ADA satu istilah baharu – sama popular dengan 1MDB, dan GST– yang sejak akhir-akhir ini sering disebut di seluruh negara: Istisqa, atau solat sunat bagi memohon hujan.
Beribu-ribu jemaah telah melaksanakan solat dua rakaat ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia @ Jakim meminta masjid dan surau seluruh negara melakukan ibadat tersebut.
Jangan berputus asa teruskanlah usaha tersebut, walaupun sampai sekarang sebahagian besar tempat kita masih dalam keadaan kering kontang. El-Nino yang melanda seluruh glob semakin terkesan di bumi bertuah ini.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi keadaan rimas lagi melekitkan badan ini dijangka hanya berakhir Jun.
Sekarang penghujung April, ertinya dua bulan lagi kita akan terpanggang dalam ketuhar alam.
Fenomena yang melanda sejak Januari lalu menampakkan kesan yang semakin teruk setiap hari. Sana-sini orang mengeluh kepanasan dengan suhu melonjak hingga 38 darjah Celsius.
Tanaman dan pertanian tidak menjadi sebab kekurangan air. Seperti dilaporkan media, pengeluaran beraneka sayuran terjejas, mengakibatkan harga di pasar melambung.
Dusun dan ladang buah-buahan turut terkesan. Durian tidak sempat membesar, ketika baru bersaiz penumbuk telah kering kepanasan dan luruh ke bumi. Hatta mangga harum manis ikon negeri Perlis pun musim ini tiada hasil.
Beribu hektar tanah yang biasanya lembap dan subur kini kering kontang, malah merekah menyebabkan semua tumbuhan mati. Sana-sini padang dan rerumput hijau bertukar warna kuning.
Banyak empangan yang menjadi sumber air di seluruh negara kini berada pada paras kritikal, dengan sesetengah empangan dijangka kekeringan sekiranya tiada hujan lebat dalam waktu terdekat.
Apabila empangan kering, masalah yang lebih besar dapat dijangka, iaitu paip di rumah tidak mengeluarkan air. Batang ada, kepala ada, tetapi apabila dipulas yang keluar hanya angin, sisss...
Setakat semalam beberapa daerah di Johor telah mengalami catuan air. Di negeri-negeri lain belum lagi ada catuan air, tetapi pihak berkuasa air sudah mengambil langkah-langkah kecemasan memandangkan empangan-empangan utama mula menunjukkan ketirisan.
Selain tumbuhan, binatang pun terkesan. Sana-sini ada cerita orang dipatuk ular, gara-gara haiwan melingkar lagi berbisa itu meninggalkan semak-samun yang kering panas, dan mencari perlindungan di rumah dan di kawasan sekolah.
Maka tutuplah pintu dan tingkap rumah, sumbat saluran air, untuk menghalang ular menyusup ke dalam rumah. Hatta, cermin tingkap kereta pun jangan didedahkan, bimbang ular membelit pada stering!
Tentu sahaja paling terkesan lagi gelisah bukan tumbuhan atau haiwan, tetapi manusia sendiri. Ada yang diserang strok haba, ada juga yang pengsan gara-gara kekurangan air dalam badan. Sana-sini orang batuk dan demam.
Tidur siang panas, malam pun tidak berapa lena sebab bahang di setiap penjuru. Kipas angin tidak main lagi, bahkan pendingin hawa pun bagaikan tidak berdaya hendak meredakan kesan cuaca. Menurut laporan media, stok pendingin hawa habis seluruh negara.
Maka, tidak menghairankan sekiranya ada yang sepanjang malam tidur tanpa seurat benang di tubuh, betul-betul macam bayi baru lahir. Agaknya ada yang tidur dalam bilik air!
Hangat di tubuh, hangat lagi di hati, apabila ada sesetengah orang tidak tahu menjimatkan air. Di tempat saya seorang dua setiap pagi dan petang menyemburkan air untuk mencuci kenderaan. Tidak tahu berapa liter air bersih dibazirkan.
Saya menegurnya atas rasa tanggungjawab bersama untuk menjimatkan air. Tetapi dia menganggap saya suka menjaga tepi kain orang, sambil berkata angkuh: “Saya bayar bil air setiap bulan tidak pernah mis. Ikut suka sayalah hendak cuci berapa banyak kereta!”
Sebutlah apa sahaja istilahnya – El-Nino, fenomena cuaca, pemanasan global – kita kena mengaku semua ini sebenarnya bala daripada Yang Maha Berkuasa lagi Yang Maha Mengetahui.
Seperti yang diketahui, bukan pada era siber sahaja ujian berat ini diturunkan. al-Quran menyebut bala seperti ini telah diturunkan kepada umat terdahulu daripada kita beribu-ribu tahun lalu.
Tentu sekali ada kemungkaran yang dilakukan: penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah mega, songlap, penipuan dan lain-lain. Apabila ALLAH menurunkan bala, semua orang – yang mungkar atau tidak – pasti akan kena. Mari renungkan diri, mudah-mudahan kita termasuk golongan yang insaf.

0 Komentar untuk " Pengajaran dari fenomena El-Nino "