Ideologi kapitalis menidakkan fitrah manusia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ideologi kapitalis menidakkan fitrah manusia

Ideologi kapitalis yang menguasai kebanyakan negara di dunia pada era kontemporari ini umumnya menganggap manusia sebagai insan yang baik dan mendakwa kejahatan muncul daripada manusia disebabkan pembatasan atau halangan dikenakan terhadap kehendak mereka. Oleh demikian, menurut ideologi kapitalisme, tuntutan kehendak manusia harus dibiarkan sebebas-bebasnya supaya mereka mampu menzahirkan tabiat baiknya yang semula jadi. Ini antara punca munculnya idea kebebasan yang menjadi ciri menonjol dalam ideologi kapitalisme. Bagi ideologi itu demi hak asasi, manusia harus dibebaskan daripada kawalan tuhan dalam urusan kehidupan untuk mereka menikmati kebebasan sempurna.

Empat jenis kebebasan 

Terdapat empat jenis kebebasan di dalam ideologi kapitalisme yang menjadi hak setiap manusia dan harus dihargai oleh manusia lain, iaitu kebebasan beragama, menyatakan pendapat, hak milik dan bertingkah laku. Justeru, bukanlah sesuatu yang menakjubkan apabila kita mendapati di kebanyakan negara yang menjunjung ideologi kapitalisme, masyarakatnya mengizinkan murtad berleluasa khususnya dalam kalangan umat Islam. Malah, dalam kalangan mereka sendiri, fahaman tidak bertuhan berleluasa serta tindakan keluar-masuk ataupun berpindah agama seumpama memilih barangan di rak pameran sesebuah pasar raya. Mereka juga mengamalkan agama mengikut hawa nafsu dan tafsiran sendiri. Institusi serta golongan agama yang mempunyai autoriti ilmu diserang dengan pelbagai label negatif. Kecenderungan ini semakin berleluasa di Malaysia.

Kebebasan menyatakan pendapat pula menurut mereka adalah kebebasan mengeluarkan pendapat dengan apa cara sekalipun tanpa mempedulikan pendapat itu menghormati ajaran agama atau tidak. Kebiadaban penerbit majalah Charlie Hebdo adalah contoh tindakan melaksanakan hak menyatakan pendapat yang melanggar batasan agama dan moral. Di Malaysia, keangkuhan seumpama itu terserlah dalam kalangan mereka yang berselindung di sebalik hak kebebasan menyatakan pendapat dan menolak keperluan mengekalkan undang-undang Akta Hasutan 1948 yang digubal berdasarkan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, untuk menetapkan had kepada kebebasan bersuara.

Kewujudan kebebasan hak milik diterapkan ideologi kapitalisme juga menjadi antara hak yang ditonjolkan. Ramai berpendapatan ratusan ribu manusia setiap bulan, walaupun hakikatnya jutaan, manusia yang kekal di lembah kemiskinan sehingga ada yang akhirnya mati akibat kekurangan khasiat, penyakit malah akibat kebuluran. Namun begitu, isu jurang kemiskinan yang mendalam bukanlah menjadi keprihatinan ideologi kapitalisme kerana pendekatan memaksimumkan keuntungan adalah keutamaan mereka sekalipun menafikan hak orang lain.

Kebebasan bertingkah laku pula adalah bentuk hak asasi manusia yang pada saat ini sering menjerumuskan manusia ke jurang kehinaan. Mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan baik, buruk, halal atau haram sesuatu tindakan itu. Gaya kehidupan songsang yang dianuti dan diamalkan golongan liberal, LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan tanda tanya) serta fahaman tidak bertuhan sebagai contoh, adalah penzahiran hak kebebasan bertingkah laku tiada batasan yang turut berasal daripada ideologi kapitalisme.

Di saat masyarakat dunia sedang dihancurkan ideologi kapitalisme, Islam kekal sebagai agama yang menyediakan jawapan terhadap kekeliruan manusia dalam mencari makna diri. Allah SWT mencipta manusia dengan segala kurniaan potensi yang wujud pada diri mereka. Secara fitrah, manusia mempunyai naluri beragama dan bagi seorang Muslim, ini dibuktikan melalui kecenderungan beribadah menyembah Allah SWT.

Mukmin perlu ikut peraturan 

Islam melarang apa juga bentuk paksaan untuk berada dalam agama, namun ketika seseorang melafazkan syahadah secara sedar dan faham kesannya maka dia terikat dengan seluruh peraturan Islam. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang." (Surah al-Kahfi, ayat 29)

Begitu juga Allah SWT menciptakan manusia dengan memiliki naluri untuk mempertahankan diri dan dengan naluri itu manusia sentiasa ingin dilindungi maruah diri. Akan tetapi pembelaan maruah diri tidak boleh dilakukan secara sembarangan menurut kehendak akal manusia semata-mata. Makna diri manusia harus didasarkan pada peraturan Allah SWT, seperti sabda Rasulullah SAW: "Tidak beriman salah satu di antara kalian sehingga hawa nafsunya tunduk kepada yang aku bawa (Islam)." (Riwayat Imam Muslim)

Allah SWT menciptakan manusia dan diizinkan fitrah manusia untuk tertarik pada jantina yang berlawanan secara semula jadi. Allah SWT menciptakan manusia hanya terdiri daripada dua jenis untuk melahirkan keturunan maka dengan pernikahan antara lelaki dan perempuan jalan yang benar dan diperakui. Manusia perlu berwaspada supaya tidak menjadikan ideologi kapitalisme yang di luar peraturan Islam sebagai anutan mereka. Sesungguhnya kita wajib menyedari peraturan berasal daripada ideologi selain Islam akan membawa kerosakan apabila diambil dan diterapkan secara membuta-tuli. Begitu juga idea hak asasi manusia bersumberkan ideologi kapitalisme. Tidak patut jika umat Islam terpesona atau mengambil dan menerapkannya secara melulu tanpa membataskan dengan prinsip agama, budaya dan iktibar sejarah.

Penulis ialah Peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/148184
0 Komentar untuk " Ideologi kapitalis menidakkan fitrah manusia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ