Dialek dan kepekaan generasi muda - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dialek dan kepekaan generasi muda

BULAN Mei tahun 2016 menjadi tarikh keramat untuk peminat rancangan bahasa di radio Kelantan FM, kerana pada bulan yang sama tahun 2006, bermulalah program Kayanya Bahasa Kita menerusi rancangan Rampai Budaya. Program ini lahir daripada kesedaran bahawa, pada era globalisasi, peranan media amatlah penting dalam usaha pembinaan negara bangsa melalui pengukuhan jati diri rakyat.

Atas tanggungjawab inilah, maka Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur telah mengilhamkan program tersebut melalui kerjasama dengan stesen radio Kelantan FM.

Rancangan ini disiarkan secara langsung bermula pukul 5.30 petang dan tamat pukul 6 petang pada setiap hari Khamis. Program interaktif ini memberi fokus terhadap dialek Kelantan, yang kebetulannya bersiaran menggunakan medium dialek Kelantan melalui slot AKOK (Apa Khabar Orang Kelantan).

Pada peringkat awalnya, saya dan Abdullah Mohd Yassin, yang merupakan Munsyi Dewan, yang diberikan tanggungjawab sebagai pengantara rancangan radio itu secara bergilir-gilir tidak menjangkakan rancangan radio ini mendapat sambutan sebegini rupa. Rancangan ini telah diiktiraf oleh pihak Radio Kelantan FM sebagai rancangan radio interaktif yang paling ramai diikuti oleh pendengar di Malaysia.

Malah, apa yang membanggakan kami, ada pemanggil yang tinggal di Tokyo, Ireland dan India pernah berinteraksi dengan kami melalui rancangan ini. Katanya, “Ambo lamo doh tok kkecek klate, ambo rindu”. Kebetulan pula radio Kelantan FM boleh diikuti melalui perhubungan maya iaitu internet.

Dalam negara, rancangan ini bukan sahaja boleh diikuti melalui gelombang tertentu, malahan banyak juga pemanggil dari Kuala Lumpur, Ipoh dan Kuantan berinteraksi dengan kami di corong radio Kelantan FM pada masa rancangan itu ke udara. Apatah lagi, dalam negeri Kelantan, rancangan Kayanya Bahasa Kita ini menjadi sanggar bahasa yang ditunggu-tunggu oleh peminatnya tanpa mengira peringkat umur.

Pukul 5.30 petang setiap Khamis, Radio Kelantan FM akan menjadi medan berdialek Kelantan, disulam dengan hilai ketawa menceriakan waktu santai menunggu Maghrib atau dalam kenderaan pulang dari pejabat.

Pemanggil setia yang tidak jemu memberikan idea dan pendapat seperti Abang Zain Lubuk Pukol, Pok Nik, Kak Sah, Abang Pha Kemahang dan ramai lagi, telah menghidupkan rancangan ini sehingga ke tahap ini. Rata-rata pemanggil yang berinteraksi melalui rancangan ini adalah dalam kalangan warga emas. Maka timbul tanda tanya, di manakah generasi muda?

Rancangan Kayanya Bahasa Kita ini bermatlamat untuk menghidupkan dialek Kelantan, sekali gus membugarkan kosa kata tertentu agar tidak pupus ditelan zaman. Sewajarnya generasi muda menyambut rancangan ini sebagai wadah untuk mereka mempelajari dialek Kelantan yang menjadi warisan datuk nenek mereka.

Jika generasi muda tidak peka dan kurang keprihatinan mereka terhadap dialek ini, lambat laun entiti bangsa Melayu ini akan pupus dan tidak kedengaran dituturkan orang lagi.

Anak muda mungkin tidak memahami makna dan menyebut perkataan sokmo (sentiasa), hungga (berlari), nnusuk (menyorok), semabo (terkeliru), jemerok (bertembung), kkidas (bertelagah), dan banyak lagi. Semua kosa kata itu boleh dipelajari melalui rancangan bahasa ini.

Usaha yang murni untuk memartabatkan bahasa ibunda seperti dialek ini wajar disokong oleh semua pihak tidak kira tua mahupun muda, malah pihak lain seperti pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan, juga orang perseorangan,  yang berfikir bahawa bahasa kita perlu dipelihara.

Alangkah moleknya, jika rancangan bahasa di radio ini menjadi rancangan tajaan pihak tertentu seperti meriahnya bola sepak negara.

0 Komentar untuk " Dialek dan kepekaan generasi muda "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ