Evolusi pemakaian kain batik, pelikat pikat generasi baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Evolusi pemakaian kain batik, pelikat pikat generasi baharu

KUALA LUMPUR: Seiring peredaran zaman, pemakaian kain batik dan pelikat dilihat kurang mendapat sambutan terutama dalam kalangan generasi muda. Selain dipakai golongan lebih berusia, kain batik hanya digunakan kaum wanita ketika berpantang selepas bersalin, manakala kain pelikat pula lebih berfungsi sebagai persalinan kepada tetamu yang bertandang ke rumah. Keadaan sedemikian memberi inspirasi kepada Nur Sa'adah Abu Bakar, 48, untuk menghasilkan baju kurung dan seluar berasaskan kain batik serta pelikat dengan mengekalkan nilai estetika atau sentimental kedua-dua kain tradisi Melayu itu. "Golongan muda zaman sekarang tidak gemar dan ada yang tidak tahu bagaimana cara memakai kain batik sarung atau kain pelikat. "Jadi, kalau kita ingin menarik minat generasi Y, penggunaan kain batik dan kain pelikat perlu dimodenkan," katanya.

Mengikut pemilik butik 'Nur Sa'adah Batik Pelikat', usaha menghasilkan baju kurung dan seluar berasaskan kedua-dua jenis kain sarung itu, pada awalnya berdepan cabaran. Namun selepas 10 tahun, ketelitian rekaan dan jahitan serta keselesaan yang ditawarkan, membolehkannya mendapat perhatian seterusnya mengembalikan semula era kegemilangan pemakaian kain berkenaan. "Dahulu batik atau pelikat hanya dipakai bagi menutup bahagian bawah badan, kini martabat kedua-dua bahan itu dinaikkan dengan terhasilnya kemeja dan baju kurung berasaskan kain pelikat," katanya. Kini hasil rekaan ibu kepada enam anak itu, bukan hanya menjadi pilihan orang dewasa malah turut menjadi kegilaan remaja kerana boleh digayakan ketika menghadiri majlis rasmi. Antara penggemar rekaan itu, Rabiatul Adawiyah Mokhtar, 22, berkata ia bukan saja selesa malah memudahkan pergerakannya. "Idea untuk menghasilkan seluar daripada kain batik sarung sangat menarik dan nampak unik, sesuai dengan peredaran fesyen terkini," katanya. Ahmad Shahfiqri Ahmad Zamri, 26, pula gemar mengenakan seluar kain pelikat ketika solat Jumaat berbanding memakai kain pelikat kerana nampak lebih 'stylo'atau bergaya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69555
0 Komentar untuk " Evolusi pemakaian kain batik, pelikat pikat generasi baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ