Coastal Dim Sum mahu tembusi pasaran antarabangsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Coastal Dim Sum mahu tembusi pasaran antarabangsa

NAMA dim sum mungkin tidak asing bagi penggemar makanan tradisional Cina, malah banyak pengeluar makanan masyarakat Cina Kantonis berasal dari selatan China itu halal dimakan.

Pengedar dim sum halal, Coastal Dim Sum, Nurhafiza Nordin, 30, berkata, dia bersama empat rakan kongsi memilih untuk memasarkan dim sum halal berdasarkan sambutan yang diterima terhadap produk itu pada masa kini.

Menurutnya, sambutan baik dalam kalangan masyarakat terutama di Terengganu memberikan peluang cerah terhadap produk itu, kini melangkaui pasaran Semenanjung Malaysia.

“Idea memasarkan dim sum halal ini tercetus ketika saya mencuba dim sum di ibu kota dan terpikat dengan rasa dan kualitinya. Apabila balik ke Terengganu, saya mengambil beberapa tempahan daripada rakan yang inginkan dim sum.

“Bermula dari situ, saya bersama empat lagi rakan kongsi mengambil keputusan untuk fokus dalam pemasaran dim sum halal jenis siumai yang dipasarkan secara sejuk beku,” katanya.

Nurhafiza berkata, terdapat lima jenis siumai dim sum yang dipasarkan iaitu ayam, lada hitam, makanan laut, ketam dan telur masin yang dijual pada harga RM15 bagi sebungkus (16 biji) di Terengganu sementara RM16 pula di luar Terengganu.

“Kami juga menyediakan pembungkusan secara kombo sebanyak lima set iaitu set A (ayam dan lada hitam), set B (ketam dan makanan laut), set C (lada hitam, telur masin, ketam dan makanan laut), set D (semua jenis kecuali telur masin) dan set E (telur masin, ketam dan makanan laut).

“Produk sejuk beku ini akan tahan dalam tempoh setahun. Jika menerima tempahan pula, kami akan memastikan ia sampai ke tangan pelanggan dalam tempoh 24 jam setelah mendapat pesanan bagi memastikan kualiti produk ini terjaga,” katanya.

Berbekal modal RM5,000

Menurut Nurhafiza, dia bersama empat lagi rakan kongsinya, Nur Hanani Ismail, 35; Fadzliwati Rohaini Ghazali, 35; Mohd Fairuz Md Nordin, 30 dan Mohd Firdaus Azahar, 33, menubuhkan syarikat Rizqi Muafakat PLT pada 16 Oktober 2015 bagi memasarkan produk itu.

Katanya, berbekalkan modal sebanyak RM5,000, Rizqi Muafakat PLT yang beroperasi di Wakaf Beruas, Terengganu berjaya mendapat hasil jualan sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 dalam tempoh sebulan sejak mula beroperasi.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan baik dan kami kini menumpukan pasaran secara atas talian (online), melantik stokis dan ejen di setiap negeri bagi memudahkan proses pemasaran dim sum halal ini.

“Strategi perniagaan kami setakat ini ialah mengambil produk ini daripada salah sebuah pengeluar halal dan kami menjenamakan semula dan memasarkan produk berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai strategi pemasaran yang dijalankan, Nurhafiza berkata, kebanyakan tempahan yang diterima akan dihantar terus dalam tempoh 24 jam menggunakan khidmat penghantaran secara kurier.

“Jika di Kuala Terengganu, kita sendiri akan menghantar terus kepada pelanggan sebaik sahaja menerima tempahan. Kita juga memasarkan di kedai dan stesen minyak.

“Produk ini juga boleh di dapati di Sabasun Hypermarket dan salah sebuah stesen minyak di Gong Badak. Di situ memang kami pasarkan produk ini secara berterusan dan akan memastikan stok sentiasa ada daripada pembekal,” katanya.

Pelbagaikan produk sejuk beku

Bercerita lanjut mengenai perancangan pada masa akan datang, katanya, selain memasarkan dim sum, pihaknya juga bercadang untuk mempelbagaikan lagi produk sejuk beku lain dan yang terbaru pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memasarkan piza sejuk beku.

“Akan datang, memang ada banyak perancangan, salah satunya ingin membuka kilang pemprosesan dim sum halal sendiri dan memasarkan produk sendiri kerana salah seorang daripada rakan kongsi kami adalah seorang chef yang mahir dalam pembuatan dim sum.

“Kita juga berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara dan memperkenalkan dim sum halal ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.

0 Komentar untuk " Coastal Dim Sum mahu tembusi pasaran antarabangsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ