Pemimpin perlu contohi akhlak, peribadi keperibadian Rasulullah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pemimpin perlu contohi akhlak, peribadi keperibadian Rasulullah


KUALA LUMPUR: Pemilihan khalifah atau pemimpin dalam Islam perlu diambil serius kerana bentuk dan corak kepemimpinan itulah nanti yang akan ‘memandu’ umat sama ada ke jalan diredai atau sebaliknya.

Beruntunglah negara dipimpin pemerintah adil dan dapat membawa umatnya ke arah kemakmuran tetapi lain pula ceritanya jika pemimpin dipilih adalah orang yang hanya mengikut hawa nafsu secara melulu.

Isu rasuah, pecah amanah, kemiskinan dan kemunduran masyarakat, antara beberapa masalah disebabkan kegagalan pemimpin yang akhirnya akan menyeret negara ke arah kegagalan.

Justeru, isu pemimpin berwibawa dipandang serius dalam Islam seperti disebutkan Allah SWT dalam al-Quran: “Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Shaad: 26)

🔥Teladani Rasulullah🔥

Penting buat masyarakat terutamanya umat Islam untuk memiliki pemimpin berakhlak unggul. Justeru, tentulah tidak ada tokoh paling baik dan sempurna untuk diteladani akhlak dan kepemimpinannya jika bukan kekasih-Nya, Rasulullah SAW.

Pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata Rasulullah SAW insan paling tepat untuk diteladani pemimpin zaman ini kerana Baginda bersifat lengkap tanpa memiliki sebarang kelemahan daripada aspek akhlaknya.

Jika zaman ini, kuasa sering berupaya menggelapkan mata pemimpin hingga tanggungjawab besar itu dilihat sebagai jalan mudah mengumpul harta kekayaan, sedangkan Rasulullah SAW, pula kekal tawaduk dalam menonjolkan kepemimpinan bermaruah.

Disebabkan itu, anak Baginda tidak mewarisi harta Rasulullah SAW sebaliknya semua diwakafkan kepada mereka yang memerlukan.

“Ketika hayat Baginda, pernah Saidatina Fatimah ingin mengambil seorang hamba sebagai pembantu tetapi Rasulullah SAW tidak menggalakkannya, sebaliknya meminta anakandanya untuk memperbanyakkan bertasbih dan mempelajari erti berusaha serta berdikari.

“Di situlah Baginda menonjolkan kejituan akhlaknya sebagai pemimpin yang mahu anaknya sentiasa berdikari yang tidak banyak dimiliki pemimpin hari ini,” katanya.

Tambah Ahmad Fauwaz, Rasulullah SAW juga menonjolkan keterbukaan Baginda dengan tidak menghalang rakyat daripada menyuarakan pandangan mengenai sesuatu perkara.

Seorang pemimpin yang tidak berwibawa sering akan melihat rakyat atau mereka di bawah sebagai golongan paling mudah ditindas sehinggalah akhirnya golongan ini bangkit memberontak sedangkan Rasulullah SAW pula sentiasa meneladani dengan sifat rahmah dan penuh kasih sayang.

🔥Kerajaan bantu lunas hutang rakyat🔥

Dalam banyak hal juga, Baginda sentiasa menonjolkan keprihatinannya dengan mengutamakan kebajikan rakyat melebihi kepentingan peribadi dengan sanggup menggunakan harta miliknya untuk kebajikan rakyat.

Malah pernah berlaku dalam kepemimpinan Rasulullah SAW, kerajaan melunaskan hutang rakyat yang tidak berkemampuan untuk berbuat demikian.

“Menariknya, dalam sentiasa menyebarkan dakwah Islam, Rasulullah SAW juga berjaya membuatkan orang bukan Islam merasa aman dan bahagia hidup bersama umat Islam dengan meletakkan mereka dalam enakmen dan perlembagaan bagi memastikan golongan ini tidak disakiti orang Islam,” katanya.

Ciri kepemimpinan ditonjolkan Rasulullah SAW itu, menurut Ahmad Fauwaz, sangat penting untuk dicontohi pemimpin untuk memastikan masyarakat di negara ini dapat hidup aman dan makmur.

“Kejayaan sesebuah negara itu bergantung kepada kebijaksanaan pemimpinnya dan dalam hal ini, tiada insan lebih tepat untuk dijadikan contoh teladan selain Rasulullah SAW.

“Pemimpin yang memesrai akhlak Rasulullah SAW dan menjadikannya panduan dalam kepemimpinan sesebuah negara bukan hanya dapat memacu kejayaan buat masyarakat malah mengelakkan kepincangan dan kerendahan moral dalam kalangan pemimpin yang banyak berlaku kini,” katanya.

Oleh Siti Haliza Yusop

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/11/497790/pemimpin-perlu-contohi-akhlak-peribadi-keperibadian-rasulullah
0 Komentar untuk " Pemimpin perlu contohi akhlak, peribadi keperibadian Rasulullah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ