Pos kenyataan fitnah, untuk dikongsi ramai
Hari ini, sekali kita poskan kenyataan fitnah, umpat dan pembohongan, semua pengikut dapat membacanya dan kemudian dikongsi dengan orang lain. Kemudaratannya besar sekali. Mengguna media sosial dari segi prinsipnya harus (mubah) kerana sifatnya tertakluk kepada penggunanya bukan kerana zatnya. Ia tidak ubah seperti sebilah pisau, boleh digunakan untuk kegunaan di dapur bagi memotong sayur dan daging, boleh juga diguna untuk membunuh orang. Yang pertama itu harus, manakala kegunaan yang kedua itu haram hukumnya. Oleh itu, menggunakan kemudahan internet dan media sosial perlu diiringi adab serta akhlak Islam. Pada asasnya, apa yang haram dituturkan maka haram juga hukumnya menulis. Jika mengumpat, berbohong, memfitnah dan seumpamanya itu haram hukumnya dengan lidah, maka menulis di Facebook, blog, Twitter, e-mel, WhatsApp, telegram dan sebagainya juga haram hukumnya. Kita tidak perlu ada ilmu fikah yang berbeza untuk menetapkan hukum itu kerana apa sahaja yang haram dibicarakan dengan lidah, maka hukumnya haram juga disebarkan melalui penulisan atau di internet. Kita perlu ingat dan berhati-hati ada kala apa yang dituturkan atau ditulis yang disangka seolah-olah perkara remeh, namun di sisi Allah SWT ia amat besar sama ada diredai atau dimurkai. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda SAW bersabda: "Seorang yang menuturkan satu perkataan yang diredai oleh Allah SWT dengan menyangka ia remeh, namun di sisi Allah SWT ia suatu yang amat diredai-Nya, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjatnya dalam syurga; manakala seorang lain menuturkan perkara yang disangkanya remeh, namun menimbulkan kemurkaan Allah SWT nescaya Allah SWT akan mencampakkan ke dalam neraka." (Riwayat Bukhari) Media sosial sepatutnya digunakan sebagai media dakwah kerana ia medium paling ampuh untuk menerangkan mengenai Islam, mendekatkan masyarakat kepada ajaran Islam serta memperbetulkan salah faham berkaitan Islam.
Pengguna internet di Malaysia dianggarkan kira-kira 20 juta orang dengan 62 peratus mengguna media sosial. Hampir lima jam daripada masa mereka mengguna telefon pintar untuk tujuan mencapai internet. Bayangkan jika kita guna kesempatan itu untuk mengakses begitu ramai pengguna. Apa juga berita yang dibaca di media sosial, anggaplah ia maklumat mentah yang perlu diproses untuk disahkan terlebih dahulu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita menyiasat terlebih dahulu maklumat yang diterima supaya dapat dipastikan kesahihannya. Ini selaras Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya kamu menyesal." (Surah al-Hujurat, ayat 6) Hari ini seolah menjadi aliran masyarakat untuk berkongsi atau memanjangkan apa sahaja maklumat yang diterima tanpa terlebih dahulu menyiasat kebenarannya. Jika apa yang dikongsikan itu adalah fitnah, maka kita yang turut memanjangkan maklumat itu turut bersekongkol memfitnah dan terjerumus dalam dosa. Ramai yang ghairah menjadi 'orang pertama' menyebarkan berita (breaking news) walaupun apa yang disebarkan itu mungkin tidak tepat dan palsu. Gambar bahkan video boleh dipalsukan, begitu juga dokumen boleh direka cipta bagi menampakkan yang palsu itu benar, yang batil itu hak dan berfakta.
Jaga adab berurusan di alam maya
Marilah bersama kita menjaga adab dalam berurusan di alam maya. Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Fauzan Noordin, berkata Allah SWT adalah Tuhan sekalian alam, termasuk juga alam maya. Oleh itu, berhati-hati dan jangan menyangka bahawa kita bebas di alam maya, sedangkan kita akan dipersoalkan atas setiap perlakuan di Padang Mahsyar kelak. Apapun, undang-undang dan peraturan, ia tidak akan mampu menyekat dan membendung salah laku. Hanya kekuatan iman dan keinsafan bahawa akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT sahajalah yang akan menjadi benteng berakhlak mulia. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tiadalah seseorang itu mengucapkan apa-apa pun melainkan di sisinya ada yang menulis." (Surah Qaf, ayat 18)
Penulis ialah Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/69549
0 Komentar untuk " Kesan buruk sebar fitnah dalam media sosial "