KUALA LUMPUR: Usaha menarik golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali ke pangkal jalan memerlukan pendekatan serta kaedah yang tepat supaya undang-undang dan syariat Islam tidak dianggap lemah.
Ini kerana pada situasi tertentu, mengambil sifat terbuka dan mengekalkan dakwah secara lembut semata-mata membuka lebih banyak ruang kepada kumpulan pejuang LGBT untuk memanipulasi peluang atau kelonggaran yang diberi.
Pendakwah muda, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin, berkata sebaiknya perkara yang menyentuh sensitiviti agama lebih-lebih lagi perkara mengaibkan, tidak didedahkan untuk pengetahuan masyarakat.
“Saya tidak bersetuju sekiranya pendekatan terbuka ini sama ada dengan menyiarkan pertemuan bersama golongan LGBT untuk ditonton orang awam khususnya di media sosial seperti rakaman video atau Facebook Live diteruskan.
🔥Tak semua faham🔥
“Kita perlu sedar tidak semua penonton mempunyai kefahaman (yang betul) kerana kebanyakannya lebih gemar mengeji dan mengutuk sehingga tanpa sedar sedang membongkar aib mereka.
“Umpamanya, dalam siri dakwah, sekiranya wajah mak nyah dipaparkan, kesannya masyarakat bertindak mengecam sehingga ada yang turut menerima ugutan.
“Jadi pada akhirnya seolah-olah cuma ustaz itu saja yang sebenarnya memberikan sokongan,” katanya kepada BH di sini.
PU Amin berkata, amalan dakwah secara terang-terangan perlu juga dilihat daripada aspek lebih menyeluruh dengan turut mempertimbangkan subjek atau sasarannya.
“Hari ini suasana dakwah cukup menekan, mencabar dan sangat berbahaya. Tidak perlu untuk semua orang mengetahui kerja dakwah yang kita lakukan kecuali sekiranya ada keperluan.
“Dikhuatiri isu ini tidak dapat diselesaikan, bahkan memberi kesan buruk berkemungkinan kepada pendakwah dan orang yang menerimanya termasuk ahli keluarga mereka,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai golongan transgender yang didakwa menjadi mangsa diskriminasi, PU Amin berkata, ia tidak sepatutnya ditimbulkan.
Katanya, sejak sekian lama pihak jabatan agama, persatuan ulama dan pendakwah sentiasa memberikan bantuan moral, material serta menjalankan kerja dakwah supaya mereka dapat kembali kepada jalan fitrah.
“Bayangkan ada daripada golongan transgender ini mengembangkan perniagaan sehingga menjadi ikon usahawan.
“Kita sebenarnya menghormati dan tidak menyisihkan mereka yang menceburi pelbagai profesion seperti jurusolek, wartawan, jururawat serta pengusaha kosmetik, selagi tidak sampai ke tahap mencabar dengan membawa agenda pembebasan dan meminta hak diiktiraf,” katanya.
PU Amin berkata, konsep toleransi dan diskriminasi dalam hal agama perlu difahami dengan baik.
🔥Elak sebar fitnah🔥
“Toleransi yang dimaksudkan ini selain memberi peluang untuk berubah, mengapa tidak kita buat mereka berfikir kepentingan menjadi insan lebih baik.
“Diskriminasi pula ialah tindakan sehingga mematikan karakter individu itu. Kita di sini setakat tutup gambar atau halang video mereka tersebar untuk mengelak fitnah dan demi menjaga kesucian Islam.
“Sebilangan transgender yang keterlaluan seperti mengenakan pakaian wanita di khalayak ramai dan media sosial, melakukan kerosakan akhlak serta mempromosikan tarikan seksual perlu diboikot kerana ia ancaman kepada Islam dan budaya masyarakat,” katanya.
Katanya, pendekatan toleransi perlu diperhalusi kerana dibimbangi dijadikan senjata atau jarum halus bagi merealisasikan sebarang agenda tersembunyi.
“Apabila wujud suasana bebas untuk mereka bersuara dan membawakan isu transgender umpamanya, ia amat menakutkan masyarakat.
“Ia juga secara tidak langsung membantutkan usaha menekan mereka secara agresif sebaliknya mereka lebih berani sehingga ke tahap masuk ke tandas wanita, lakukan aksi tidak bermoral dan menunjukkan anggota tertentu untuk meraih publisiti,” katanya.
Justeru, PU Amin berkata, berdasarkan perintah Allah SWT dalam al-Quran dan sunah supaya menjaga keturunan dan zuriat, masyarakat perlu mengambil tindakan proaktif.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/08/462030/toleransi-isu-lgbt-usah-sampai-perlekeh-syariat
0 Komentar untuk " Toleransi isu LGBT usah sampai perlekeh syariat "