Tidak dinafikan, golongan belia antara paling berisiko menjadi sasaran kumpulan pemikiran dan berfahaman songsang seperti liberalis, sekularis dan ateis untuk memasang jerat bagi menyerap masuk dakyah mereka.
Manusia pada peringkat usia itu mudah dipengaruhi kerana tertarik dengan perjuangan kebebasan tanpa sekatan yang dibawa oleh kelompok terbabit.
Justeru, ada yang sanggup berpaling daripada kebenaran agama hanya kerana tidak mahu hidup mereka dikawal oleh undang-undang dan ketetapan syarak.
Bagaimanapun, Pengarah Institut Kajian Hadis (INHAD), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Dr Norsaleha Mohd Salleh, berkata masih banyak ruang untuk mendekati belia supaya mereka tidak terpengaruh dengan fahaman songsang ini.
“Jika dilihat di media sosial seperti Twitter dan Facebook seolah-olah sedang berlaku kekacauan yang amat teruk kepada pemikiran anak muda kita.
“Bagaimanapun, saya lihat ini hanya permainan untuk menunjukkan mereka sedang menguasai pemikiran belia, tetapi hakikatnya masih ramai anak muda kita yang kuat pegangan agama.
“Cuma mungkin kebanyakan mereka ini mengambil pendekatan berdiam diri di media sosial,” katanya ketika menyampaikan makalah Analisis Persepsi Belia Berisiko Liberal Terhadap Institusi Agama Islam di Malaysia di Seminar Liberalisme dan Media Sosial di INHAD, KUIS, Bandar Seri Putra, Bangi.
Norsaleha berkata, antara ancaman terbesar yang dibawa kelompok liberal adalah membebaskan umat Islam daripada pandangan agama kerana ia disifatkan sebagai jumud termasuk menolak agama daripada dikawal oleh institusi berkaitan dengannya.
“Mereka berpandangan institusi agama menyekat kebebasan, lantas melihat hukum Islam tidak boleh dijadikan undang-undang.
“Antaranya ada yang menyatakan institusi agama zalim terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), selain dikatakan terlalu berhati-hati sehingga menyempitkan Islam itu sendiri,” katanya.
Norseha menyarankan semua pihak bersatu dan mengambil tanggungjawab bersama bagi memulihkan daya fikir belia khususnya yang terarah kepada pemikiran songsang.
“Saya kira institusi masjid perlu memainkan peranan supaya bersikap lebih mesra terhadap anak muda, dari situ barulah dapat memasukkan pemikiran dan akidah sebenar yang diajarkan oleh Islam secara menyeluruh.
“Selain itu, inilah masanya institusi agama bekerja lebih keras umpamanya mencambahkan inisiatif untuk melahirkan ikon anak muda supaya dapat memandu mereka kepada pegangan Islam yang hakiki.
“Mereka ini perlu ada kemahiran berkomunikasi dan menyampaikan hujah dengan baik khususnya membantu agenda menolak golongan berfahaman songsang ini yang sedang aktif khususnya di platform media sosial,” katanya.
🔥Perbaiki institusi keluarga🔥
Norsaleha berkata, bagi menghadapi gelombang teknologi maklumat yang sedang melanda dunia, apa yang paling penting adalah generasi muda ini dibantu dengan cara memperbaiki institusi keluarga Islam.
Ia harus dimulakan di rumah oleh ibu bapa supaya dapat memandu anak muda yang sedang mencari arah hidup supaya tidak terjebak ke arah pemikiran yang menolak cara hidup Islam.
Sementara itu, Rektor KUIS, Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata kelompongan umat Islam khususnya golongan pendakwah dan ilmuwan dalam menentang hujah dibawa oleh kelompok berfahaman songsang disebabkan banyak faktor termasuk penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.
🔥Penguasaan bahasa Inggeris lemah🔥
“Hal ini perlu diakui kerana kita tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik, bukan saja dalam komunikasi tetapi juga dalam aspek penulisan.
“Golongan liberal ini banyak merujuk kepada bahan bacaan atau penulisan dalam bahasa Inggeris sejak sekian lama.
“Kita tidak mampu untuk melawan mereka, justeru perlu segera mencari jalan supaya dapat membuat penambahbaikan, mungkin jika tidak boleh bercakap bahasa Inggeris dengan baik, maka boleh diterjemahkan menerusi olahan dalam bentuk teks,” katanya.
Ab Halim, berkata keterbatasan ilmu juga menyekat untuk kita menentang sekeras-kerasnya kehadiran golongan berfahaman liberal.
“Ilmu kita tidak banyak kerana tidak didedahkan dengan banyak perkara, apatah lagi kelemahan bahasa menyebabkan bahan dalam bahasa Inggeris dan Arab tidak dirujuk.
“Isu ini sebenarnya cukup kritikal kerana mereka ini membawakan banyak perkara songsang, antaranya menggalakkan masyarakat mengikuti fahaman ini disebabkan mereka yang beragama itu tidak bebas.
“Sedangkan apa yang ada pada mereka ini sangat longgar, cuma kelebihannya kepandaian untuk meraih perhatian masyarakat sehingga berjaya menguasai media baharu sekali gus seolah-olah menunjukkan kelompok mereka ini mendapat sokongan ramai,” katanya.
🔥Kelompok minoriti🔥
Hakikatnya Abd Halim berkata, gerakan liberal di negara ini masih berada dalam kelompok minoriti, cuma dikaburi dengan kehadiran pejuang fahaman ini yang lantang bersuara dan aktif memberikan pandangan terutama di media sosial.
“Justeru, saya lihat kemahiran khususnya dalam kalangan pendakwah perlu dipertingkatkan, antaranya perlu menggunakan bahasa yang lembut untuk menarik minat masyarakat.
“Sebagai pendakwah, perlu mainkan peranan dengan baik, bukannya bersifat menghukum.
“Saya sarankan supaya gunakan media sosial sebaiknya untuk sampaikan pemikiran dan dakwah secara ringkas terutama di platform dikuasai anak muda seperti Twitter,” katanya.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/10/481051/pendakwah-perlu-bijak-pikat-anak-muda
0 Komentar untuk " Pendakwah perlu bijak pikat anak muda "