PERSATUAN Pengeluar Plastik Malaysia (PPPM) telah mengemukakan 10 cadangan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) berkaitan kajian yang akan dijalankan ke atas Arahan Gaji Minimum. 
Presiden PPPM, Lim Kok Boon berkata, pelaksanaan dasar gaji minimum telah memberi kesan buruk kepada pengeluar industri plastik, terutama perusahaan kecil dan sederhana.
"Kos buruh adalah komponen kos utama dalam industri kami. Selepas pelaksanaan dasar gaji minimum, kos buruh secara langsung telah meningkat 20 hingga 40 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
    
Di samping kos buruh yang lebih tinggi, Lim berkata, pengeluar plastik juga menghadapi kenaikan tarif elektrik, pengangkutan, bahan mentah, pembungkusan dan lain-lain kos operasi yang menyebabkan kos pengeluaran keseluruhannya meningkat lebih 10 peratus.
    
Lebih malang lagi, katanya, kebanyakan pengeluar plastik tidak dapat melepaskan kenaikan kos kepada pengguna kerana sebahagian besar plastik yang dihasilkan itu adalah untuk eksport.
"Berikutan keadaan itu, di samping kegagalan melaksanakan langkah mengurangkan kos secara berkesan, telah menyebabkan keuntungan kami terus merosot atau mengalami kerugian.
    
"Sesetengah syarikat mungkin terpaksa gulung tikar atau mengurangkan tenaga kerja. Ia akan menyebabkan pekerja hilang pekerjaan yang mana ia bercanggah dengan objektif arahan gaji minimum,"  katanya. - Bernama