Islam bawa kemuliaan, penyatuan sesuatu bangsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Islam bawa kemuliaan, penyatuan sesuatu bangsa


ALOR GAJAH: Islam membawa kemuliaan kepada sesuatu bangsa bukan saja berlaku kepada masyarakat Arab, bahkan alam Melayu turut mencatatkan sejarah yang sama.

Pembawa sanad Sheikh Abdul Qadir Jailani, Ustaz Muhammad Mahdi Akif Idris Al-Mujizin, berkata sebelum kedatangan Islam, bangsa Quraisy hanya dianggap mulia dalam konteks setempat.

"Apabila mereka pergi berdagang ke Syam, Damsyik dan Rom, bangsa berkenaan tidak memandang mulia, sebaliknya lebih mengenali (bangsa Arab) sebagai kaum yang berpecah-belah, berpuak-puak, tidak mampu bersatu dan tidak mampu menggugat bangsa lain.

"Hal itu berlaku sehingga Islam datang kepada Quraisy, sekali gus memuliakan bangsa Arab," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Haul 2.0 Sheikh Abdul Qadir Jailani di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Masjid Tanah.

🔥Timbul rasa curiga🔥

Muhammad Mahdi Akif yang menyampaikan syarahan berjudul Wilayah Iman atau Daerah Syirik itu, berkata keadaan sama juga berlaku di alam Melayu apabila Allah mentakdirkan orang Melayu menganut Islam, maka jadilah mereka sebagai bangsa yang mulia sehingga pada suatu masa dulu, tiada orang Melayu yang tidak menganut agama ini.

Bagaimanapun katanya, kini timbul bibit-bibit curiga bahawa orang Melayu tidak semestinya Islam sedangkan ijmak atau kesepakatan ulama menyatakan bangsa Melayu sebagai bangsa yang menganut Islam.

"Sekiranya berada dalam keimanan, kita tentunya mahu ada sesuatu yang menjaga (akidah) kita, apatah lagi perkataan wilayah itu sendiri datang dari perkataan wali yang bermaksud suatu tempat yang dijaga," katanya.

Beliau berkata, wilayah iman adalah di mana malaikat menjaga sesiapa yang berada di dalamnya tetapi pada masa sama, kita perlu mengenal apa itu syirik.

🔥Perbuatan syirik🔥

Katanya, syirik ialah perbuatan yang menyekutukan Allah SWT dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan, perbuatan dan iktikad, iaitu dengan menjadikan sesuatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau tidak sebagai sekutu bagi Allah.

"Perbuatan syirik ialah dosa yang tidak sesekali diampunkan Allah SWT melainkan kita kembali dengan dua kalimah syahadah yang menuntut lebih daripada ungkapan di mulut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Haul 2.0 Sheikh Abdul Qadir Jailani, Muhammad Aiman Sabri, berkata majlis itu bertujuan memberi pendedahan dan memperkenalkan kehebatan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Islam.

"Majlis ini juga bagi menyuntik semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menjadikan baginda sebagai idola dalam kehidupan setiap pelajar untuk mengenali lebih mendalam sirah Rasulullah SAW," katanya.

Majlis Haul 2.0 Sheikh Abdul Qadir Jailani dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fakulti Sains Sosial dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KUIM dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) KUIM.

Oleh Norizzah Baharudin

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/04/406899/islam-bawa-kemuliaan-penyatuan-sesuatu-bangsa
0 Komentar untuk " Islam bawa kemuliaan, penyatuan sesuatu bangsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ