Ada banyak pandangan pro dan kontra mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat kelmarin, namun hakikatnya ia bertujuan membendung berita palsu yang sangat berleluasa, terutama di media sosial ketika ini.
Implikasi berita palsu sangat membimbangkan kerana apa dilontar di media sosial terlalu mudah dipercayai, dikongsi tanpa selidik dan 'tabayyun'. Bukan sahaja isu harian seperti ekonomi, politik dan agama, malah berita kematian orang pun turut dipalsukan!
Dalam dunia maya tanpa sempadan, terlalu banyak maklumat 'sampah' dijana dari pembohongan dan kepalsuan sehingga kerap kita tidak mendapat membezakan yang benar dan salah.
Ramai sengaja berbohong atau sebar maklumat palsu untuk tujuan tertentu demi kepentingan peribadi atau pihaknya. Tarbiah 'al-sidq' (bercakap benar) dibawa Rasulullah SAW seolah-olah tidak berkesan, yang penting agenda terlaksana dan matlamat tercapai walaupun caranya salah.
Bagi kebanyakan yang membaca berita atau maklumat berkenaan, prinsip tabayyun didikan al-Quran seperti termaktub dalam surah al-Hujurat ayat 6 tidak dihiraukan. Mudah sahaja 'auta' dipercayai bulat-bulat dan seterusnya disebarkan secepat mungkin.
Implikasi berita dan maklumat palsu sangat besar, terutama apabila menyentuh isu kritikal dan menjadi viral. Berita palsu disebar boleh menjejaskan kestabilan ummah dan merosakkan negara.
🔥Kesan negatif berita palsu🔥
Kesan negatif berita palsu dalam sirah boleh dilihat daripada peristiwa 'hadith al-ifk' dengan ramai mempercayai berita palsu daripada seorang munafik, Abdullah bin Ubay. Sayyidatina Aisyah RA menjadi mangsa fitnah sehingga Rasulullah SAW berdukacita dalam tempoh agak lama.
Maklumat palsu juga mencetuskan perbalahan Sayyidina Ali dan Mu'awiyah sehingga mengakibatkan perang sesama sahabat.
Mungkin kita masih ingat bagaimana maklumat palsu kononnya ada senjata pemusnah besar-besaran di Iraq digunakan sebagai justifikasi Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan Saddam Hussein dan menghancurkan Iraq pada 2003.
AS akhirnya mengakui maklumat itu didapati palsu dan tidak berasas, namun sebuah negara sudah musnah dan ratusan ribu nyawa melayang!
Tatkala pendekatan pendidikan sidq dan tabayyun tidak lagi berkesan dalam masyarakat, maklumat palsu tidak lagi dapat dibendung dan masyarakat mudah terpedaya. Kerosakan berlaku akibat pelbagai pembohongan.
Jadi wajarlah undang-undang mengawalnya diwujudkan, malah RUU Antiberita Tidak Benar selari dengan prinsip sidq dan tabayyun yang amat ditekankan dalam Islam bagi mendidik warga agar sentiasa berhati-hati membuat, terima, mempercayai dan menyebarkan sesuatu maklumat.
Undang-undang ini juga berfungsi sebagai 'sadd al-zari'ah' (menyekat jalan yang merosakkan) dan mengajar kita bertabayyun, namun lebih penting ia dapat mengelakkan kita daripada menjadi mangsa berita palsu yang kini semakin menjadi-jadi.
Tiada apa yang perlu dirisaukan dengan RUU ini jika kita berpegang kepada prinsip integriti. Sesebuah akhbar akan lebih dipercayai dan maklumat di media sosial tidak akan mudah dipalsukan kerana semua pihak akan lebih berdisiplin dalam mengurus maklumat dan berita.
Jika ada pertikaian mengenai sahih atau tidak maklumat berkenaan, mahkamah akan menjadi tempat rujukan untuk diputuskan. Dalam disiplin ilmu Islam pula, didikan sidq dan tabayyun jelas dilihat dalam penerimaan sesebuah hadis.
Kekuatan sanad hadis sangat penting, jadi kriteria asas mengklasifikasi hadis, sama ada sahih, hasan atau daif. Integriti perawi amat dititikberatkan, dinilai dari beberapa aspek seperti 'thiqah' (kebolehpercayaan), adil dan 'dhabit' (kekuatan ingatan) serta kesinambungan riwayatnya kepada Rasulullah SAW.
Hadis yang tiada ciri-ciri sahih, hasan serta daif ialah hadis palsu (maudhu') dan mencipta hadis palsu tempatnya neraka sebagaimana disebut dalam hadis mutawatir. Demikianlah agama mengajar kita dalam menguruskan sesuatu maklumat.
🔥Wajar dihukum🔥
Seperti hadis palsu, berita tidak diketahui asal-usul atau dijana pendusta ialah berita palsu dan pelakunya wajar dihukum. Dalam penulisan ilmiah juga, sumber rujukan dan kebolehpercayaan sangat penting, data dan fakta dalam disertasi atau tesis perlu rujuk sumber dipercayai.
Islam telah lama mendidik kita dalam menerima berita dan maklumat, justeru mengapa ada yang masih skeptikal dan mempertikaikan undang-undang yang selari dengan prinsip Islam ini?
Oleh Dr Saadan Man
Penulis adalah Pensyarah Kanan (Hukum Islam Semasa) Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/04/406925/undang-undang-selari-prinsip-tabayyun
0 Komentar untuk " Undang-undang selari prinsip tabayyun "