Had umur kahwin jaga maslahah masyarakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Had umur kahwin jaga maslahah masyarakat


INSTITUSI keluarga ialah nukleus masyarakat dan negara. Institusi ini bermula dengan ikatan perkahwinan antara pasangan lelaki dan wanita. Bagi pasangan Muslim, masing-masing perlu memahami ikatan perkahwinan tidak boleh bersifat sementara atau sekadar menghalalkan perhubungan jenis semata-mata. Dalam Islam, perkahwinan yang dibina perlulah kekal selama-lamanya melainkan ada sebab tidak dapat dielakkan. Justeru, pihak yang berakad perlu matang dan memahami sebenarnya tujuan perkahwinan.

Dalam kehidupan serba mencabar dan moden sekarang, bagaimanakah kita ingin menentukan tempoh 'matang' seseorang? Isu perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan lelaki 41 tahun baru-baru ini amatlah mengejutkan kita. Adakah kanak-kanak 11 tahun wajar berkahwin?

Tidak dinafikan Islam memberikan hak kepada wali menentukan perkahwinan anak perempuan. Namun, di bawah Enakmen Keluarga Islam, usia minimum perkahwinan bagi lelaki ialah 18 tahun dan perempuan (16). Bagi perkahwinan di bawah umur, pasangan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa.

Persoalannya, adakah wajar pihak berkuasa agama campur tangan dalam penentuan had umur? Bukankah Islam memberikan kebebasan kepada Muslim yang akil baligh tanpa mengira had umur dan pada masa sama, wali juga mempunyai kuasa mutlak dalam penentuan perkahwinan anak perempuannya? Malah ramai berhujah enakmen ini menyalahi sunah Rasulullah yang mengahwini Aishah pada usia sangat muda!

Masyarakat harus faham, kerajaan mempunyai tanggungjawab menghalang kemudaratan yang akan berlaku kepada rakyat. Jika kerajaan merasakan kemudaratan akan berlaku sekiranya kanak-kanak terlalu muda berkahwin, maka langkah penetapan had minimum umur perlu dibuat. Kerajaan berkuasa menentukan dasar dan peraturan kepada rakyat selaras perkembangan hidup manusia dan peredaran zaman.

Sekali pun Islam memberikan hak kepada wali, tetapi kita harus peka tidak semua wali bijak dan matang dalam membuat keputusan. Malah ulama juga mengklasifikasikan wali kepada pelbagai kategori, iaitu fasiq dan adil. Walaupun demikian, sekiranya terdapat permohonan perkahwinan di bawah umur, kebenaran mahkamah perlulah diperoleh. Mahkamah akan memastikan pasangan muda ini bersedia mendirikan rumah tangga dan wali sendiri rela sepenuh hati dengan perkahwinan yang bakal berlangsung.

Selain itu di bawah seksyen 29A Akta Pendidikan, pindaan 2002 mewajibkan pendidikan rendah bagi kanak-kanak. Sekiranya perkahwinan di bawah umur dibenarkan, bagaimanakah kanak-kanak ini akan meneruskan pembelajaran? Antara faktor utama perceraian ialah faktor ekonomi dan kurang pendidikan sewajarnya.

Selain itu, usia terlalu muda dan jarak usia antara pasangan yang besar turut menyumbang kepada statistik perceraian yang tinggi. Bagaimanakah wanita muda yang ditinggalkan suami, bersama-sama anak dan tanpa pendidikan secukupnya, akan meneruskan kehidupan? Ibu tunggal akan keluar bekerja dan anak-anak pastinya akan terabai. Ini akan menyumbang kepada masalah sosial lebih besar. Justeru, penetapan had minimum perkahwinan dilihat sangat perlu bagi menjaga maslahah pasangan terlalu muda pada masa akan datang.

Sebenarnya kes perkahwinan muda bukan isu baharu di negara ini. Antara kes kahwin bawah umur menggemparkan masyarakat Kedah satu ketika dulu ialah perkahwinan Nor Fazira Saad (12 tahun) dengan pasangannya Mohd Fahmi Mohamed Alias (20 tahun).

Perkahwinan ini berlangsung pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008. Bagaimanapun, perkahwinan ini tidak dapat bertahan lama dan Nor Fazira diceraikan suaminya dengan talak tiga.

Masyarakat Islam hari ini harus bersifat matang dan tidak menggunakan hujah agama sewenang-wenangnya. Perbuatan Rasulullah ada dikategorikan sunnah yang berpahala jika diamalkan dan ada perbuatan Rasulullah yang bersifat sebagai manusia biasa mengikut uruf zaman Baginda.

Rasulullah mengahwini Aishah dalam usia muda dari bangsa Quraish adalah mengikut uruf kebiasaan masyarakat zaman itu. Adalah amat tidak adil untuk membezakan sistem sosial zaman Baginda Rasul Junjungan dengan sistem sosial hari ini. Perkahwinan muda pada zaman dahulu adalah sesuatu diterima secara meluas oleh kebanyakan bangsa dan agama ketika itu. Kehidupan dahulu adalah amat mudah dan tidak renyah, sistem pendidikan hampir tiada untuk anak perempuan, sistem ekonomi berbeza, persaingan hidup rendah dan kehendak hidup sangat berbeza.

Kita sebagai umat Islam harus memahami hukum Islam terbahagi kepada dua; ada hukum bersifat kekal dan tidak boleh berubah seperti solat, puasa dan zakat, manakala ada juga hukum Islam yang fleksibel berdasarkan keperluan semasa dan boleh berubah mengikut metod seperti metod kutipan zakat. Islam tidak mengongkong kehidupan dan tidak menyusahkan manusia. Pada masa sama, undang-undang dicipta untuk mengelakkan kemudaratan. Manusia harus bijak menyesuaikan hukum mengikut zaman selama mana hukum itu bukan bersifat mutlak.

Kaedah fiqh juga ada menyebutkan, sekiranya sesuatu urusan itu sempit, maka diperluaskan atau sekiranya urusan dunia itu sangat luas, maka boleh dipersempitkan. Islam ialah rahmat seluruh alam. Justeru, pelaksanaan Enakmen Peraturan Undang-undang Islam di Malaysia adalah semata-mata menjaga kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan lebih besar kepada semua individu Muslim.

Oleh Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/445415/had-umur-kahwin-jaga-maslahah-masyarakat
0 Komentar untuk " Had umur kahwin jaga maslahah masyarakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ