WASATIYYAH atau al Wasatiyyah adalah suatu pendekatan dan konsep seperti yang terungkap dalam al-Quran (al Baqarah:143) mengenai kesederhanaan, kecemerlangan dan keadilan.

Konsep dan pendekatan ini amat strategik dan bijaksana menginsafi sifat jadinya manusia dan kehidupan itu sendiri memerlukan maksud wasat menjadi pengimbang yang baik (maksud Surat al Hujurat :13).

Lebih-lebih lagi perjuangan memartabatkan Islam kadang-kadang berlaku tanpa perimbangan yang baik menyebabkan terdapat laluan sukar dan fitnah terhadap Islam itu sendiri.

Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan tetapi juga suatu cara hidup. Al-Quran dan as-Sunnah memerlukan pendekatan menyantuni waqi’ atau realiti secara seimbang dan bijaksana. Ia tidak saja bersifat tekstual (kitab) tetapi juga kontekstual (kehidupan itu sendiri).

Deenul Islam adalah sesuatu yang lengkap dan sempurna. Lengkapnya tasawwur Islami dan sempurnanya pedoman al-Quran dan as-Sunnah terhubung dengan sistem. Sistem yang terbangun secara seimbang memimpin jalan ke arah tamadun.

Ada orang berpendapat pendekatan revolusi atau anarki adalah terbaik pada ketika ini untuk bawa perubahan. Dalam konteks Malaysia sifat masyarakatnya yang majmuk memerlukan kebijaksanaan dalam pengurusan dan keseimbangan dalam melakukan perubahan.

Kedudukan umat Melayu perlu diperteguh dalam semua lapangan kerana mereka adalah teras dalam sejarah dan budaya Malaysia.

Pihak bukan Islam harus disantuni supaya tolak ansur dan persefahaman terjadi. Pendekatan berimbang dan sederhana adalah ramuan terbaik supaya orang bukan Islam tidak rasa terpinggir dan umat Melayu terus menjadi pengimbang.

Pendapat lain pula mengatakan pendekatan dakwah dan tarbiyyah adalah fitrah Islam membangun insan.

Pendekatan Rasulullah SAW sifatnya bil hikmah waulmauizatil hasanah wajadil hum billati hiya ahsan (Surah An Nahl : 125). Strategi Makkah dan Madinah menjadi marhalah utama memahami perjuangan Rasulullah yang berpaksikan dakwah dan tarbiah.

Manusia bermula dalam keadaan tidak tahu dan berada dalam kelompok jahiliah.

Mereka diberitahu mengenai aqidah tauhid dan al-Quran menjadi sumber rujukan utama supaya manusia kembali kepada fitrah. Proses ini menuntut kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi bukannya kegopohan yang melampau.

Peristiwa di Mesir, Syria, Iraq, Tunisia, Libya dan lain-lain memerlukan pendekatan dan strategi bijaksana. Menjatuhkan sebuah rejim boleh terjadi, mengurus kemenangan dan perubahan payah sekali kerana ia memerlukan strategi wahdah atau kesatuan dan dakwah serta tarbiah amat dituntut terjadi.

Membangun sebuah negara memerlukan persiapan. Persiapannya tidak hanya memberi fokus kepada faktor ruhhiyyah semata tetapi aspek lebih utama iaitu membangun negara.

Negara baharu yang ingin dibangunkan memerlukan tenaga modal insan digerakkan ke dalam sistem. Kalau tidak perubahan tidak akan terjadi dan ia bakal menghasilkan krisis baharu pula.

Kepelampauan dan kegopohan (isti’jal) adalah musuh wasatiyyah. Ia mudah menjebak umat Islam dalam krisis dan konflik yang tidak berkesudahan.

Justeru pendekatan wasatiyyah harus diperinci dan dilakukan strategi bagaimana ia mampu menjadi pendekatan yang bijaksana supaya Islam dan umatnya mampu dimartabatkan.

Ia menuntut kefahaman terhadap tasawwur Islami dengan betul, pendekatan dakwah dan tarbiyyah yang bijaksana bersama kualiti ilmu dan kemahiran yang berupaya membangun tamadun.

Merubah sistem tanpa persiapan bakal menimbulkan fitnah.

Mengatasi fitnah ialah dengan mewujudkan sistem tarbiyyah yang menyantuni bakat secara menyeluruh. Asas ruhiyyah yang dibina harus mampu menjana keupayaan membangunkan sistem ekonomi, ilmu dan pendidikan, sains dan teknologi supaya ia menjadi alternatif kepada sistem sedia ada.

Perubahan ke arah suatu sistem yang seimbang harus didekati dengan bijaksana supaya agenda pemerkasaan terjadi dan menyantuni pihak yang berbeza pendapat dan pendirian berlaku.

Ia bakal mengelakkan krisis yang lebih parah dan pihak ketiga tidak akan mengambil kesempatan memperdalamkan lagi jurang yang terdapat. Di sinilah hikmah yang hilang di kalangan umat dan ia perlu dicari seperti pesan Rasulullah SAW.