Hidup sesingkat hujan mengalir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hidup sesingkat hujan mengalir


Dunia ibarat ladang kepada manusia untuk bercucuk tanam dengan amalan kebajikan dan ketaatan, tetapi ia bergerak dengan pantas seperti air hujan yang turun. Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi menerangkan hakikat hidup di dunia ini.

Dunia ini umpama jambatan menuju ke akhirat yang kekal abadi. Ulama juga mengumpamakan dunia sebagai ladang untuk bertanam, manakala akhirat pula diibaratkan tempat menuai hasil.

Justeru, dalam kesempatan yang ada, setiap mukmin hendaklah berbuat sebanyak mungkin kebaikan dan ketaatan terhadap perintah Allah agar di akhirat nanti segala pahala dan kebajikan akan dibalas dengan syurga indah yang kekal abadi.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah bersama Ustaz Firdaus Subhi, beliau menjelaskan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, Maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al-Kahfi: 45)

Ayat ini bermaksud Allah menjelaskan dunia ini tidak mempunyai nilai melainkan untuk digunakan mengingati-Nya melalui zikrullah dan amalan yang menumbuhkan ketaatan kepada-Nya.

Apabila mengetahui hakikat hidup ini, seseorang mukmin akan mempersembahkan kealimannya kepada Allah SWT. Begitu setiap waktu dalam kehidupan ini, dimanfaatkan untuk menghambakan diri kepada-Nya.

🔥Tiada kekal di dunia🔥

Allah SWT dalam ayat di atas juga menjelaskan betapa singkatnya hidup umpama air hujan yang mengalir ke atas tumbuh-tumbuhan dan menyimbah pada batang serta daun.

Apabila tiba saat dan ketikanya, pohon yang hidup subur akan kering kontang lalu mati dan berlalu pergi.

Ia jelas mengisyaratkan tidak ada yang kekal dalam hidup ini kerana semua dicipta untuk sekian waktu tertentu dan isi dunia pula sekadar pinjaman.

Sekiranya dunia tidak digunakan untuk melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan atau menanam sebanyak mungkin pahala, maka kontang pahala untuk dipetik pada akhirat kelak.

Justeru, bagi mukmin yang alim dan berpengetahuan, dunia dimanfaatkan untuk menghasilkan kebun pahala kerana di akhirat kelak adalah waktu dan saat untuk memetik segala hasil kebaikan yang dilakukan di dunia ini.

🔥Kelebihan orang beriman🔥

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jadilah kamu semasa di dunia ini sebagai orang yang dagang atau asing." Baginda mengingatkan umatnya supaya tidak terlalu cintakan dunia, bahkan menjadikannya sebagai persinggahan yang tidak kekal.

Lebih penting, perbuatan dan ketaatan akan menatijahkan ketakwaan serta kealiman.

Rasulullah SAW mengungkapkan kelebihan orang beriman adalah apabila Allah menganugerahkan keimanan dan kesihatan yang baik, berasa aman serta tenang dengan ahli keluarga dan sumber makanan mencukupi.

Bagi seseorang mukmin yang memperolehnya, keperluan mereka sudah pun mencukupi dan bersyukur akan nikmat Allah SWT.

Tidak ada yang kekal di dunia kerana janji Allah setiap yang hidup pasti akan menemui kematiannya.

Selama waktu masih ada, gunakan untuk membuat sebanyak mungkin kebajikan dan pahala kerana seperti kata pepatah, hidup hanya sekali, mereka yang pergi pasti tidak akan kembali.

Oleh itu, jangan sesekali mensia-siakan waktu kerana akibatnya menanggung kerugian sampai bila-bila.

Penuhi kehidupan dengan mencari ilmu kerana orang yang tinggi ilmu lebih dekat mengenal dan memahami hakikat hidup, iaitu untuk menghambakan diri terhadap segala perintah Allah SWT.

Seseorang mukmin yang taat suruhan Allah akan memperoleh ganjaran pahala syurga yang kekal abadi.

Oleh Nik Hasnah Ismail
Penulis adalah Pengurus Berita Radio IKIMfm

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/04/407342/hidup-sesingkat-hujan-mengalir
0 Komentar untuk " Hidup sesingkat hujan mengalir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ