Al-Quran sumber rujukan sarjana - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran sumber rujukan sarjana


ILMU yang terkandung dalam al-Quran sememangnya cukup luas meliputi bidang sains dan teknologi, menjadikan kitab suci itu sumber rujukan yang tidak dapat dipisahkan kepada sarjana serta pengkaji Muslim.

Ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina dan Al-Farabi, pakar dalam bidang sains tidak meninggalkan al-Quran dalam aktiviti saintifik yang dilakukan.

Pensyarah Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Halim Ibrahim berkata, kajian dan penyelidikan pelbagai fenomena tabii dilakukan sarjana Islam ketika itu dirangsang oleh sifat ingin tahu yang tinggi.

Katanya, ia dilakukan untuk mengenal dan membuktikan kewujudan Allah SWT selain menyempurnakan tuntutan ibadat seperti yang dikehendaki oleh al-Quran dan al-Sunah.

"Contohnya, Al-Khawarizmi yang mengasaskan ilmu persamaan Algebra dalam matematik untuk menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka. Al-Haitam pula melakukan kajian bagaimana cahaya masuk ke mata, diterjemahkan oleh otak yang seterusnya memperkenalkan teori kamera obskura.

🔥Fenomena alam🔥

"Teori itu menjadi asas kepada penciptaan kamera pada hari ini," katanya pada Forum al-Quran Melahirkan Masyarakat Madani dan Generasi Rabbani di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya.

Abdul Halim berkata, sepuluh peratus ayat dalam al-Quran menyebut mengenai fenomena alam seperti ayat 88, surah an-Naml menjelaskan fenomena tabii gunung-gunung yang berada di tempatnya, tetapi sebenarnya ia berjalan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian saintifik menunjukkan sifat gunung ganang yang bergerak disebabkan oleh plat tektonik. Pergerakan plat itu menyebabkan berlakunya gempa bumi, pergerakan tanah dan aktiviti gunung berapi.

Al-Quran turut menerangkan fenomena alam semesta sebagai sistem yang besar dan luas sedangkan apa yang dilihat adalah terhad. Malah, ia berbeza dengan teori revolusi dipegang Barat dan pengkaji sekular bahawa sistem alam semesta terjadi secara sendiri, rawak dan kebetulan.

Katanya, perkembangan sains dan teknologi didorong oleh semangat ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW iaitu perintah membaca dalam ayat satu hingga lima surah al-'Alaq.

"Bukan dalam tulisan sahaja sebaliknya turut membaca apa yang ada di sekeliling iaitu melihat alam dan menghayati kekuasaan serta keagungan Allah. Ayat kedua menjelaskan manusia dicipta daripada seketul darah beku sebagai membuktikan manusia dicipta oleh Allah SWT.

"Ia seterusnya menolak teori revolusi yang dipegang oleh sarjana barat bahawa penciptaan manusia adalah hasil persenyawaan semata-mata dengan menolak manusia adalah ciptaan Allah," katanya.

🔥Keseimbangan dunia, akhirat🔥

Beliau berkata, umat Islam diminta untuk menguasai ilmu dan dalam konteks hari ini, pelbagai alat serta sumber boleh digunakan termasuk media sosial selagi ia tidak bertentangan dengan Islam selain boleh memberi manfaat.

Abdul Halim berkata, asas dan matlamat dalam kehidupan sebagai umat manusia adalah pembelajaran serta pengajaran. Oleh itu, proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat sementara ilmu yang diperoleh perlu digunakan untuk manfaat orang lain.

Katanya, al-Quran turut menjelaskan kepentingan adanya pengimbangan pencarian ilmu antara tuntutan duniawi dan ukhrawi dalam usaha melahirkan umat Islam madani yang celik sains serta teknologi.

"Keseimbangan itu yang akan memungkinkan kita untuk melaksanakan urusan dunia dengan sebaiknya mengikut peraturannya dan pada masa sama dapat mencapai kebahagiaan serta kesejahteraan di akhirat kelak," katanya.

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/06/437745/al-quran-sumber-rujukan-sarjana
0 Komentar untuk " Al-Quran sumber rujukan sarjana "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ