Pemaaf, sabar buka pintu rahmat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pemaaf, sabar buka pintu rahmat


Kehidupan ini tidak terlepas daripada menerima pelbagai dugaan termasuk dihina, dizalimi, difitnah dan dicaci. Memiliki sifat manusia yang serba lemah, ada kala timbul rasa marah dan ingin membalas setiap perbuatan yang tidak menyenangkan hati itu. Namun, tarbiah agama telah mengubah sikap dan perbuatan dilakukan pihak lain kepada kita. Sabar dan pemaaf adalah dua perkataan sangat bernilai dan mahal harganya di sisi agama tetapi tidak dinafikan bukan mudah menjadi seorang pemaaf. Kita juga boleh melakukan perbuatan yang sama iaitu menuduh dan menghina orang lain tanpa memikirkan natijah dosa dan pahala yang akan diterima nanti. Perbuatan jahat yang dibalas jahat akan menambahkan lagi kejahatan, menyebabkan rasa dendam hingga menimbulkan permusuhan dan perpecahan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan tidaklah sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu." (Surah Fuṣṣilat, ayat 34)

Dosa sesama manusia tak diampunkan Allah SWT

Ingatlah, dosa sesama manusia tidak akan diampunkan oleh Allah SWT kecuali setelah mendapat kemaafan daripada manusia itu. Oleh itu, bersedialah memaafkan kesalahan orang lain dan semoga Allah SWT juga sentiasa membuka pintu rahmat-Nya dan pengampunan-Nya untuk kita semua. Hanya dengan mengambil nikmat bersabar dapat menghindarkan manusia daripada membalas segala penghinaan dan fitnah yang dilemparkan secara tidak bertanggungjawab itu. Jangan sesekali berundur hanya kerana cacian, hinaan, kutukan mahupun cercaan. Allah SWT membenarkan kita untuk membalas kejahatan dilakukan oleh pihak lain tanpa melakukannya secara berlebihan namun bersabar itu adalah jalan yang lebih baik.

Cercaan yang dibalas dengan cercaan akan menjadikan suatu masalah semakin besar dan bertambah rumit. Alangkah baiknya jika orang yang mencemuh, mencerca dan menghina didoakan yang baik-baik supaya dibukakan mata, telinga serta pintu hatinya untuk melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar." (Surah al-Nahl, ayat 126) Sifat sabar menunjukkan seseorang itu memiliki keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: "Sangat mengagumkan keadaan seorang Mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka kesabaran itu lebih baik baginya." (Riwayat Imam Muslim)

Sentiasa nilai diri 

Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri untuk melakukan kebaikan. Rentetan itu, orang yang pemaaf hatinya tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya. Sikap berdendam merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak sahaja, sedangkan di pihak lain menganggap tiada persengketaan. Perkara ini disebutkan dalam firman Allah SWT bermaksud: "Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang diambil berat melakukannya." (Surah al-Syuraa, ayat 43) Mengimbas peristiwa yang berlaku ketika Ramadan tahun kelapan hijrah, Rasulullah SAW berjaya memasuki kota Makkah.

Orang Quraisy yang menjadi tawanan mempunyai pelbagai andaian dan pertanyaan apakah balasan yang akan dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada mereka setelah Baginda dan orang Islam menerima cercaan serta pelbagai seksaan daripada orang Quraisy Makkah. Alangkah terkejutnya kaum Quraisy Makkah yang menjadi tawanan apabila mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah kamu, kerana kamu sekalian adalah bebas." Baginda sedikit pun tidak menyimpan rasa dendam atau berniat untuk membalas kesakitan, kepedihan, cercaan, penghinaan, penderitaan dan seksa ditanggung oleh Baginda serta pengikutnya. Rasulullah SAW juga memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan pernah menyakiti puteri Rasulullah SAW iaitu Zainab. Pernah unta yang dinaiki Zainab dipanah Hubur hingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati. Zainab pada ketika itu sedang hamil dan terhumban dari atas unta menyebabkan kandungannya keguguran. Sungguh pun demikian, setelah pembukaan Makkah Hubur menemui Rasulullah SAW memohon maaf daripada Baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/147835
0 Komentar untuk " Pemaaf, sabar buka pintu rahmat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ