APA yang berlaku kepada Bosnia pasca Perang Dingin pada 1992-1995 memberitahu kepada seluruh dunia bahawa perkataan ‘enlightenment’ nampaknya tidak menyelesaikan masalah manusia.
Perang Chechen pada 1994-1996, operasi ketenteraan Amerika di Afghanistan pada 2001, krisis di Syria yang bermula pada tahun 2011 menunjukkan bahawa peperangan masih berlaku ketika Mark Zuckerberg melancarkan Facebook bersama rakannya Eduardo Saverin pada tahun 2004.
Apakah sebenarnya yang hilang ketika Facebook dipenuhi dengan kisah-kisah duka-lara, WhatsApp penuh dengan gambar bayi terbuang di tepi longkang dan Twitter sentiasa menularkan kisah perempuan bunuh diri kerana lelaki?
Perang masih berlaku dan 160,000 kematian telah dicatatkan di tiga tahun pertama perang saudara di Syria (berdasarkan kenyataan Britain-based Syrian Observatory for Human Rights pada Mei 2004).
Bukankah sepatutnya semakin luas ruang perkongsian semakin terserlah sifat kemanusiaan?
Persoalan ini sangat besar dan mendesak. Ketika revolusi Instagram dan WhatsApp melanda, genosid di Gaza oleh Israel masih tidak nampak pengakhirannya. Dan ini membuktikan bahawa, teknologi tidak mampu menjadikan kita ‘manusia’. Yang mampu menjadikan kita manusia hanyalah pendidikan.
Sebagai Menteri Pendidikan, saya tidak mahu lagi universiti menjadi pusat kapitalis mengaut untung, sebaliknya universiti harus berfungsi sebagai gedung yang melahirkan manusia yang manusiawi. Universiti juga tidak boleh menjadi tempat tersembunyinya mullah cendekiawan terapung yang tidak berfungsi kepada masyarakat, mereka harus keluar dan menyantuni masyarakat awam, khususnya golongan marginal.
Gabungan mahasiswa dan cendekiawan yang berfungsi akan menyelamatkan kita dari barah control of the collective unconcious seperti yang disebutkan Karl Mannheim dalam bukunya Ideologi & Utopia (1936). Karl Mannheim malah menghuraikan bahawa terdapat dua arus yang mengalir bersama serta menguatkan tekanan antara satu sama lain dalam collective unconscious ini, pertamanya ialah kehilangan kesatuan dunia intelektual dengan nilai serta norma, dan kedua ialah peningkatan ketidaksedaran di tengah-tengah kesedaran.
Pada era pendidikan #malaysiabaru, pembentukan sistem nilai ialah aspek dan objektif yang paling diutamakan. Saya meletakkan hala tuju perubahan pendidikan ini dengan pembentukan sistem nilai yang utuh.
Di antara banyak nilai yang ada, saya utamakan tiga elemen iaitu kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati antara satu sama lain. Saya juga telah berkempen untuk menambah lagi satu “M” iaitu manusiawi selepas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Mahasiswa dari kota tanah air
Bangunlah!
Angkat matamu dari buku
Lampaui dinding lampaui tembok
Semua menunggu
Mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
Sebaris dengan kami
Para buruh dan petani di Jalan Sungai Besi
Sederap belajar dari hidup berani
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
Atau bersamanya berjalan ke parlimen
Kerana tenagamu dengan ilmu di dada
Akan merombak erti hidup sebuah negara.
~ Usman Awang, 1961 ~
* Dr Maszlee Malik Menteri Pendidikan Malaysia
0 Komentar untuk " Mahasiswa dan kemanusiaan "