SAMBUTAN Hari Kemerdekaan ke-57 lalu mungkin tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya berikutan tragedi MH17. Namun demikian tarikh keramat 31 Ogos perlu sentiasa diingati dan diraikan demi mengingatkan setiap rakyat Malaysia bahawa negara ini pernah ditakluki penjajah; dan untuk merampasnya kembali bukanlah sesuatu yang mudah.

Sambutan pada tahun ini mahu menarik perhatian khusus kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA. Setelah lebih tiga tahun menelusuri proses rundingan (semenjak Malaysia menganggotainya pada 2010) TPPA dikhabarkan akan dimeterai juga tidak berapa lama lagi oleh kesemua 12 negara anggota.

Bersesuaian dengan tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini - “Malaysia… di sini lahirnya sebuah cinta”, adalah amat wajar sekali untuk kita cuba memahami objektif sebenar TPPA. Ini kerana walau bagaimana hebat sekalipun TPPA itu cuba dicanangkan, ia akan tetap menjadi sebahagian daripada agenda rekolonialisasi barat; justeru risiko menandatangani TPPA amat besar dan tidak akan tertanggung oleh rakyat Malaysia.

Sebenarnya tidak banyak perbezaan di antara aspirasi TPPA dengan program kolonisasi empayar British lebih 60 tahun dahulu. Sebelum merdeka, kekayaan dan kuasa politik dimonopoli penjajah; dan situasi tersebut turut dibantu pemeteraian Perjanjian Pangkor pada 1874 yang telah menganugerahkan mandat besar kepada British untuk mengurus wilayah serta kekayaan Tanah Melayu pada ketika itu.

Semenanjung Tanah Melayu adalah antara penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi Great Britain melalui kutipan hasil getah, kayu-kayan, rempah-ratus dan bijih timah dan setiap sen keuntungannya akan disalurkan semula ke poket penjajah.

Bahan mentah yang sama turut digunakan untuk melengkapi armada tentera British. Sebagai contoh, getah digunakan untuk menghasilkan but dan tayar manakala bijih timah menjadi bahan utama menghasilkan peluru serta pelbagai kelengkapan jentera.

Kelebihan ini jugalah yang telah membolehkan empayar British muncul kuasa ulung mengatasi kuasa kolonial lain seperti Portugis, Belanda, Perancis dan Itali. Pada hari ini, proses kolonialisasi ala British masih diamalkan.

Rejim Zionis-Israel contohnya amat bergantung pada industri inovasi mereka yang banyak berpangkalan di Amerika Syarikat. Keuntungan daripada perniagaan ini telah digunakan untuk memperkasa sistem pertahanan dan serangan angkatan tentera Israel, dan ia termasuklah membina benteng pemisah konkrit Israel-Tebing Barat sepanjang 700km, dengan ketinggian lapan meter dan tebal sehingga 100 meter; atau membina sistem anti-peluru berpandu canggih seperti Iron Dome, Iron Beam dan David’s Sling.

Dengan kelebihan ini, rejim Zionis mampu bermaharajalela merampas saki-baki tanah yang ada di bumi Palestin dan menghalau bangsa Arab keluar dari negara kelahiran mereka. Sebuah buku berjudul ‘Start-up Nation-The story of Israel’s Economic Miracle’ karangan Dan Senor dan Saul Singer telah membongkar rahsia kejayaan rejim Zionis-Israel menguasai ekonomi dunia dan menjajah bumi Palestin.

Pada hari ini, bijih timah mungkin bukan lagi komoditi utama Malaysia. Apabila negara mencapai kemerdekaan, antara fokus utama pemimpin pada ketika itu adalah untuk merebut kembali kuasa ekonomi dan politik daripada tangan penjajah.

Kini, Malaysia sudah mampu mengurus kekayaannya dengan bijaksana tanpa mengharap bantuan orang lain. Namun demikian, helah baru bagi meneruskan hegemoni barat tidak pernah reda, khususnya selepas Amerika Syarikat muncul sebagai empayar baharu menggantikan Great Britain. 

Bagi membangunkan semula tamadun yang telah musnah akibat bencana dua perang dunia, Amerika menjadikan kapitalisme dan perdagangan antarabangsa sebagai ideologi dan senjata utama.

Perjanjian-perjanjian pelbagai-hala seperti WTO (World Trade Organisation), atau perjanjian perdagangan dua-hala (bilateral) di antara Amerika dan rakan dagang lain menjadi instrumen penting dalam merangka model perdagangan yang lebih saksama dan saling menguntungkan. Malangnya perjanjian-perjanjian tersebut sering gagal apabila ia dilihat terlalu menyebelahi Amerika, proksinya atau syarikat-syarikat konglomeratnya.

Tidak seperti WTO yang sering dikecam, TPPA dianggap perjanjian dagang yang revolusioner lantaran kandungannya yang lebih ‘komprehensif dan berkualiti’. Keanggotaan TPPA juga sangat eksklusif dan nilai pasaran yang dijanjikan terlalu lumayan untuk ditolak.
Bukan itu sahaja, hakikat bahawa paksi ekonomi dunia telah beralih arah dari Eropah ke Asia amat menarik minat Amerika untuk memperkemaskan cengkamannya di rantau Asia-Pasifik. TPPA dengan itu menjadi taruhan terbesar Amerika dalam mencari kekayaan baharu di samping mahu menampan kemaraan China… kuasa ekonomi baharu dari Timur.

Dari sudut praktisnya, dunia dagang antarabangsa juga sudah tidak boleh berharap pada keuntungan cukai semata-mata kerana sebahagian besar tarif terhadap barangan dan perkhidmatan sudah dilupuskan, kesan daripada tuntutan dalam perjanjian-perjanjian lampau seperti MFN, GATT dan WTO.

Pada hari ini, antara sumber kekayaan terbaru yang bernilai tinggi ialah harta intelek, yang mana Amerika merupakan pemegang paten terbesar dunia. Melalui TPPA, syarikat-syarikat Amerika telah melobi untuk memanjangkan tempoh perlindungan paten dari 20 tahun kepada 50 sehingga 120 tahun.

Sekiranya usaha ini berjaya, ini bermakna sebarang usaha untuk bersaing di peringkat global, atau usaha untuk menghasilkan produk tempatan yang lebih berinovasi dan kreatif akan terbantut.

Begitu juga halnya dengan isu pelaburan, yang telah diberikan definisi terlalu luas dan abstrak luas dalam perjanjian TPPA. Isu kewarganegaraan contohnya tidak boleh menjadi penghalang kepada para pelabur asing untuk menjalankan perniagaan mereka di negara ini.

TPPA juga melarang anggotanya daripada memberikan sebarang keistimewaan buat rakyat tempatan sehingga boleh menjejaskan peluang syarikat asing. Di samping itu, hasil keuntungan daripada perniagaan di Malaysia boleh dipindahkan ke negara asal tanpa sekatan; dan kawalan mata wang sebagaimana pernah kita lakukan dahulu bagi mengelak kegiatan spekulasi juga tidak lagi dibenarkan.

Akhir sekali, rundingan TPPA juga telah mendesak agar semua jabatan dan agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membenarkan penyertaan syarikat asing dalam tender-tender kerajaan yang bernilai ratusan bilion ringgit setiap tahun.

Sebenarnya banyak lagi persamaan di antara TPPA dan penjajahan semula ini. Persamaan yang paling menakutkan ialah hukuman bakal menanti sekiranya peraturan-peraturan TPPA tidak dipatuhi.
Hari ini saman ganti rugi adalah senjata pemusnah besar-besaran yang pasti akan menghancurkan ekonomi sesebuah negara. Industri saman-menyaman di antara syarikat swasta dan negara berdaulat (yang dipanggil ISDS) telah menjadi perniagaan yang amat menguntungkan firma-firma guaman antarabangsa.

Sehingga hari ini terdapat ratusan kes ISDS yang majoritinya dimenangi syarikat swasta. Negara yang bersalah terpaksa membayar ganti rugi bernilai berbilion ringgit kepada syarikat yang kononnya telah dinafikan hak untuk berdagang akibat perlaksanaan dasar-dasar yang mengutamakan anak tempatan atau melindungi khazanah negara mereka sendiri.
Negara-negara seperti Ecuador, Honduras, Mexico dan Afrika Selatan telah melalui episod pahit ini. Beban tersebut tentunya tidak akan mampu dipikul oleh kerajaan, lantas terpaksa dipindahkan kepada rakyat melalui perlaksanaan cukai yang tinggi.
Kita perlu menginsafi bahawa TPPA adalah satu lagi agenda penjajahan semula oleh kuasa besar dunia dan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka perlu menolaknya. Dalam keadaan semasa yang tidak menentu ini, fokus utama perlu dihalakan kepada pemulihan jurang ekonomi yang semakin merenggang di antara kaum, di antara bandar dan desa serta jurang pendidikan yang semakin parah.

Menolak TPPA bukanlah bererti memutuskan hubungan diplomatik dengan rakan dagang TPPA yang lain kerana tanpa TPPA; Amerika, Australia, Jepun, New Zealand dan Kanada masih merupakan rakan dagang terbesar Malaysia semenjak sekian lama.

Liberalisasi ekonomi memang ada kebaikannya namun ia tidak akan memberi sebarang makna sekiranya hanya satu pihak yang mendapat untung, ibarat kata pepatah “menang sorak kampung tergadai”.


Penulis ialah Sekutu Kanan, Polisi dan Kluster Ekonomi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)