Bendung segera ancaman puak liberal, literalis, atheis - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bendung segera ancaman puak liberal, literalis, atheis


PENGARUH golongan liberalis, literalis dan atheis jika tidak dibendung akan membuka ruang serta pintu lebih luas kepada penyelewengan agama.

Dalam konteks mutakhir ini, mereka juga semakin lantang mengeluarkan pandangan bahkan menggunakan media sosial sebagai platform untuk meraih sokongan dan perhatian masyarakat.

Golongan literalis umpamanya mengeluarkan pandangan supaya orang Islam tidak taasub dengan ulama dan aliran mazhab, sebaliknya merujuk terus kepada dalil al-Quran dan sunah.

Kenyataan itu jika dilihat selapis akan diterima baik kerana bunyinya seakan-akan 'Islamik', tetapi kesan negatifnya cukup besar kerana ramai mula terpedaya sehingga dengan lantang mempersoalkan autoriti ulama.

Ia antara cara licik memperdagangkan agenda yang bertentangan syariat Islam menerusi percubaan demi percubaan memberi interpretasi baharu disifatkan bersesuaian dengan cara hidup dan arus kemodenan semasa.

Hal itu dikongsi Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali pada Forum Aqidah bertajuk 'Ancaman Fahaman Liberalisme Masa Kini Serta Isu Semasa Akidah' yang menghuraikan banyak persamaan dalam dakyah dibawa golongan berkenaan dan ia mempunyai matlamat sama untuk menyesatkan akidah umat Islam.

"Orang liberal kalau boleh semua benda mahu dihalalkan, manakala puak literalis pula terlampau keras sekiranya tidak ada dalil khusus yang terkandung dalam al-Quran dan sunah, ia terus dikira haram termasuk amalan membaca surah Yasin pada malam Jumaat serta majlis tahlil.

"Kedua-duanya juga mempertikaikan autoriti ulama kerana puak liberal mahukan kebebasan dalam menterjemah al-Quran dan tidak menerima tafsiran ahli agama.

"Literalis pula mengatakan perkara sama, tidak perlu mengikat diri dengan ulama kerana golongan ini tidak maksum, sedangkan hakikatnya ahli agama berfatwa mengikut al-Quran dan sunah yang menjadi sumber hukum," katanya pada program syarahan bulanan di Perpustakaan Syeikh Muhammad Yassin al Fandani, Institut Kajian Hadis (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kajang.

Engku Ahmad Fadzil berkata, jika kepakaran ulama dipersoalkan atas alasan semata-mata mereka tidak maksum, dibimbangi akan turut mempertikaikan sahabat Rasulullah SAW yang juga tidak maksum.

🔥Terputus sanad Rasul SAW🔥

Jika hal itu berlaku, sanad dengan Nabi Muhammad SAW yang disambung melalui ulama dan sahabat RA akan terputus apabila kita meninggalkan atau tidak mahu bertaklid dengan ulama.

"Dalam konteks merujuk al-Quran dan sunah, terdapat dua golongan, iaitu pertama ialah orang awam yang tiada pilihan dan terpaksa mengakui tidak faham dan menggali maksud daripadanya.

"Golongan kedua pula berasakan mereka mampu, pakar atau ahli dalam bidang agama hingga keilmuan itu membolehkan golongan berkenaan menggunakan ayat al-Quran dan hadis untuk mendapatkan sesuatu hukum.

"Sebenarnya golongan pertama lebih ramai yang untuk mencari hukum seperti solat, zakat dan bersuci pun tidak mampu, jadi tidak mungkin untuk meninggalkan ulama dengan terus merujuk kepada al-Quran dan sunah," katanya.

Justeru, Engku Ahmad Fadzil melihat antara benteng bagi mengawal penularan kelompok antiagama adalah dengan menerapkan semula pengajaran sifat 20 menggunakan bahasa moden.

Katanya, ilmu sifat 20 kekal relevan, apatah lagi ia senjata penting bagi mematahkan serangan khususnya yang mempersoalkan kewujudan Allah SWT.

"Setiap satu sifat 20 ialah rumusan bersandarkan dalil al-Quran dan hadis yang disusun oleh ulama untuk memudahkan orang faham akidah.

"Cabaran ilmu sifat 20 ialah bahasanya klasik yang bermula daripada mukadimahnya lagi sehingga sukar difahami sedangkan ia menyuruh kita melihat alam dengan sifatnya yang berubah-ubah," katanya.

Mengupas lanjut katanya, ia selari bagi menggambarkan sifat manusia itu tidak sama dengan Tuhan kerana kita sering mengalami perubahan dalam kehidupan.

"Dalam penciptaan manusia sendiri, ketika dalam fasa bayi, kita tidak mampu berjalan apatah lagi berlari dan lama-kelamaan apabila menginjak usia, barulah mampu melakukan pelbagai perkara dan mula mengalami perubahan pada wajah, saiz serta bentuk fizikal apabila semakin tua.

"Kebanyakan kelompok atheis tidak memahami hukum akal. Bagi mereka, Tuhan tidak wujud sedangkan menurut hukum akal yang sihat, ia tidak boleh diterima," katanya.

🔥Golongan antiagama🔥

Beliau berkata, boleh disimpulkan kebanyakan golongan antiagama gagal menggunakan kebijaksanaan akal yang Allah SWT kurniakan dengan sebaiknya.

"Sebaliknya mereka hidup berpandukan nafsu sehingga sanggup menggunakan perbandingan yang tidak masuk akal antaranya membenarkan hubungan songsang homoseks dengan alasan ia turut dilakukan oleh haiwan tertentu.

"Beriman dan meneguhkan keyakinan umat Islam kepada akidah yang sebenar ialah perkara yang perlu dihebahkan kepada umat Islam dalam mencegah bukan saja dakyah golongan antiagama ini yang turut menjadi pencetus kepada pelbagai ajaran sesat," katanya.

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/448889/bendung-segera-ancaman-puak-liberal-literalis-atheis
0 Komentar untuk " Bendung segera ancaman puak liberal, literalis, atheis "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ