S: Apakah hukum wanita keluar ke masjid untuk solat berjemaah.
J: Masjid tempat yang sepatutnya menjadi tempat tumpuan umat Islam. Institusi masjid mampu melahirkan golongan bertakwa tanpa melihat kepada usia, jantina dan pangkat.
Firman Allah SWT bermaksud: "Hanyalah yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang yang selalu mendapat petunjuk." (Surah At-Taubah, ayat 18)
Setiap manusia yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat digalakkan solat berjemaah di masjid bagi meletakkan mereka setaraf dengan orang yang disebut dalam ayat di atas.
Sehubungan itu, ulama terdahulu dan moden sudah bersepakat membenarkan wanita menghadiri masjid untuk tujuan kebaikan seperti solat berjemaah, majlis ilmu dan sebagainya.
Namun, mereka wajib mematuhi syarat ditetapkan antaranya keluar rumah dengan berpakaian yang menepati kehendak syariat Islam, mendapat keizinan penuh daripada wali ataupun suami.
Yakin bahawa perjalanan mereka ke masjid selamat daripada sebarang jenis keburukan dan kemudaratan kecuali ia berlaku tanpa diduga dengan izin Allah SWT.
Pastikan keluarnya mereka ke masjid tidak mengganggu urusan atau tanggungjawab mereka yang lebih besar seperti menjaga makan minum suami, anak dan lebih baik jika perjalanan ke masjid ditemani muhrim atau teman wanita yang baik.
S: Saya seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Kebiasaan saya sejak di bangku sekolah tidak pernah solat kecuali berjemaah di masjid atau pada awal waktu. Namun, selepas menyambung pengajian di IPTA, saya selalu melewatkan solat kerana waktu azan Zuhur saya masih di dewan kuliah. Adakah saya berdosa kerana melewat-lewatkan solat?
J: Pertama sekali, ustaz ingin mengucapkan tahniah kepada anda sebagai anak muda yang sangat menjaga solat. Semoga Allah merahmati anda dan rakan yang mengambil berat kewajipan solat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu telah diwajibkan ke atas orang beriman pada waktu yang ditetapkan." (Surah al-Nisa', ayat 103)
Pun begitu, tidak dinafikan menuntut ilmu adalah tanggungjawab terpenting dalam kehidupan. Manusia tidak akan berjaya di dunia mahupun akhirat tanpa ilmu.
Oleh sebab itu, Allah SWT berfirman bermaksud: "Allah SWT mengangkat martabat golongan beriman dalam kalangan kamu yang mengangkat martabat ilmu." (Surah al-Mujadilah, ayat 11)
Berdasarkan kepada ganjaran yang diberi Allah SWT ini, maka Nabi SAW bersabda: "Sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang menyusuli jalan menuju ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan urusan mereka untuk masuk ke dalam syurga."
Dalil itu jelas menunjukkan bahawa menuntut ilmu antara daripada arahan dalam Islam yang wajib diikuti dan ditaati.
Berhubung masalah yang anda hadapi, iaitu pertembungan antara waktu solat dengan waktu belajar, ustaz berpendapat adalah tidak salah dan berdosa anda melewatkan sedikit waktu solat Zuhur sehingga habis waktu kuliah.
Walaupun begitu, perlu diingatkan bahawa melewatkan waktu menunaikan solat Zuhur bagi memberi ruang kepada waktu kuliah mestilah tidak melewati waktu asar. Jika melewati waktu asar maka anda berdosa dan wajib qada secepat mungkin.
Bagi mengelakkan hal ini berlaku, anda perlu bijak mengatur masa. Mungkin anda boleh keluar sekejap waktu kuliah bagi menunaikan solat secepat mungkin dan kembali ke dewan kuliah.
Oleh itu, jangan gusar dengan perbuatan anda yang terpaksa melakukan sesuatu yang luar kebiasaan bagi memberi ruang kepada kuliah kerana waktu yang diperuntukkan Allah SWT untuk menunaikan solat cukup dan bersesuaian, kita sahaja yang tidak pandai mengaturnya.
Penulis adalah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia
Oleh Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/06/436198/ulama-sepakat-wanita-boleh-berjemaah-ikuti-program-masjid
0 Komentar untuk " Ulama sepakat wanita boleh berjemaah, ikuti program masjid "