Sunnatullah dalam kepimpinan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sunnatullah dalam kepimpinan

SUNNATULLAH atau hukum ALLAH yang berlaku dalam kehidupan dunia mengambil bentuk yang beraneka ragam. Sunnatullah dalam kaitan dengan sekumpulan manusia atau suatu kaum dan umat seperti ALLAH SWT membinasakan suatu kaum sebelum dikirimkan terlebih dahulu seorang Nabi atau Rasul-Nya yang bertugas memberikan teguran dan peringatan kepada kaum tersebut.

Atau contoh lainnya ialah ALLAH Taala tidak akan membiarkan adanya suatu kaum yang berlaku sewenang-wenangnya terhadap kaum lainnya melainkan ALLAH akan hadirkan sekelompok manusia lainnya yang bertugas menjadi penyeimbang atas kelompok yang berlaku zalim tersebut. Hal ini dikenali dalam istilah Islam sebagai Sunnatu at-Tadaawul (Sunnatullah dalam hal konflik antara umat).

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Jika kamu (pada Perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itu pun pada Perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa (kejayaan dan kehancuran itu) Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat teladan) dan supaya ALLAH membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur syahid). Dan ALLAH tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (Ali-Imran : 140).

Untuk memahami dan menghayati Sunnatu at-Tadaawul, maka melalui ayat ini ALLAH mengaitkan dengan peristiwa Perang Uhud yang dialami kaum Muslimin. Manakala Perang Uhud merupakan perang kedua selepas Perang Badar.

Dalam Perang Badar, para sahabat meraih kemenangan padahal mereka hanya berjumlah 313 orang melawan kaum kafir musyrik Quraisy yang berjumlah 1,000 orang. Dalam Perang Uhud kaum Muslimin pada peringkat awal perang meraih kemenangan. Namun pasukan pemanah meninggalkan pos pertahanan di Bukit Uhud, maka situasinya terbalik, ALLAH SWT akhirnya mengizinkan kemenangan berada di pihak kaum kuffar musyrik Quraisy, sedangkan Nabi SAW dan para sahabat harus menderita kekalahan.

Mengapa ALLAH SWT perlu membiarkan kaum Muslimin menderita kekalahan? Mengapa sebaliknya kaum kuffar musyrik Quraisy mengalami kemenangan? ALLAH SWT sendiri menjelaskannya:

Pertama, kerana ALLAH ingin menggilirkan kemenangan dan kekalahan di antara manusia. Itulah tabiat dunia. Di dunia yang fana ini tidak ada perkara yang bersifat kekal dan abadi. Tidak ada pihak yang terus-menerus menang atau terus-menerus kalah. Semua akan mengalami giliran yang silih berganti.

Tanpa kecuali, orang-orang beriman pun mengalami keadaan yang silih berganti di dunia. Bukan kerana beriman lalu seseorang atau sekelompok itu harus menang terus. Tanpa pernah mengalami kekalahan bagaimana seseorang atau sekelompok akan menghargai dan mensyukuri kemenangan?

Kedua, kerana ALLAH hendak memisahkan dan membezakan orang beriman dengan orang kafir. Dengan mengalami kemenangan dan kekalahan, maka akan terlihat siapa orang yang pandai bersyukur ketika menang dan siapa yang pandai bersabar ketika mengalami kekalahan. Sebaliknya akan terlihat pula siapa yang lupa diri ketika menang dan siapa yang berputus asa ketika kalah.

Ketiga, kerana melalui pengalaman silih bergantinya kemenangan dan kekalahan, ALLAH SWT memberi peluang orang-orang beriman untuk meraih bentuk kematian yang paling mulia iaitu mati syahid. ALLAH Taala berkehendak mencabut nyawa orang beriman sebagai para syuhada yang ketika berpisah roh daripada jasadnya, maka roh mulia tersebut akan langsung dijemput burung-burung syurga. Masya-ALLAH.

Berdasarkan hal di atas, maka perjalanan sejarah umat Islam boleh dilihat sebagai panjang yang diwarnai silih berganti pengalaman kemenangan dan kekalahan. Sudah tentu pada masa di mana orang-orang beriman memimpin masyarakat, maka berbagai program dan aktiviti sewajarnya lebih berasa bersyukur akan nikmat kemenangan yang sedang diraihnya. Sebaliknya ketika kaum kuffar yang memimpin umat manusia, maka sudah sewajarnya orang-orang beriman mengisi perjalanan hidupnya dengan dominasi sikap sabar atas kekalahan yang sedang dideritainya.

Walaupun kini umat Islam sedang mengalami kekalahan dan kaum kuffar mengalami kejayaan, kita wajib optimis dan tidak boleh berputus asa kerana Nabi SAW mengisyaratkan dalam hadisnya, bahawa sesudah babak kekalahan umat Islam, akan datang babak kejayaan iaitu tegak kepimpinan orang-orang beriman.

IBRAHIM ABDULLAH
Salor, Kota Bharu

0 Komentar untuk " Sunnatullah dalam kepimpinan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ