Tak guna ada otak tak ada akal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tak guna ada otak tak ada akal

ABD Razak adalah antara contoh yang sangat sesuai dengan perumpamaan ‘Don’t read the book by its cover’ (Jangan nilai seseorang daripada luaran). Dia sudah berusia 72 tahun dan biasanya kelihatan dengan kemeja-T putih tanpa kolar.

Dia menjual barang-barang antik daripada tembaga, besi dan kayu. Turut dijual adalah jam berjenama.

Kecuali ada urusan penting, anda akan dapat temuinya di Lorong Kulit di belakang stadium Jalan Perak, Pulau Pinang, setiap hari.

Ruang perniagaannya terletak di sudut kawasan seluas kira-kira sebuah padang bola itu yang mempunyai hampir 200 ruang perniagaan. Kawasan itu terkenal kepada ramai penduduk Pulau Pinang yang berminat membeli barang-barang lama dan murah, daripada kain baju hingga alat-alat ganti motosikal.

Kawasan yang terletak dekat Dhoby Ghaut dekat penjara dan Hospital Pulau Pinang itu dikenali dengan nama Rope Walk, mengambil nama Rope Walk sebenar yang masih ada di sebelah Prangin Road di pusat bandaraya.

Abd Razak seorang daripada peniaga terawal di kawasan Rope Walk yang beroperasi lebih 20 tahun lalu.

Kawasan itu sebelum ini diguna untuk meletak bas-bas yang berkhidmat di pulau itu. Di sebelahnya ada sebuah kawasan lapang seluas tidak kurang daripada tiga hektar, yang hingga tahun 70-an menjadi tapak pesta yang menarik beribu-ribu peminat dengan boria dan persembahan pelakon, pelawak dan penyanyi lama. Yang paling diminati adalah seniman P Ramlee, Saloma, S M Salim, A R Tompel, R Azmi, Aman Belon dan ramai lagi.

Banyak lagi yang boleh saya cerita tentang tapak pesta dan Lorong Kulit, tetapi cetusan kali ini untuk memberi penghargaan kepada Abd Razak yang patut menjadi teladan kepada ramai.

Perjalanan hidup Abd Razak adalah sebuah kisah yang memenuhi ungkapan ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan’.

Dia dilahirkan di kawasan Simpang Enam yang kini terletak di seberang jalan berdepan Komtar. Ayahnya  terkenal sebagai penjual bubur.

Kerja Abd Razak macam-macam; cuci pinggan mangkuk, angkat barang di pelabuhan, cuci kenderaan, uruskan bilik sewa dan berniaga sayur dan ikan di pasar, antara lain.

“Saya belajaq sampai SM II saja dan tak reti cakap orang putih,” ceritanya.

Setelah agak berjaya dan dapat kumpulkan wang yang agak banyak, Abd Razak cuba nasib, labur dalam urusan jual beli lembu.

Pengalaman yang dilaluinya pastinya agak pahit. Dia enggan cerita panjang perkara berkaitan jual beli lembu itu.

“Nasib saya tak baik, lingkop habeh,” katanya ringkas.

Tapi ketabahan dan keazamannya membuat dia terus mencari peluang baharu, menimba hasil bukan sahaja dari segi kebendaan, malah ilmu.

Saya kira orang sepertinya adalah aset sangat berharga dalam sektor pelancongan, perniagaan antarabangsa, juga polis cawangan khas.

Bermula dari situ dia menanam azam yang kuat.

Hari ini Abd Razak bukan sahaja bercakap bahasa Inggeris; dia juga boleh bertutur fasih dalam bahasa Tionghua, Tamil, Thai, Urdu dan Arab.

“Orang putih ajak saya kerja di hotel (lebih 30 tahun lalu). Lepaih tu dia ajak saya pi Eropah, tapi tak jadi sebab saya tak reti cakap orang putih,” katanya.

Berapa pendapatannya setiap bulan? Abd Razak tidak menjawab; merendah diri, saya kira.

Dia ada lima orang anak dan dua menantu lelakinya tinggal di Thailand.Tetapi Abd Razak lebih berminat meneruskan perniagaan barang-barang antiknya.

“Depa (mereka) yang uruskan hantaran barang antik kepada saya.

“Kalau anak menantu saya bagi RM3,000 pada saya dan RM2,000 pada isteri saya, saya nak serahkan semua bisnes saya pada depa.

“Saya nak terus mengaji, tambah ilmu. Banyak lagi kena belajaq,” katanya.

Azamnya tinggi sebab dia tahu banyak faedahnya apabila tahu banyak bahasa, apa lagi bahasa Arab, bahasa al-Quran.

Mereka yang biasa dengan Abd Razak tahu sangat caranya; cakapnya selalu berfalsafah, banyak merujuk kepada ajaran agama.

Sekarang pun dia masih sambung belajar bahasa Arab dengan seorang guru.

“Belajaq ni tak ada noktah. Kita kena belajaq dari kecik sampai ke liang lahad.

“Hidup berjaya kalau kita guna akai (akal). Tak guna kalau ada otak tapi tak guna akai,” ujarnya.

0 Komentar untuk " Tak guna ada otak tak ada akal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ