Beruntung sesiapa yang bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah SWT kerana mengetahui pahala dijanjikan berbeza dengan golongan yang menganggap tiada keistimewaan pada bulan ini berbanding bulan lain.
Antara keistimewaannya adalah diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia sejajar dengan firman Allah SWT bermaksud: "Beberapa hari yang ditentukan itu ialah Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan membezakan (antara hak dan batil)." (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
Kita perlu mengetahui kemahiran membaca atau menghafaz al-Quran semata-mata bukan matlamat utama. Sebaliknya, al-Quran yang menjadi mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW diturunkan Allah SWT secara berperingkat melalui Jibril bertujuan untuk dihayati dan diamalkan semua manusia terutama umat Islam.
Namun, kita mesti mempunyai azam dan semangat untuk berusaha mempelajari, membaca serta menghafaz kitab suci itu kerana membaca al-Quran dapat membersihkan jiwa, meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Apatah lagi jika membaca al-Quran hingga khatam sepanjang Ramadan kerana keistimewaan ganjaran amal ibadat pada bulan mulia ini. Kita mesti berusaha memperbanyakkan membaca ayat suci dan mempelajari jika tidak mengetahuinya.
🔥Bahagia dunia, akhirat🔥
Ada tiga golongan manusia dapat dilihat dan dikaitkan dengan al-Quran ketika Ramadan. Golongan pertama, memanfaatkan setiap masa terluang dengan membaca al-Quran dan memahami maknanya.
Golongan kedua, membaca kitab suci mengikut waktu tertentu, manakala golongan ketiga langsung tiada masa kerana kesibukan hal dunia.
Islam bukan hanya menggalakkan umatnya membaca al-Quran, juga memahami dan mematuhi larangan serta suruhan yang dinyatakan di dalamnya. Dari zaman Rasulullah SAW sehingga kini, al-Quran menjadi rujukan dan sumber utama umat Islam.
Peristiwa Nuzul al-Quran pada malam 17 Ramadan wajarsentiasa diingati umat Islam. Ia membuktikan Ramadan sebagai bulan al-Quran yang perlu dimanfaatkan sebagai sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
Membaca al-Quran juga tidak mengira usia muda atau tua, siang atau malam, pagi atau petang dan waktu lapang atau sempit kerana kitab suci itu akan memberi syafaat seperti sabda Rasulullah SAW: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." (Riwayat Muslim)
Amat rugi bagi mereka yang langsung tidak membuka apatah lagi membaca al-Quran sedangkan Ramadan adalah bulan amal dan rahmat. Allah SWT menurunkan al-Quran supaya manusia tidak terjerumus ke lembah maksiat dan tergolong dalam kalangan yang sesat.
🔥Pegangan hidup🔥
Sebagai hamba Allah, kita wajib bersyukur kepada-Nya kerana diberikan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan di dunia dalam meniti perjalanan ke akhirat. Kita perlu berusaha menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Kita perlu memanfaat dan mengamalkan segala kandungan al-Quran kerana ia faedah paling utama serta besar yang akan dinikmati, apatah lagi setelah kita memahami kandungannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Maka apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran? Atau ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran." (Surah Muhammad, ayat 24)
Oleh Rafiuddin Mohd Yusof
Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Kanan, Unit Hal Ehwal Islam UiTM cawangan Johor
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/06/436552/hayati-amalkan-ajaran-al-quran
0 Komentar untuk " Hayati, amalkan ajaran al-Quran "