Jangan perlekeh institusi Raja, Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan perlekeh institusi Raja, Islam


BETA menzahirkan kesyukuran kerana seluruh rakyat negeri ini dapat terus menikmati keharmonian, keselamatan dan keamanan. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Pilihan Raya Umum Ke-14 telah pun berlalu hampir setahun.

Beta berasa sukacita dengan kepemimpinan YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana berjaya mengamalkan konsep kepemimpinan matang dan sejahtera. Beta melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakyat Beta tanpa mengira mana-mana parti terserlah, demi memastikan Terengganu menjadi di antara negeri paling harmoni di negara ini.

Beta menyeru supaya ketepikan politik kepartian dan berilah keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri. Beta ingin melihat negeri ini setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain. Akhir-akhir ini, Beta merasakan ada banyak perkara yang sedang berlaku dan dilihat seperti ada pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian, keamanan dan kestabilan yang terbina sekian lama di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Ada pihak berani melakukan perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, memperlekehkan institusi Diraja dan banyak lagi perkara yang berpotensi mengakibatkan kejadian tidak diingini berlaku. Beta selaku Ketua Agama di negeri ini mahu pihak yang berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perkara seperti ini tidak menular di negeri ini.

Beta dimaklumkan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu dijangka tumbuh sederhana 5.0 peratus pada 2018 berbanding 5.9 peratus pada 2017. Ekonomi negeri secara langsung menerima kesan krisis mata wang, kewangan dan perang dagangan di peringkat global. Penyusutan dalam sektor pertanian dan pembinaan memperlahankan prestasi keseluruhan KDNK.

Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu pertumbuhan dengan peningkatan dalam sub sektor perdagangan borong dan runcit, utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komuniti serta perkhidmatan kerajaan. Beta berasa amat sukacita kerana Beta dimaklumkan bahawa berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Terengganu menerima jumlah pelaburan yang tinggi pada 2018 iaitu dengan nilai pelaburan sebanyak RM4.9 bilion.

🔥Invest Terengganu perlu main peranan secara agresif🔥

Justeru, Beta berharap invest Terengganu akan terus memainkan peranan agresif dengan memastikan ekosistem pelaburan seperti infrastruktur, gaya hidup dan kemudahan utiliti terus diperkasakan bagi mengekalkan Terengganu sebagai destinasi pelaburan yang kondusif.

Kerajaan negeri perlu fokus kepada bagaimana untuk menurunkan cost of doing business di Terengganu bagi menarik lebih banyak pelaburan swasta. ​Beta menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Terengganu Silica Valley (TSV) di Jambu Bongkok, Marang. Terengganu Silica Valley adalah satu kawasan pembangunan bersepadu untuk aktiviti pemprosesan produk akhir berasaskan silica dan quartz yang akan mengukuhkan rantaian nilai dalam ekonomi negeri.

Beta berharap pembangunan TSV akan menjadi game changer pembangunan ekonomi negeri. ​Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah melancarkan pelan induk ECER 2.0 bermula 2018 hingga 2025 dengan penerapan Revolusi Industri 4.0 sebagai pengupaya ekonomi berteraskan produktiviti.

Fokus bagi pelaburan di bawah ECER 2.0 adalah industri yang bernilai tinggi dan berintensif teknologi bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi kepada rakyat Terengganu.

Beta dimaklumkan pelan pembangunan negeri yang berkomprehensif dibangunkan iaitu Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030). Beta amat gembira dengan pelan yang dicadangkan ini kerana ia menunjukkan bahawa kepemimpinan Menteri Besar berserta barisan kepemimpinan negeri mempunyai hala tuju jelas bagi memacu Terengganu lebih jauh ke hadapan sejajar dengan dasar Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

Beta difahamkan PITAS2030 ini dibangunkan selepas mengambil kira dua elemen penting, iaitu pertama, permasalahan negeri Terengganu dalam pembangunan insan seperti pendidikan, masalah jenayah, gejala sosial, dan isu pembangunan ekonomi seperti kadar pertumbuhan KDNK yang rendah, kesukaran menarik pelaburan, kadar pengangguran dan kadar kemiskinan tinggi.

Elemen kedua adalah potensi Terengganu yang boleh dibangunkan secara optimum berteraskan kepada kekayaan sumber asli negeri, potensi sektor pelancongan, air dan sebagainya. Beta yakin dengan kepemimpinan unggul diterajui Menteri Besar dan gandingan institusi pengendali dan pelaksana, PITAS2030 mampu menjadi penggerak bagi mencapai sebuah negeri yang Maju, Berkat, dan Sejahtera.

Beta dimaklumkan secara keseluruhannya pada 2018, kerajaan negeri mencatat kutipan hasil sebanyak RM1.792 bilion iaitu menurun RM280.34 juta berbanding kutipan pada 2017. Penurunan ini disebabkan oleh Terimaan Bukan Hasil yang berpunca daripada bayaran royalti minyak berkurangan RM317.57 juta atau 17.38 peratus.

Namun demikian, Beta berasa sukacita kerana Hasil Cukai 2018 meningkat kepada RM77.99 juta berbanding RM57.46 juta pada 2017. Hasil Bukan Cukai juga meningkat daripada RM188.58 juta kepada RM205.29 juta.

Selain iu, Beta juga berasa sukacita dan bersyukur apabila jum-lah kutipan zakat sentiasa meningkat setiap tahun. Pada 2018, jumlah kutipan zakat adalah RM160.37 juta, peningkatan RM22.42 juta berbanding 2017 iaitu sebanyak RM137.95 juta.

Beta telah meneliti Bajet Negeri Tahun 2019 yang dibentangkan 25 November lalu yang bertemakan ‘Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera’ , ia Bajet Berimbang dengan jangkaan hasil dan perbelanjaan sebanyak RM2.015 bilion.

Beta berharap kerajaan negeri dapat memastikan perbelanjaan Bajet 2019 ini dipantau dan teliti dengan sebaik mungkin. Keutamaan haruslah diberikan ke arah kesejahteraan hidup rakyat dengan penekanan kepada peningkatan pendapatan rakyat, pembasmian kemiskinan, peningkatan peluang pekerjaan dan keusahawanan serta pembinaan asas ekonomi bagi penjanaan pertumbuhan ekonomi masa depan.

Beta suka mencadangkan agar pembangunan ekonomi di daerah turut dirancang berdasarkan kekuatan setempat khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan. Sehubungan itu, peruntukan yang mencukupi dan usaha berterusan hendaklah dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, pemulihan tanah terbiar dan memperkasakan sektor pertanian.

Projek Pembinaan Drawbridge bernilai RM248.73 juta akan siap sepenuhnya pada April 2019. Jambatan ini akan memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

🔥Atasi masalah kesesakan🔥

Impak paling besar adalah dapat menyuraikan aliran trafik dari Pusat Bandar Kuala Terengganu ke Daerah Kuala Nerus, sekali gus akan dapat mengatasi masalah kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud, terutama pada waktu puncak. Drawbidge ini juga akan menjadi ikon baharu pelancongan Terengganu.

Selain itu, penyiapan Double Road Frontage Fasa 2 dari Pasar Payang Ke Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu akan memberi manfaat kepada rakyat dari segi aliran trafik yang lebih tersusun. Ini akan mewujudkan tarikan pelancongan yang baharu di sepanjang pesisir Sungai Terengganu. Projek ini juga dapat meningkatkan sistem kemudahan pengangkutan di Bandaraya Kuala Terengganu.

Sebanyak 260 projek dirancang dengan peruntukan RM1.03 bilion disediakan oleh Kerajaan Persekutuan. Beta berharap semua pihak yang berkenaan dapat memastikan pelaksanaan semua projek ini berjalan dengan sempurna dan mencapai matlamatnya.

Dalam merencana pembangunan negeri, kerajaan negeri perlu menitikberatkan kelestarian alam sekitar. Beta sedar konflik antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Namun demikian, Beta berharap ia dapat diuruskan dengan sempurna dan penuh bijaksana.

​Beta berharap kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada menjenamakan Negeri Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan yang kompetitif di rantau ini. Pembangunan sektor pelancongan akan merangsang keperluan ke arah penyediaan perkhidmatan sokongan seperti penginapan, makan, minum, industri kraftangan, pengangkutan dan lain-lain.

Malah, kesan gandaan atau multiplier effect akan dapat dinikmati secara terus oleh rakyat. Dalam konteks pelancongan, Beta berharap kerajaan negeri melihat kepada beberapa parameter iaitu pertama, meningkatkan jumlah kedatangan pelancong; kedua, meningkatkan tempoh tinggal pelancong; dan ketiga, meningkatkan perbelanjaan pelancong di Terengganu.

Beta dimaklumkan Garis Panduan Pembangunan Pulau-Pulau Peranginan dan Taman Laut diluluskan Disember 2018. Tujuan utama pelan ini adalah bagi mengawal daya tampungan (carrying capacity) setiap pulau serta mengawal aktiviti pembangunan di pulau supaya dapat mengekalkan kelestarian ekosistem dan keindahan alam semulajadi.

Beta berharap pelan ini dilaksanakan bagi menjaga kelestarian pulau peranginan di Terengganu ini. ​Beta juga amat sukacita dengan kewujudan Enakmen Taman Negeri Terengganu dan Majlis Pengurusan Taman Negeri.

Beta dimaklumkan juga bahawa kerajaan negeri menyediakan ‘Pelan Strategik Halatuju Pertanian Negeri Terengganu 2019 -2023’. Pelan ini merangkumi enam teras strategik akan dilaksanakan mulai 2019 sehingga 2023 meliputi sektor pertanian, perikanan, penternakan, industri asas tani dan kulinari.

https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2019/04/548277/jangan-perlekeh-institusi-raja-islam
0 Komentar untuk " Jangan perlekeh institusi Raja, Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ