Pengiktirafan merakyatkan pembacaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pengiktirafan merakyatkan pembacaan


PENGIKTIRAFAN kepada Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia (WBC) 2020 seharusnya disambut dengan sejuta tahniah dan gegak gempita kerana ia platform dan peluang terbaik untuk membina persekitaran masyarakat membaca dan berilmu, selain tentunya menonjolkan keunikan bandar raya itu sendiri.

Akuilah di Malaysia, aktiviti membaca bukan tabiat yang merakyat. Ia dilihat sebagai aktiviti golongan pelajar dan nerd, paling teruk membaca selalu dikaitkan dengan peperiksaan.

Hal ini mungkin banyak disebabkan dengan pilihan buku yang terhad, selain kos buku import yang mahal. Namun, 10 tahun kebelakangan ini persoalan pilihan buku tidak lagi menjadi isu.

Dominasi gergasi penerbitan milik kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dipecahkan dengan kehadiran golongan penerbit kecil yang kini ternyata lebih pantas dan cekap struktur pemasarannya.

Malah, buku import juga dapat diperoleh dengan harga serendah RM10 dalam acara jualan buku berskala besar. Justeru, tiada sebab sebenarnya mengapa tabiat membaca tidak boleh menjadi cara hidup masyarakat Malaysia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, gerakan membaca dibuat dalam skala kecil dan kekurangan bantuan dana kerajaan.

Aktiviti membaca dalam Transit Aliran Ringan (LRT) misalnya, borak buku atau aktiviti buku jalanan dibuat oleh kelompok anak muda yang punya kesedaran tinggi mengenai perlunya membaca untuk menjadikan manusia itu manusia.

🔥Tanpa bajet besar🔥

Tanpa bajet besar, aktiviti begini mempunyai pengikut sendiri meskipun jumlahnya jauh lebih kecil, berbanding acara hiburan pastinya.

WBC 2020 memberikan peluang ini kepada Kuala Lumpur. Peluang untuk membina persekitaran pembacaan, bukan hanya menyenaraikan sahaja aktiviti seperti membaca dalam LRT atau Borak Buku atau Malam Puisi PENA yang sudah ada prestij sendiri.

Sekretariat WBC sebaliknya perlu menyediakan elemen lain, selain mengekalkan apa yang sedia ada.

Ketika kempen pembidaan dahulu, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) selaku sekretariat ada mengatakan, antara kelebihan Kuala Lumpur jika terpilih ialah sejarahnya yang unik dengan kepelbagaian kaum tetapi masih mampu hidup bersama secara harmoni dan toleransi.

Namun, apa yang mungkin tidak disedari ialah kepelbagaian kaum itu berada dalam kelompok masing-masing dan membaca dalam bahasa masing-masing.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) misalnya tidak popular dalam kalangan pembaca bukan Melayu kerana pilihan bukunya yang lebih banyak dalam bahasa Melayu.

Pesta buku Must@Read Malaysia pula yang mencecah usia 11 tahun penganjuran kurang dikunjungi pembaca Melayu kerana pilihan bukunya lebih banyak dalam bahasa Mandarin.

Sebaliknya, Big Bad Wolf yang bermula dengan buku bahasa Inggeris (setahun dua ini sahaja mula memperkenalkan bahasa Melayu) kelihatan lebih berjaya dengan gabungan pembaca pelbagai kaum.

Justeru, apakah yang boleh diterjemahkan daripada pasaran buku Malaysia yang bersegi-segi ini? Jujurnya bukan tanggungjawab Sekretariat WBC untuk ‘menyatupadukan’ masyarakat Malaysia melalui buku.

Jika kelak Kuala Lumpur sebagai WBC boleh menanamkan benih tabiat membaca yang kemudiannya menjadi pokok agam yang kekal berdiri hingga ratusan tahun pun sudah cukup baik.

Namun, disarankan, pengisian WBC nanti bukan hanya pada fizikalnya yakni membina perpustakaan terapung atau hanya projek kaku, seperti buku online di lapangan terbang yang tidak diketahui berapa ramai yang memanfaatkannya.

🔥Medan pengisian jiwa🔥

Sebaik-baiknya, WBC diharap menjadi medan pengisian jiwa yang lebih bermakna. Misalnya kita boleh melihat semua rakyat Malaysia amnya dan warga Kuala Lumpur khususnya yang pelbagai kaum tampil memeriahkan, mengisi program yang dianjurkan.

Tidaklah kita hanya melihat jika acara berkaitan bahasa Melayu, hanya kelompok orang Melayu audiennya. Jika berbahasa Inggeris, kelompoknya pula bukan Melayu.

Aneh bukan melihat hal itu berlaku sedangkan bahasa Melayu ialah kebangsaan, seolah-olah buku bahasa Melayu hanya untuk dibaca orang Melayu.

Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai WBC 2020 memang perlu disusuli kerja yang berat. Kebetulan pula 2020 ialah tahun sasaran Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991. Pasti sangat menarik melihat permulaan 2020 nanti disambut dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia.

Oleh Hafizah Iszahanid

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/09/476688/pengiktirafan-merakyatkan-pembacaan
0 Komentar untuk " Pengiktirafan merakyatkan pembacaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ