Sudah hampir 10 bulan kerajaan bertukar tangan daripada cara pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mencorak negara selama lebih 61 tahun kepada kaedah baharu Pakatan Harapan (PH) diketuai negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pasti lenggok perjalanan pentadbiran negara tidak sama.
Analoginya adalah seperti menukar kereta, daripada memandu sebuah kereta mewah yang penuh dengan hutang piutang kepada sebuah kereta yang lebih kecil, tetapi sesuai dengan kemampuan diri. Secara tidak langsung, ini akan mengehadkan kebolehan kita untuk membawa penumpang lebih mahupun kemampuan untuk memecut laju, tidak sama seperti dahulu lagi.
Namun, hati kita akan berasa lebih tenang dan bersih. Mana tidaknya, hutang kereta kita mampu bayar, penyelenggaraan kereta juga boleh dilakukan secara berkala untuk penggunaan lebih optimun. Hati mana yang tidak damai jika tiada pemungut hutang datang mengganggu rumah tangga kita dan kereta tidak sentiasa meragam.
Ironinya, perubahan ini tidak bermakna kita akan kekal dengan situasi sebegini selamanya, pasti kita mahu bergerak lebih pantas dan membawa lebih ramai penumpang. Pada masa sama, kita mahukan juga agar perjalanan ini dirangka dengan selamat, selesa dan tenang.
Kerana perjalanan ini bukan sekadar untuk generasi semasa, kita juga akan menentukan ke arah manakah pergerakan generasi selepas ini supaya mereka semua tidak mengalami kepayahan seperti yang pernah kita deritai. Kita juga mahukan perjalanan kita ini menimbulkan kegerunan dan perasaan hormat dalam kalangan mereka di sekeliling kita, bukannya kehinaan dan kecercaan.
🔥Perancangan utuh, jitu🔥
Maka kepemimpinan semasa perlu membuat satu perancangan yang utuh, jitu dan bercorak jangka masa panjang, supaya negara boleh segera keluar daripada kemelut yang sedia ada ini. Sememangnya formula sebegini bukan sesuatu yang populis apatah lagi disukai oleh orang ramai.
Kepemimpinan Dr Mahathir yang banyak berorientasikan kepada kaedah perubatan berdasarkan ciri-ciri pemerhatian, kajian sejarah, pemeriksaan, mengusulkan penyelesaian dan intervasi jika jawapan pertama gagal menyelesaikan masalah, sedang diaplikasikan ketika ini. Badan yang sedang sakit, apatah lagi jika diserang penyakit kronik, tidak mungkin dapat diubati dalam masa singkat.
Begitu juga dengan apa yang sedang berlaku dalam negara kita ketika ini. Maka kesabaran rakyat amat didambakan. Berilah kami peluang untuk memperbaiki perjalanan negara ini. Amanat yang diberikan kepada kami, pasti kami tidak akan sia-siakan. Bukan niat kami untuk sentiasa meletakkan kesalahan kepada pemerintahan terdahulu, namun untuk menjadi sebuah negara yang berdaya saing kembali, segala kepincangan perlu dihapuskan terlebih dahulu.
Selepas itu baharu boleh direncanakan kembali apa yang perlu kita laksanakan untuk menentukan arah perjalanan negara. Kami yakin, walaupun ketika ini perjalanannya agak perlahan, ia bergerak dalam momentum yang sepatutnya. Pasti kita tidak boleh terus berlari selepas jatuh, perlahan-lahan kita berdiri mencari rentak pergerakan, agar terus dapat bersaing dengan dunia luar.
Tetapi yang paling utama buat masa ini ialah kebersamaan kita dalam mengharungi situasi pemulihan ini. Jangan ada antara kita yang cepat terpengaruh dengan propaganda yang sengaja direncanakan untuk merencatkan pergerakan kita. Pembangunan ekonomi hanya boleh dibina jika kesepaduan rakyat terbentuk.
🔥Raikan perbezaan🔥
Kita tidak lagi boleh bermain dengan ‘rasisme’ kerana negara kita sememangnya sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian. Mana mungkin kita menghalau semua yang tidak bersetuju dengan kita apatah lagi memaksa mereka untuk menukar agama kepada yang hanya sekiblat dengan kita. Marilah kita bina negara ini dengan meraikan perbezaan yang ditinggalkan oleh penjajah.
Marilah kita berganding tangan menghentikan sebarang bentuk kepincangan yang ada. Marilah kita bina kembali negara ini supaya menjadi negara yang disegani dan dihormati oleh rakan mahupun lawan.
Pada masa sama, Kerajaan PH sentiasa menerima kritikan yang membina kerana dalam membaiki kembali negara ini, mungkin ada aspek yang terlepas pandang dan perlukan kepada teguran. Ketamadunan Melaka juga tidak dibina dalam masa 10 bulan, malah bertahun-tahun sebelum mereka menjadi pusat perdagangan antarabangsa.
Pembinaan itu juga penuh dengan air mata dan darah, tetapi bukan itu yang dipinta oleh kerajaan PH. Apa yang kami mahukan, sekadar sokongan, kesabaran dan kepercayaan terhadap apa yang sedang kami lakukan sekarang ini. Jika kami gagal, saya rasa rakyat lebih tahu bagaimana untuk menghukum kami. Tapi yang penting mohon jangan difokus kepada perkara kecil sehingga kita lupa kepada yang besar.
Oleh Datuk Marzuki Yahya
Penulis adalah Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/03/546213/beri-sokongan-sabar-jayakan-malaysia-baharu
0 Komentar untuk " Beri sokongan, sabar jayakan Malaysia Baharu "