Bajet untuk perkembangan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bajet untuk perkembangan Islam



DENGAN pengumuman peruntukan RM1.2 bilion kepada pembangunan Islam dalam Belanjawan 2019, seharusnya merangsang semua pendukung Islam di negara ini untuk bekerja keras, sekali gus bekerja bijak untuk menjayakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia Baharu.

Dengan demikian banyak agensi Islam tertubuh sejak negara merdeka pada 1957. Sejumlah inisiatif telah diambil untuk perkembangan dan kemajuan Islam, memperlihat hasil yang membanggakan dari Majlis Agama Islam Negeri sehingga pendidikan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan, dari mahkamah syariah sehingga majlis fatwa, dari Universiti Islam hingga bank Islam.

Kini dihadirkan IKIM, Isra’, universiti dan kolej Islam negeri, Universiti Islam Antarabangsa, halal hab dan pelbagai produk Muslim,  program Islam di stesen TV, takaful, koperasi Islam, institusi kajian fatwa, tadika Islam dan lain-lain.

Pokoknya tidak kurang wadah membangun Islam yang wujud di negara ini. Persoalan yang harus ditanya dengan sekian banyak agensi Islam awam yang diperuntukkan dengan belanjawan tinggi, sejauh mana Islam berjaya dimartabatkan?.

Dalam erti kata lain kita harus kritikal ketika mana wang dibelanjakan atas nama program Islam maka ia perlu diuruskan dengan penuh amanah dan sangat cermat. Bahawa yang dipentingkan bukan acara bersifat kosmetik, tetapi pengisian yang berkesan dan memberi impak kepada penerima umat Islam.

Peruntukan RR1.2 bilion ini sudah tentu masih kecil jika diambil kira skala program dan gerak kerja yang perlu diperkukuhkan, ditambah baik serta dirangka demi menjadikan peruntukan Islam sebagai agama rasmi negara mengikut Perlembagaan Persekutuan boleh membawa kesan yang diharapkan.

Dengan adanya peningkatan dalam peruntukan 2019 kepada bahagian hal ehwal Islam JPM, ia menjadi suatu amanah besar kepada petugas agensi-agensi Islam yang berkaitan untuk memastikan peruntukan diguna dengan telus, mengikut prosedur ditetapkan dan memberi impak diharapkan.

Harus dielak sebarang salah urus peruntukan tersebut untuk dibelanja oleh agensi-agensi Islam. Peruntukan ini adalah amanah besar umat Islam supaya tidak disalah guna atau disalurkan kepada hal-hal yang tidak layak dan tidak memberi impak besar kepada masyarakat Islam.

Sebarang salah guna perbelanjaan oleh agensi Islam akan menjadi tempelakan yang akan merosakkan imej Islam itu sendiri. Melaksanakan pembangunan Islam melalui dana yang besar tidak boleh dijayakan jika para pelaksana dan penanggungjawab dalam kalangan petugas agensi Islam tidak amanah dalam menyempurnakan tugas.

Kami mengharapkan peruntukan ini benar-benar dijadikan peruntukan yang diguna untuk menumpu kepada pembinaan kualiti insan dan masyarakat Islam secara praktis. Program yang bersifat superfisial yang tidak memberi kesan atau sekedar untuk meneruskan tradisi lama hendaklah disemak semula. Agensi yang dilihat bertindan dan tidak banyak memberi kesan kepada pemikiran masyarakat perlu ditentukan sama ada diteruskan atau direformasikan atau dimansuhkan.

Sesungguhnya Islam menitikberatkan isi dari kulit. Islam yang bersifat kosmetik tidak memberi kesan jangka panjang yang diharapkan. Sememangnya syiar Islam perlu ditonjolkan akan tetapi syiar dan syariat perlu seiring. Adalah merugikan dan tidak membawa kesan jika perbelanjaan yang tinggi dikeluarkan hanya untuk  acara perasmian sedangkan pengisian yang sebenar tidak diberi fokus.

Maka jadilah banyak program yang dilaksanakan hanya bersifat kosmetik. Yang jauh lebih parah ialah apabila berjuta wang dibelanjakan hanya untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Peruntukan tersebut seharusnya dimanfaatkan secara langsung kepada pembangunan aspek tarbiah yang kukuh dan berkesan. Tarbiah untuk membina kualiti insan Muslim adalah program terpenting yang sepatutnya diberi penekanan. Terlalu tertumpu kepada infrastruktur bersifat fizikal tanpa memikirkan pengisian membentuk manusia akan menjadikan belanjawan yang dikhususkan untuk hal ehwal Islam, menjadi sia-sia.

Cabaran umat Islam kini adalah dari sudut luaran dan dalaman. Sementara terdapat cabaran luar yang perlu diwaspadai, cabaran dalaman juga tidak kurang genting dan kritikal. Terlalu banyak kepincangan dalam kalangan umat Islam dari segi kepimpinan, akhlak, disiplin, amanah serta keiltizaman untuk melaksanakan tanggungjawab. Maka program yang benar-benar memberi kesan kepada pembinaan sahsiah perlu diutamakan.

Kami mengalu-alukan peruntukan RM50 juta untuk maahad tahfiz dan RM20 juta untuk pondok. Institusi ini, walaupun dicemuh oleh setengah pihak, tetap tidak boleh dinafikan memberi sumbangan besar kepada pembinaan masyarakat Islam di negara ini. 

Mengagihkan peruntukkan itu perlu dilaksanakan dengan penuh teliti dan cermat. Institusi pendidikan Islam perlu bersedia meningkatkan disiplin pengurusan supaya wang yang disalurkan diguna sebagaimana sepatutnya dan bukan untuk kepentingan peribadi pihak tertentu.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

0 Komentar untuk " Bajet untuk perkembangan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ