HARTA dan wang yang bersumber haram atau syubhah boleh disumbangkan kepada golongan fakir miskin, sekali gus menyucikan harta benda yang dimiliki seseorang Muslim.
Pemberian harta berstatus itu kepada fakir miskin tidak salah dengan mengambil kira faktor kemiskinan dan keperluan mendesak, sekali gus menjadikannya halal kepada golongan itu selepas ia bertukar tangan.
Bagaimanapun, individu yang berbuat demikian tidak perlu berterus-terang mengenai status harta atau wang itu kepada penerimanya.
Pengurus Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman, berkata kaedah itu disebut penyucian harta yang apabila sudah diberikan, ia menjadi hak milik orang fakir itu dan tidak boleh diambil semula.
“Pada masa sama, agama juga melarang pemilik harta atau wang bersumber haram atau syubhah untuk berpakat dengan fakir miskin supaya sumbangan itu dikongsi kembali bersama,” katanya.
Ahmad Husni berkata, kaedah paling mudah menguruskan harta syubhah adalah dengan menyerahkannya kepada Pusat Pungutan Zakat supaya Baitulmal menguruskannya mengikut kaedah tertentu.
Beliau berkata, sesiapa membiarkan diri berada dalam perkara syubhah dianggap termasuk dalam golongan melakukan perbuatan diharamkan Allah SWT.
“Sebagai contoh, individu yang masih menyimpan simpanan di institusi perbankan konvensional, setiap pulangan atau dividen diterima serta penggunaannya tidak dihalalkan.
“Ia tidak boleh digunakan kerana daripada sumber haram, manakala sesiapa yang berada dalam perkara syubhah dianggap termasuk dalam perkara haram.
“Sesiapa yang berjaya menahan diri daripada terbabit dalam perkara syubhah dikira terselamat bukan sahaja dalam urusan dunia, bahkan lebih penting agamanya,” katanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dialah Yang Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang bertaubat).” (Al-Mulk: 2)
Ahmad Husni turut mengingatkan perbandingan yang dibuat Saidina Ali Abu Talib yang membandingkan antara ilmu dengan harta adalah harta perlu dijaga bermula daripada cara mendapatkannya hingga kepada berbelanja, manakala ilmu pula berfungsi memelihara kita dengan segala manfaatnya.
“Harta kekayaan yang diamanahkan kepada kita ialah ujian kepada manusia dan akan ditanya di akhirat kelak dari mana serta bagaimana diperoleh, selain ke mana dibelanjakan.
“Setiap amanah termasuk harta akan dipertanggungjawab dan ditanya di akhirat kelak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata, masih ramai dalam kalangan umat Islam tidak menjalankan kewajipan mengeluarkan zakat harta daripada wang simpanan.
“Penyumbang besar dalam zakat simpanan kebanyakannya orang berusia, mempunyai pekerjaan dan ada simpanan sendiri.
“Semua bentuk wang simpanan sama ada disimpan di institusi patuh syariah atau perbankan konvensional wajib dikeluarkan zakat apabila memenuhi syaratnya,” katanya.
Beliau berkata, bagi simpanan tetap dalam perbankan Islam, zakat dikenakan mengikut nilai simpanan pokok disimpan setahun termasuk dividen yang belum dizakatkan.
Bagi simpanan tetap di perbankan konvensional, dividen hendaklah ditolak daripada pengiraan zakat.
Simpanan melebihi nilai nisab perlu membayar zakat mengikut kadar 2.5 peratus, iaitu mengikut kiraan terkini bersamaan dengan 85 gram emas atau RM13,968.
Sementara itu, ada sebahagian masyarakat tidak menunaikan zakat simpanan kerana beralasan mempunyai komitmen tertentu yang perlu diutamakan.
Ahmad Husni berkata, ia tidak boleh dilihat secara sambil lewa sebaliknya perlu mengambil kira tempoh sampai kepada komitmen itu sama ada datang lebih awal sebelum sampai haul atau selepas daripadanya.
“Sekiranya komitmen itu datang lebih awal dan wang itu sudah pun dibelanjakan sebelum sampai kepada haul, maka perlu membayar setakat baki akhir yang tinggal sahaja.
“Bagaimanapun, jika haulnya sampai dan komitmen belum dibayar lagi, maka pada waktu ini menunaikan zakat simpanan dianggap wajib.
“Perlu dibayar ketika haulnya tiba, jika ditangguh bukan disebabkan perkara mendesak atau seumpamanya, boleh dianggap melewatkan pembayaran zakat,” katanya.
Justeru, Ahmad Husni berkata, umat Islam dinasihatkan melakukan perancangan kewangan teliti bukan hanya memastikan perbelanjaan hidup mencukupi, sebaliknya tidak mengabaikan tuntutan berzakat.
“Kita boleh merancang untuk dunia tetapi jangan sampai perancangan akhirat pula ditangguhkan kerana kedua-duanya perlu diberi perhatian dan dilunasi.
“Setiap individu perlu menetapkan satu waktu dalam setahun untuk berzakat. Ini bersumberkan apa disebut dalam hadis atau surat ditulis Saidina Umar al-Khattab RA kepada amil yang bertugas memungut zakat.
“Katanya, apabila datang kepada kamu bulan kamu berzakat, bersedialah dengan harta masing-masing kerana pemerintah akan mengambil zakat daripada mereka,” katanya.
Menjawab mengenai kemudahan pengiraan, ia boleh dilakukan sendiri berasaskan simpanan akhir dalam akaun bank masing-masing atau datang sendiri ke kaunter PPZ-MAIWP untuk membuat taksiran.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/04/547556/sucikan-harta-daripada-sumber-haram-syubhah
0 Komentar untuk " Sucikan harta daripada sumber haram, syubhah "