Isu pengurusan kewangan kerajaan sentiasa mendapat perhatian pengurusan tertinggi perkhidmatan awam, ahli politik, ahli akademik dan wartawan. Ia juga dibahaskan dalam laporan Ketua Audit Negara.
Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit hendaklah mengambil tindakan pembetulan ke atas teguran dinyatakan dalam laporan itu. Walaupun setiap tahun teguran dibuat Ketua Audit Negara berhubung pengurusan kewangan kerajaan, isu ini masih berlaku.
Justeru, beberapa strategi perlu dilakukan ketua jabatan, termasuk pembangunan dan peningkatan pengetahuan serta kemahiran pegawai.
Bagi ketua jabatan perlu untuk mereka merangka program latihan secara berstruktur dan berkala, bagi melatih pegawai yang terbabit dalam pengurusan kewangan kerajaan.
Antaranya dalam prosedur kewangan dan perakaunan (mengawal terimaan dan bayaran serta menyimpan wang awam, penyelenggaraan akaun awam, prosedur perolehan bekalan perkhidmatan dan kerja), audit, kehilangan dan prosedur hapus kira, pengurusan projek, pengurusan harta dan stor serta sebagainya.
Tujuannya bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dalam pengurusan kewangan kerajaan.
Ketua jabatan juga hendaklah menempatkan pegawai berpengalaman dalam pengurusan kewangan bagi melaksanakan tugas itu di agensi masing-masing.
Perancangan belanjawan tahunan ketua jabatan hendaklah terbabit secara langsung dalam penyediaan belanjawan mengurus dan pembangunan agensi.
Tujuannya bagi mengenal pasti anggaran belanjawan itu yang disediakan agensi menepati objektif selaras fungsi, tugas dan tanggungjawab agensi.
Ia juga bagi mengelak agensi tidak mengemukakan permohonan belanjawan melampau yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakupayaan berbelanja (menyebabkan berlakunya pembaziran sumber) atau permohonan belanjawan terlalu sedikit (menyebabkan berlakunya kesukaran dalam pelaksanaan program dan aktiviti) sehingga boleh menjejaskan pencapaian objektif program atau aktiviti agensi.
Melalui strategi ini, agensi boleh menentukan keutamaan dalam merangka program atau aktiviti supaya perbelanjaan dilakukan dengan cekap dan berkesan, serta memberi manfaat maksimum kepada kumpulan sasar.
🔥Tubuh jawatankuasa pemantauan projek🔥
Dalam pemantauan isu atau masalah pengurusan kewangan, ketua jabatan hendaklah membangkitkannya secara berkala khususnya dalam mesyuarat pengurusan agensi.
Ia bagi mengenal pasti segala isu atau masalah berhubung pengurusan kewangan kerajaan, dapat diambil maklum semua pegawai terbabit dan tindakan sewajarnya dilaksanakan dengan cepat dan tepat.
Ketua jabatan hendaklah menubuhkan jawatankuasa pemantauan projek pembangunan (mengikut wilayah, negeri atau daerah) bagi memantau atau memeriksa status projek dilaksanakan kementerian, jabatan atau agensi di bawah kawalan.
Tujuannya bagi mengenal pasti isu berhubung pelaksanaan sesuatu projek seperti pengambilan tanah, masalah reka bentuk projek pembangunan, status atau kemajuan sebenar pelaksanaan projek itu.
Selain mekanisme kawalan dalaman melalui sistem audit dalaman, ketua jabatan hendaklah memastikan jawatankuasa ditubuhkan pada peringkat agensi masing-masing berfungsi dengan cekap dan berkesan.
Dalam konteks ini, ketua jabatan mestilah memastikan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun, Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan, Jawatankuasa Sebutharga dan Tender, melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan seperti ditetapkan dalam terma rujukan jawatankuasa itu.
Ketua jabatan juga hendaklah membuat penilaian impak atau keberhasilan pelaksanaan program atau aktiviti agensi. Ini untuk memastikan program atau aktiviti dilaksanakan menepati objektif ditetapkan dan memberi impak atau keberhasilan maksimum kepada kumpulan sasar.
Melalui kaedah ini, ketua jabatan dapat menentukan alternatif terbaik dalam perancangan dan modus operandi pelaksanaan program atau aktiviti agensi untuk masa hadapan.
Komitmen ketua jabatan dan pengurus kewangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab berhubung pengurusan kewangan kerajaan amat penting. Ia bagi meminimumkan kos dan mengoptimumkan hasil dan servis, impak serta keberhasilan penggunaan wang awam dalam mencapai objektif organisasi, perkhidmatan awam, kerajaan dan negara.
Pengurusan kewangan teratur, cekap dan berkesan penting bagi meningkatkan akauntabiliti awam dalam pengurusan wang awam, di samping mengelakkan berlakunya rasuah, penyelewengan, penipuan, salah guna kuasa dan sebagainya. Semua isu ini boleh menjejaskan imej dan reputasi organisasi sektor awam, kerajaan dan negara.
Ketua jabatan atau pegawai pengawal hendaklah menjalankan tugas diberikan kepadanya dengan penuh tanggungjawab sebagaimana digariskan dalam Arahan Perbendaharaan, Akta Tatacara Kewangan 1957 dan lain-lain peraturan yang berkuatkuasa.
Oleh Datuk Dr Roslan Mahmood
Penulis adalah Felo Penyelidik Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/04/550193/urus-kewangan-kerajaan-berkesan-tingkat-akauntabiliti
0 Komentar untuk " Urus kewangan kerajaan berkesan tingkat akauntabiliti "