Kehidupan manusia boleh menjadi sia-sia sekiranya tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, malah kasih sayang yang dikurniakan kepada hamba-Nya boleh menjadi tiket untuk masuk ke syurga.
Apatah lagi amal dan ibadat yang dilakukan di dunia ini sebenarnya terlalu sedikit untuk menuju ke syurga Allah SWT, manakala dosa yang ditanggung pula tidak sepadan dan mencukupi dengan amalan yang dilaksanakan.
Justeru, manusia perlu bergantung kepada Allah SWT dan rahmat-Nya seperti Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat,” (Ali-Imran: 132)
Ulama dan pendakwah terkemuka dari Yaman, Habib Umar Muhammad Salim, berkata walaupun rahmat Allah SWT menjadi hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, Tuhan mengajar manusia menjemput keredaan-Nya dalam kehidupan.
Katanya, jika Allah SWT memberi keredaan, rahmat-Nya akan datang kepada hamba.
“Kita lahir dan hidup dalam keadaan seperti hari ini adalah rahmat serta nikmat Allah SWT yang dapat kita kecapi.
“Pada masa sama, kita mengharapkan rahmat Allah SWT membawa kita ke tempat yang lebih baik di akhirat nanti.
“Namun, ia bergantung kepada apa yang kita lakukan sepanjang hidup.
🔥Letak sangkaan baik🔥
Jadi ada sesuatu yang lain harus dilakukan untuk mendapat rahmat Allah SWT,” katanya pada Majlis Forum Perdana bertajuk ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.
Habib Umar berkata, untuk mendapat rahmat Allah SWT tidak memadai dengan hanya menyempurnakan segala perintah, sebaliknya perlu dengan diiringi dengan memohon pengharapan sepenuhnya.
“Allah SWT sentiasa menanti pengharapan daripada hamba- yang membuktikan kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“Kita perlu meletakkan sangkaan baik dan harapan positif Allah SWT sentiasa Maha Mendengar serta Maha Melihat, sekali gus merahmati hamba yang menuju ke jalan-Nya,” katanya.
Habib Umar berkata, pengharapan terhadap rahmat Allah SWT memerlukan kita mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya, mengamalkan ajaran al-Quran serta Baginda, membuat ihsan sesama manusia dan berjihad.
Katanya, al-Quran dan hadis banyak menjelaskan cara mendapatkan rahmat Allah SWT dengan terperinci seperti firman-Nya: “Dan inilah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang diberkati. Maka hendaklah kamu menurutnya dan bertakwalah agar kamu beroleh rahmat.” (Al-An’aam: 155)
Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta takut melanggar perintah Allah dan menjaga dirinya, merekalah yang beroleh kemenangan.” (An-Nur: 52)
“Solat ialah tiang agama, jika tidak bersolat, runtuhlah agama. Allah SWT memberi panduan hidup, iaitu mendirikan solat seperti diajar kepada Nabi Muhammad SAW. Orang yang menjaga solatnya akan diberkati dengan rahmat Allah.
“Begitu juga dengan berbuat ihsan dalam beribadah kepada Allah SWT. Ibadat yang disempurnakan perlu dengan kita berasa diri diawasi Allah SWT. Sesungguhnya orang yang berbuat baik akan mendapat rahmat Allah SWT,” katanya.
🔥Sunah Rasulullah🔥
Menjawab soalan mengenai konsep rahmatan lil alamin, Habib Umar berkata, pendekatan berdasarkan sunah Rasulullah SAW dalam pemerintahan Baginda di Madinah boleh diamalkan di negara ini yang didiami pelbagai kaum.
Beliau berkata, kerajaan Islam di Madinah ketika itu mampu hidup dalam keadaan aman damai walaupun didiami pelbagai kaum disebabkan rahmat yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya itu.
“Baginda meluaskan pengaruh Islam dengan menyampaikan ilmu menerusi akhlak. Baginda tidak hanya tertumpu kepada masyarakat Islam, bahkan kelompok yang masih belum memeluk Islam.
“Baginda juga memberi hak kepada bukan Islam, tidak membenarkan sahabat untuk mengamalkan sikap yang boleh membawa kemudaratan kepada bukan Islam,” katanya.
Oleh Mohd Aizat Shamsuddin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/10/480597/hidup-ibadat-sia-sia-tanpa-rahmat-ilahi
0 Komentar untuk " Hidup, ibadat sia-sia tanpa rahmat Ilahi "