BERTALU-talu ucapan tahniah dan doa melalui SMS, Whatsapp dan Facebook penulis terima sejak berita pelantikan selaku Ahli Dewan Negara/Senator dihebahkan media. Kepada semua yang tidak sempat penulis jawab dan balas, setulusnya penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas ingatan serta iringan doa kepada penulis.
Sejujurnya perasaan ini bercampur-baur ketika mengangkat sumpah Isnin lalu. Di sebalik rasa gembira dan syukur kerana diberikan kepercayaan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, sebenarnya penulis berasa amat berat untuk menerima pada ketika mendapat surat pelantikan.
Malah yang lebih dibimbangi jika amanah besar ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik hingga menjadi asbab kemurkaan ALLAH kepada diri yang amat kerdil dan hina ini. Ini kerana setiap amanah itu hakikatnya merupakan taklif atau tanggungjawab besar yang bakal dipersoalkan oleh ALLAH hari akhirat kelak. Adalah silap jika kita menanggapinya sebagai satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif yang boleh mengangkat martabat seseorang ke satu tahap menyebabkannya dihormati dan disanjung.
Sebagai orang Islam kita harus sentiasa menginsafi bahawa pangkat dan jawatan bukanlah lesen besar untuk memenuhi keserakahan nafsu yang tiada penghujungnya. Akibat daripada kedangkalan persepsi inilah kita boleh terjerumus ke dalam kancah paranoid apabila membicarakan mengenai pangkat dan jawatan.
Penyimpangan persepsi terhadap konsep amanah dan pangkat inilah akhirnya menuntun kepada permasalahan sosial yang lebih parah. Demi pangkat kita sanggup lakukan apa sahaja asalkan yang dihajati mampu direalisasi. Dengan pangkat juga kita rela gadai prinsip dan etika akhlak hingga sanggup merampas hak orang lain dan menganiaya saudara sendiri. Batasan halal dan haram sudah tidak dipeduli.
Sebab itulah jawatan dan pangkat bukannya satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif jika neraca Islam menjadi panduan. Sebaliknya ia merupakan amanah ALLAH atau taklif Rabbani yang pasti dipertanggungjawabkan ALLAH pada hari akhirat kelak. Inilah yang terangkum melalui nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Ghiffari ra berkenaan konsep kuasa dan kepimpinan sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari Kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya. (Hadis Riwayat Muslim).
Dalam hadis lain seperti terkandung dalam Kitab Sahih Bukhari, Rasulullah SAW juga pernah bersabda sebagaimana diriwayatkan Abu Hurairah ra, Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada Baginda, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!
Inilah makna jawatan dan pangkat yang harus difahami dan dihayati secara jelas. Sesuatu nikmat yang dikurniakan ALLAH pastinya menuntun kepada suatu pertanggungjawaban. Dalam konteks ini, pertanggungjawaban dilihat dari sudut sejauh mana kuasa yang diamanahkan telah dilaksanakan dengan ikhlas dan mengikut syariat Islam.
Sebab itulah penulis sebenarnya insaf dan amat risau takut-takut tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diamanahkan. Lebih membimbangkan jika kerana jawatan dan pangkat ini akan menyasarkan penulis daripada landasan yang diredai ALLAH.
Walau bagaimanapun, penulis berazam untuk melakukan sebaik mungkin sebagai seorang senator. Mungkin keberadaan penulis dalam struktur legislatif negara dapat membantu merealisasikan aspirasi dan cita-cita penulis untuk memartabatkan dan memperkasakan Islam di negara ini.
Sesungguhnya agenda memartabatkan Islam adalah menjadi keutamaan penulis sejak berkecimpung dalam dunia politik. Ia juga seiring dengan sumpah selaku Ahli Dewan Negara yang akan mempertahankan Perlembagaan yang hakikatnya meletakkan kedudukan Islam pada tahap tertinggi selaku agama negara atau agama Persekutuan.
Dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang dikurniakan ALLAH kepada penulis dalam bidang Syariat Muamalah Islam, Insya-Allah akan penulis manfaatkan sebaiknya dalam memartabatkan agamaNya.
* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Senator: Antara tasyrif dan taklif "