Camaraderie atau kebersamaan boleh disemarakkan menerusi sikap penerimaan, kesederhanaan dan hormat-menghormati. Menyelesaikan perselisihan menerusi perundingan dan toleransi menjadi remedi kepada apa juga permasalahan dalam aktiviti bermasyarakat dan bernegara. Dengan demikian, keupayaan membangunkan bangsa berminda kelas pertama dan negara terbilang di persada global ternyata harus ditunjangi oleh camaraderie dan semangat patriotisme warganya.
Dalam konteks perkhidmatan awam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, mempelopori gagasan 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' dengan meletakkan keutamaan kepada rakyat (pengguna) dan penjawat awam (penyedia serta pemudah cara) untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Ke arah memakmurkan negara dan mensejahterakan rakyat, daripada enam prinsip berteraskan tadbir urus baik dalam gagasan itu, prinsip camaraderie atau mengukuhkan kebersamaan dijadikan antara teras penting. Prinsip kekitaan ini membentuk semangat persaudaraan dan kerjasama oleh warga kerja dalam sesuatu pasukan ke arah mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Mungkin ada yang bertanya mengapa kebersatuan dan kebersamaan perlu diangkat menjadi resipi untuk mengadun kehidupan bernegara? Laporan Kebahagiaan Dunia 2017 (The World Happiness Report 2017) meletakkan negara seperti Norway, Denmark, Iceland, Switzerland dan Finland sebagai lima negara terbaik. Dalam penarafan ini, tiada satu pun negara di Asia menduduki senarai 10 teratas, dengan Malaysia menghuni posisi ke-42.
🔥Jalan menuju kebahagiaan🔥
Menurut laporan itu, kejayaan Norway melonjak daripada anak tangga keempat sebelumnya untuk mengungguli carta teratas disumbangkan faktor yang mendukung kebahagiaan iaitu kepercayaan, kebersamaan, kebaikan dan tadbir urus cemerlang. Dengan itu, camaraderie harus menjadi titik tumpuan inisiatif ke arah penyatuan minda dan hati setiap kluster masyarakat untuk membantu melonjakkan Malaysia di mata dunia dengan berkongsi kelompok 20 negara paling bahagia menjelang 2050.
Bolehkah matlamat ini dicapai? Pastinya boleh jika semua lapisan masyarakat komited dan benar-benar fokus untuk menjayakan manhaj sepenting ini dalam kehidupan warga Malaysia.
Amalan murni kehidupan rakyat negara ini yang diwarisi turun temurun harus dilestarikan. Budaya dan tasawwur yang menjadi benteng kehidupan kita - dahulu, kini dan selamanya, adalah dengan mengibarkan panji kesederhanaan serta keseimbangan. Justeru, agenda wasatiyyah harus menjadi kerangka trajektori pemikiran perdana yang meletak asas dan mencorakkan cara hidup semua rakyat tanpa mengira etnik dan agama.
Jika ini dapat dilakukan, dengan sendirinya ancaman liberalisme, radikalisme dan terorisme tidak dapat tumbuh, apatah lagi berkembang biak sehingga memusnahkan kesejahteraan kehidupan. Generasi muda, khususnya generasi milenium wajar diberi pendedahan mengenai kepentingan pemikiran dan kesedaran wasatiyyah dalam mengikat agenda perpaduan dan sosial negara kerana merekalah pewaris kepemimpinan masa depan.
Sebelum menyambut baton kepemimpinan negara, mereka harus faham dan hayati sepenuhnya prinsip wasatiyyah ini supaya tidak terpengaruh dengan ideologi dan gerakan yang menganjurkan gejala ekstremisme, hedonisme mahupun individualisme.
Ketika menyampaikan syarahan bertajuk 'Budaya Ilmu Teras Kekuatan Negara' dalam siri INTAN Public Policy Ministerial Forum, pada 14 April lalu di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan kepentingan point of equilibrium (titik keseimbangan) antara etnik dalam mewujudkan kebersamaan dan kebersatuan.
Dalam sistem pendidikan negara, kerajaan mengakui kepentingan semua bahasa ibunda, tetapi titik keseimbangan perlu disepakati bersama menerusi bahasa pengantar yang tunggal. Pertemuan pada titik keseimbangan inilah yang menjadi teras pembentukan pemikiran perdana rakyat dilandaskan neraca kesederhanaan dan keseimbangan.
Mengambil tanggungjawab untuk menjadi jambatan penghubung dan penyatu integrasi nasional, INTAN dan Jabatan Perkhidmatan Awam menerapkan pengukuhan integrasi dalam Kursus Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (Kursus DPA), iaitu kursus mandatori kepada kadet Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Dalam pelaksanaan Kursus DPA sesi 2015/2016, modul integrasi nasional dilaksanakan selama 14 minggu di Sabah, manakala bagi Kursus DPA sesi 2016/2017 dijalankan di Sarawak untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan 668 bakal pegawai perkhidmatan awam ini mengenai sejarah, sistem pentadbiran dan cara hidup masyarakat di kedua-dua negeri itu. Impak positif dapat dicapai menerusi interaksi, komunikasi dan pengalaman ini, apabila mereka lebih memahami dan menghargai budaya masyarakat setempat.
🔥Citra 1Malaysia🔥
Mengharungi fenomena budaya pluralisme atau ta'addudiyyah ini, citra 1Malaysia adalah kesatuan dalam kepelbagaian. Menjalani kehidupan di tengah kemajmukan etnik dan budaya, rakyat harus memiliki impian yang sama, iaitu satu bangsa dan satu negara. Nilai budaya Malaysia harus berteraskan perkongsian semangat kebersamaan untuk memacu negara ke mercu tertinggi pencapaian par excellence dalam setiap lapangan kehidupan dan membentuk satu ketamadunan gemilang ketika menjelangnya fajar 2050.
Camaraderie atau kebersamaan menjadi elemen penting yang mendasari pembinaan perpaduan dan integrasi nasional yang mantap. Pengukuhan perpaduan menjadi pembuka jalan kepada pencapaian kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan warga negara. Merealisasikan kebersamaan dan kebersatuan memerlukan masyarakat mendakapi wasatiyyah sebagai manhaj kehidupan, dan pada masa sama, membentuk titik keseimbangan dalam perhubungan silang budaya antara spektrum masyarakat.
Oleh Dr Alauddin Sidal
Penulis adalah Ketua Kluster Penyelidikan Pembangunan dan Dasar, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/08/313758/manifestasi-kesatuan-dalam-kepelbagaian
0 Komentar untuk " Manifestasi kesatuan dalam kepelbagaian "