MINGGU lalu saya diundang menyampaikan ceramah berkongsi pengalaman Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat di satu persidangan wakaf antarabangsa di Jakarta, Indonesia.

Selain peserta Indonesia dan Malaysia, beberapa wakil negara minoriti Muslim termasuk India, Singapura, Filipina, Afrika Selatan, Australia, New Zealand dan beberapa negara Islam lain seperti Pakistan dan UAE turut menyertai persidangan sehari itu.

Persidangan meja-bulat dianjurkan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam (IDB). Antara penceramah utama termasuk wakil penguasa wakaf Indonesia, juga badan penguasa perbankan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia.

Persidangan meja-bulat turut dijayakan bukan sahaja ahli akademik dan profesional perbankan dan insurans, malahan juga dalam kalangan korporat swasta, NGO, selain wakil agensi, dewan perdagangan dan badan-badan mewakili industri daripada beberapa negara peserta.

Tebus kembali harta wakaf umat Islam

Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Musa Hitam selaku Pengerusi WIEF dalam ucapan aluannya menegaskan kehebatan dan potensi wakaf sebagai institusi pembaharuan ekonomi masa depan umat Islam.

Institusi wakaf berupaya meluaskan pemberian khidmat sosioekonomi tanpa membebankan kewangan kerajaan. Tun Musa turut berpendapat wakaf juga membolehkan penyertaan langsung pihak swasta ke dalam proses pembangunan sosioekonomi yang sangat diperlukan hari ini.

Tun Musa turut memperkenalkan institusi Waqaf Korporat yang dimulakan di Malaysia, iaitu satu pembaharuan luar biasa ke atas institusi wakaf warisan Islam, meningkatkan relevannya mengatasi cabaran hidup di zaman pacuan bisnes atau business-driven hari ini.

Seluruh persidangan mengiktiraf dan mengakui kehebatan serta potensi institusi wakaf dalam membangun ekonomi umat mengatasi cabaran umat dan ancaman besar terhadap Islam. Saya terperanjat apabila Tun Musa turut menegaskan keberkesanan ideologi Jihad

Bisnes seperti diperjuangkan dan diamalkan di Johor Corporation sewaktu saya CEOnya, yang beliau katakan wajar mendapat perhatian umum. Akar umbi wakaf dalam sejarah awal Islam turut disentuh kemudiannya dalam pembentangan Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Islam Antarabangsa (IRTI), iaitu sebuah agensi di bawah IDB.

Beliau menyebut kisah pewakafan telaga di Madinah yang dibeli Saidina Uthman bin Affan untuk manfaat kaum Muhajirin dan Ansar sejak hijrah, iaitu salah satu ikon besar wakaf sewaktu zaman Baginda Rasulullah masih hidup lagi.

Sesungguhnya kehebatan wakaf terbukti daripada pewakafan telaga oleh Saidina Uthman, kerana manfaat wakafnya dapat dinikmati umat Islam sampai ke hari ini. Dalam satu artikel di kolum ini pernah saya laporkan terdapatnya satu akaun bank di Madinah dibuka atas nama Waqaf Saidina Uthman bin Affan dengan manfaat wakafnya bernilai Riyal 50 juta setahun.

IDB turut mengiktiraf pentingnya negara Islam memperkasa dan mengarus-perdanakan wakaf dalam sistem ekonomi masing-masing. Prof Dr Azmi menyatakan IDB kini memberi keutamaan tinggi terhadap usaha menebus kembali harta wakaf umat Islam, khasnya di beberapa negara Eropah, Asia Tengah dan di beberapa wilayah Afrika.

Banyak harta wakaf di salah tadbir atau dimiliknegarakan dengan sewenang-wenangnya oleh penguasa politik berpotensi ditebus balik menerusi tindakan undang-undang dengan kaedah profesional mapan.

Peserta persidangan menyambut baik cadangan supaya umat Islam mencari jalan menebus kembali tanah dan harta wakaf, termasuk misalnya di Andalusia, Sepanyol.

Dilaporkan ketika penyerahan kuasa sewaktu umat Islam tewas perang kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, kerajaan Sepanyol berjanji mengekalkan harta wakaf milik umat Islam Sepanyol.

Namun tanah dan harta wakaf terbabit kemudiannya dirampas dan dibahagikan antara Gereja Katholik  mendapat setengah bahagian bersama raja dan kerajaan Sepanyol selebihnya.


Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat


Dalam pembentangan saya mengulas kaedah terbaik mengurus harta wakaf. Jelas sekali satu pembaharuan besar pengurusan harta wakaf wajib dilaksanakan di seluruh dunia Islam sebelum institusi ini boleh berperanan lebih besar.

Dalam perbincangan banyak disebut keterbiaran aset dan tanah wakaf menyebabkan hanya segelintir keluasannya dibangunkan.

Justeru sebahagian besar tanah dan harta wakaf tidak dimanfaatkan sepenuhnya mengikut hajat dan aspirasi pewakaf, sekali gus gagal memaksimumkan pulangan untuk manfaat kumpulan sasaran.

Saya mengutarakan contoh pengurusan berkesan Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu Waqaf Korporat pertama ditubuhkan di Malaysia. Alhamdulillah, WANCorp berjaya melipat-gandakan nilai aset wakafnya dari RM250 juta ketika diwakafkan menjadi RM575.9 juta (pada kadar harga pasaran saham tersenarai) di akhir 2012. Kelebihan WANCorp terdapat pada hakikat ia diurus tadbir oleh pengurusan profesional eksekutif berpengalaman di JCorp.

Tegasnya, kejayaan memaksimumkan pulangan dan manfaat harta wakaf tidak lagi wajar diserahkan hanya kepada pihak berkuasa agama.

Bukan sahaja mereka mempunyai beban tugas besar dan berat lain; umumnya mereka tidak mempunyai kapasiti atau keupayaan menguruskan semuanya dengan sempurna.

Lagi pun pembangunan aset Waqaf Korporat, sama ada dalam bentuk hartanah mahu pun saham syarikat atau aset korporat, mustahil dikendalikan dengan kaedah terbaik tanpa membabitkan daya pengurusan profesional dan berpengalaman bisnes dan korporat.

Saya kuat berpendapat kaedah terbaik ialah menerusi penubuhan institusi khas Waqaf Korporat seumpama WAN Corp yang didukungi GLC seperti JCorp untuk memenuhi tujuan itu.

Tugas ini lebih mudah dilakukan kerana badan seperti JCorp dan agensi seumpamanya merupakan badan milik kerajaan dan bukan badan milik swasta atau peribadi.

Terutama di Malaysia, di mana sedia terdapat barisan GLC ditubuhkan sejak DEB dilancarkan, sewajarnya lebih mudah menjayakan konsep Waqaf Korporat dengan mentransformasikan beberapa GLC terpilih.

Korporat milik rakyat untuk rakyat

Saya yakin konsep Jihad Bisnes dan institusi Waqaf Korporat disambut baik dalam persidangan di Jakarta kerana umat Islam sedar akan bahaya menciplak sistem kapitalis global acuan Barat yang banyak merosakkan kehidupan manusia hari ini.

Justeru dalam pembentangan saya tegaskan perlunya institusi Waqaf Korporat dijadikan institusi teras memacu sistem ekonomi Islam supaya lebih adil, saksama, seimbang, efisien lagi prihatin.

Lebih daripada itu, pengalaman membina JCorp dan membentuk WANCorp meyakinkan saya potensi besar seluruh sistem ekonomi ditransformasikan bertujuan menjamin kehidupan lebih baik untuk warga majoriti rakyat bawahan juga generasi masa depan.

Sesungguhnya seluruh umat manusia hari ini bimbangkan situasi di mana kerakusan sistem kapitalis liberal acuan Barat membolehkan segelintir manusia swasta pemilik organisasi korporat gergasi berleluasa dan berpanjangan menghimpun harta kekayaan sehingga menindas dan menzalimi majoriti lain.

Pengalaman JCorp dan WANCorp, sekali pun masih merupakan “work-in-progress” dan perjalanan yang belum sampai ke hujungnya, bukti nyata kaedah Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat satu kaedah pilihan untuk umat Islam mencari jalan keluar.

Kaedah Jihad Bisnes dan institusi Waqaf Korporat menarik perhatian persidangan kerana ia tidak menganjurkan tindakan anti-kekayaan, anti-pasaran atau anti-bisnes seumpama ideologi komunisme dan sosialisme yang merosak dan memudaratkan.

Institusi Waqaf Korporat, apabila sampai ke tahap critical mass, berpotensi mentransformasikan sistem ekonomi, mengubahkannya daripada melampau didominasi individu swasta pemegang saham korporat kepada dominasi kepentingan komuniti dan masyarakat.

Tiba masanya umat Islam bentuk sistem ekonomi memangkinkan aset dan harta korporat bernilai tinggi dihimpunkan dalam organisasi milik rakyat untuk rakyat.

Cara terbaik ialah menentukan semua ini dicapai mengikut kaedah dianjurkan Islam sejak awal zaman, iaitu dengan mewakafkan harta kekayaan, kali ini dalam bentuk Waqaf Korporat mengekalkannya menjadi korporat milik rakyat untuk rakyat.