PRK bakal corak masa depan Rantau - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

PRK bakal corak masa depan Rantau


Bagi yang tidak biasa dengan Rantau, ia satu daripada tujuh mukim dalam daerah Seremban di Negeri Sembilan.

Memiliki keluasan 15,960 hektar dengan kira-kira 80,000 penduduk, boleh dikatakan pekan Rantau mempunyai segala-galanya.

Penduduknya majoritinya pekebun kecil, pekerja ladang dan petani, di samping penduduk taman perumahan yang kebanyakannya bekerja di bandar Seremban, Port Dickson atau Rembau serta Tampin.

Kemudahan asas juga serba melengkapi dengan kewujudan sekolah, pejabat pos, balai polis, balai bomba dan penyelamat, stesen minyak, klinik kesihatan, pasar awam, masjid serta rumah ibadat, restoran mamak dan warung menjual makanan pada harga sekitar RM7 untuk hidangan sepinggan nasi, bersama lauk dan minuman.

Bagi majoriti penduduk, keperluan ‘semua sudah cukup’. Mereka akui semua pernah merasa ‘garam’ disediakan kerajaan sebelum ini, khususnya ketika Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat yang juga wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menjadi Menteri Besar dalam tempoh 15 tahun lalu.

🔥Bakal penentu🔥

Namun, pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April ini bakal menjadi penentu sama ada benar masyarakat di sini lebih selesa untuk berasa ‘semua sudah cukup’ atau inginkan perubahan di bawah konsep Malaysia Baharu.

Realiti kini, Negeri Sembilan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Soalnya, adakah penduduk Rantau sedia berubah. Jika tiga penggal lalu, mereka selesa di bawah kepemim- pinan Tok Mat yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN), adakah PRK kali ini pengundi sedia memilih melakukan reformasi.

Bersediakah mereka memilih dan mengangkat Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, yang menjadi kepercayaan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjadi wakil rakyat baharu bagi DUN Rantau.

Melihat realiti kempen PKR, kekerapan Anwar turun membantu Dr Streram memungkinkan sejarah tercipta bagi PH di Rantau.

Dalam tempoh lapan hari berkempen, Anwar konsisten siang dan malam bertemu serta beramah mesra bersama masyarakat membantu ‘mempromosi’ Dr Streram kepada pengundi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dilihat ‘menyalurkan’ hampir semua auranya kepada Dr Streram di Rantau sehingga timbul persepsi seolah-olah PRK ini adalah pertembungan antara Anwar dan Tok Mat, bukan Tok Mat dan Dr Streram.

Berbaki empat hari tempoh berkempen, sudah tentu PKR akan melipat ganda keupayaan jentera untuk menyaingi aura Tok Mat.

Akan tetapi gerak kempen Tok Mat agak berbeza. Beliau seperti ‘ular menyusur akar’. Hampir keseluruhan pergerakan kempennya sukar dikesan. Pada sebelah siang, beliau lebih selesa berkempen seorang diri bertemu pengundi.

Beliau dilihat lebih selesa berkempen dengan berbekalkan aura ‘saya orang Rantau’ dan ‘saya lahir di Rantau’ dengan beramah mesra dengan pengundi Melayu dan kaum India secara peribadi tanpa publisiti media.

🔥Bicara isu nasional🔥

Pemimpin UMNO dan PAS yang membantu kempen Tok Mat pula lebih banyak membicarakan isu nasional seperti harga barang, kepentingan orang Islam dan Melayu bersatu serta keperluan pengundi memilih pembangkang yang berwibawa.

Hakikatnya, apa yang perlu disedari pengundi Rantau, jika mereka memilih Dr Streram sebagai wakil rakyat, sudah tentu lebih mudah bagi kerajaan negeri untuk menyalurkan peruntukan dan membawa pembangunan ke kawasan itu.

Anwar sendiri menyatakan Rantau pasti akan menerima tempias pembangunan secara langsung kesan kemajuan yang akan dibawa ke Port Dickson, jika Dr Streram menjadi wakil rakyatnya.

Namun, jika takdir memihak kepada Tok Mat, beliau hanya sekadar menjadi ADUN pembangkang yang mungkin tidak akan dapat mengulangi kemampuan membawa kemakmuran seperti sebelum ini.

Dari sudut lain, sudah tentu PRK DUN Rantau menjadi kayu ukur kepada kemampuan serta keupayaan PKR dan Anwar untuk memimpin PH, memandangkan beliau sudah dicanang sebagai bakal Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tok Mat pula dalam keadaan tertekan kerana beliau bukan sahaja perlu mempertahankan kerusi dimenanginya sejak tiga penggal lalu, tetapi terbeban menjaga reputasinya sebagai Timbalan Presiden UMNO yang bertanding di tempat kelahirannya.

Bagi dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin, kehadiran mereka ibarat ‘melukut di tepi gantang’ atau sekadar memeriahkan pertandingan.

Pokok pangkalnya, kebijaksanaan 20,472 pengundi yang merangkumi 51 peratus Melayu, India (27 peratus) dan Cina (18 peratus) di DUN Rantau bakal mencorakkan masa depan Rantau selepas 13 April ini.

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/550197/prk-bakal-corak-masa-depan-rantau
0 Komentar untuk " PRK bakal corak masa depan Rantau "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ