SEMALAM genap setahun penulis menerajui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), setelah menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri. Sememangnya bukan mudah untuk membuat keputusan meninggalkan dunia kewangan Islam yang ternyata lebih tenang lagi menyenangkan.

Dalam hidup ini tidak semestinya apa kita harap dan rancang akan menjadi kenyataan. FirmanNya: Dan pada sisi ALLAH jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata (Al-An’am:59).

Sebab itulah sebagai orang Islam kita kena sentiasa mengikat kehidupan kita dengan ALLAH - meletakkan sepenuh kepercayaan dan penyerahan mutlak kepadaNya setelah berencana dan berusaha.

Inilah sebenarnya dimaknakan dengan konsep tawakal. Di samping itu kita disunatkan menunaikan solat istikharah bukan sahaja untuk mendapatkan petunjuk ALLAH, tetapi lebih utama agar setiap keputusan penting yang hendak dilakukan diredai ALLAH.

Ini juga selaras dengan sabda Baginda Junjungan SAW: “Tidak akan rugi bagi sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal bagi sesiapa yang bermesyuarat (mendapatkan pandangan ramai)”.

Berbalik kepada Yadim, ia ditubuhkan pada 1974 oleh ayahanda Datuk Sri Najib iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu.

Yang Dipertua pertama ialah Allahyarham Tan Sri Syed Nasir dan ayahanda saya sendiri ialah  pengarah pertama Yadim.

Sebab itulah Yadim bukanlah asing daripada diri penulis. Takdir ALLAH setelah 40 tahun, anakanda Tun Razak yang ketika ini merupakan Perdana Menteri pula yang melantik penulis sebagai Yang Dipertua Yadim.

Yadim dari segi peranannya amat penting dalam menyemarak dan meratakan kesedaran serta kefahaman Islam dalam masyarakat. Fokus dakwah Yadim secara mudahnya boleh dipecahkan kepada dua dimensi dakwah utama.

Pertamanya ialah Dakwah Islamiah yang menyasarkan gerak kerja dan program dakwah, khususnya bagi memberikan kefahaman benar mengenai Islam kepada rakyat bukan Islam.

Keduanya ialah Dakwah Islahiah yang memfokuskan kepada aspek memperkasa dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman Islam kepada masyarakat Islam sendiri. Rata-rata umat Islam di Malaysia boleh dikatakan mempunyai kesedaran untuk hidup beragama. Namun kesedaran sahaja tidak cukup jika tidak dilandasi dengan kefahaman yang benar dan sahih mengenai Islam.

Sebab itulah jika gerakan dakwah sebegini tidak digerakkan, wujud kecenderungan sebahagian besar umat Islam yang hanya menanggapi agama ini daripada aspek ritual peribadatan seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Sedangkan Islam yang harus difahami mencangkup segala aspek kehidupan tidak kira ibadah, muamalah hatta siasah.

Lebih membimbangkan apabila umat terdedah kepada dua bentuk pelampauan atau ekstremisme sama ada melampau dalam memahami dan mengamalkan agama atau memperlonggarkan dan meremehkan pegangan agama.

Natijahnya, umat khususnya generasi muda amat mudah terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran dan ideologi-ideologi songsang lagi menyesatkan seperti liberalisme, pluralisme mahupun apa yang diistilahkan Perdana Menteri dalam ucapannya di upacara perasmian Majlis Tilawah Al-Quran di Pahang baru-baru ini iaitu ideologi human-rightisme yang mempertuhankan hak asasi manusia sehingga tercabut nilai dan asas agama yang sejati.

Justeru Yadim dalam mendepani dunia tanpa sempadan dengan pelbagai ledakan instrumen media sosial yang begitu menyebati dalam diri generasi muda yang diistilahkan Generasi Y, perlu mempelbagaikan pendekatan dakwah bagi menyantuni kerencaman kumpulan sasaran masa kini.

Alhamdulillah, pendekatan Yadim setakat setahun ini mudah diterima pelbagai pihak kerana Yadim percaya bahawa dakwah tidak wajar digerakkan secara menyendiri apatah lagi jika terdetik untuk beradu antara satu sama lain.

Sebab itulah Yadim mengambil pendekatan Blue Ocean dengan bekerjasama dan menjalinkan hubungan dan perkongsian secara strategik dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan dan Negeri-negeri, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan, media massa, sektor awam dan swasta di semua peringkat.

Memang sudah tiba masanya untuk semua organisasi agama tidak kira di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuklah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk sentiasa bekerjasama dalam menggerakkan agenda dakwah secara lebih berkesan.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia