menggunakan hasil dari pendapatan yang tidak halal akan menjerumuskan seseorang kepada ketidakberkatan dalam hidup. Hasil pendapatan yang diperoleh dirasakan sentiasa tidak mencukupi kerana hilangnya nilai takwa dan takut kepada ALLAH SWT.

Lebih dari itu, seseorang itu juga merasakan dirinya tidak tenang dan berserabut meskipun hidupnya dilingkari oleh kemewahan dan kesenangan.

Dalam hadis lain yang diri-wayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih layak untuk daging itu.” Ancaman yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap umat Islam ini perlu diberikan perhatian yang serius.

Gejala tidak mementingkan sumber pendapatan yang halal boleh merosakkan sesebuah institusi keluarga dan merencatkan proses pembangunan peradaban kerana makanan dari sumber yang haram dan kemudian menjadi darah daging keturunan kita akan menyebabkan hilangnya keberkatan dalam ibadah, dicabut ketenangan dalam diri dan dihinggapi penyakit rasa ketidakcukupan terhadap harta dunia.

Justeru, mulakan sebarang pekerjaan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas dan bersungguh-sungguh serta dengan penuh integriti demi mendapat keberkatan ALLAH. Moga-moga ALLAH SWT sentiasa memberi petunjuk dalam segala amalan yang kita lakukan agar kita mengecapi kehidupan yang baik dan bahagia di dunia dan akhirat.

0 Komentar untuk " Halal pendapatan berkat kehidupan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ